Esok adalah hari terakhir Liga Perdana Inggeris bagi musim 2011/2012. Penulis mengikuti perkembangan BPL secara dekat dan tidak pernah terlepas perlawanan yang melibatkan pasukan yang paling diminati, iaitu Manchester United. Esok pasukan Manchester United akan menentang Sunderland di tempat lawan manakala Manchester City akan menerima kunjungan QPR di laman sendiri. Penulis melihat musim ini bukan milik MU kerana di atas kertas, Manchester City berupaya menumpaskan QPR sekali gus merangkul kejuaraan BPL buat kali pertama selepas 44 tahun. Meskipun MU menang dalam pertemuan esok, tetapi sukar buat QPR hendak menewaskan Manchester City di tempat lawan kerana sejarah menunjukkan QPR kalah 13 daripada 15 perlawanan di tempat lawan musim ini. Penulis boleh meletakkan sedikit harapan buat MU untuk mempertahankan kejuaraan musim ini jika QPR dapat menewaskan Manchester City atas faktor berjuang untuk mengekalkan kedudukan dalam BPL musim hadapan. Jika faktor lain, penulis tidak berani meletakkan harapan. Sebenarnya, MU menolak tuah yang sudah terhidang di depan mata. Pernah satu ketika MU mendahului Manchester City dengan kelebihan 8 mata setelah sebahagian besar musim Manchester City berada pada kedudukan teratas. Walau bagaimanapun MU gagal memanfaatkan peluang tersebut sehingga Manchester City dapat mengejar kembali dan kali ini berpeluang menjulang trofi BPL bagi musim 2011/2012.
(Sumber foto : Utusan Online - 12/5/2012)
No comments:
Post a Comment