Thursday 2 April 2020

KARANGAN BAHAGIAN B SPM


Sesebuah keluarga yang erat hubungannya akan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain seperti aur dengan tebing.
Huraikan kebaikan kepada ahli-ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga seperti majlis perkahwinan, sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya.


Dasawarsa ini, meniti dari bibir ke bibir umat manusia di jagat raya ini tentang isu sambutan majlis keluarga. Hal ini kerana masyarakat mulai sedar betapa signifikannya hubungan yang erat sesama ahli keluarga demi menjalani kehidupan yang sakinah. Mutakhir ini, banyak majlis keluarga disambut seperti majlis perkahwinan, sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya, lebih-lebih lagi apabila tiba musim cuti sekolah. Sambutan majlis keluarga ini mendatangkan banyak kebaikan kepada ahli-ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan kata-kata perunding keluarga negara iaitu En. Zaid Mohamad yang menyeru supaya ibu bapa sering meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga dengan mengadakan sambutan hari keluarga supaya hubungan kekeluargaan bertambah erat. Persoalannya, sejauhmanakah sambutan majlis keluarga mampu memberikan kebaikan kepada setiap ahli keluarga? Jawapan kepada persoalan ini akan saya huraikan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga adalah kebaikan utama yang diperoleh apabila majlis keluarga disambut. Dalam konteks ini, nilai-nilai murni yang dapat diwujudkan adalah nilai kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan seperti nilai tanggungjawab, tolong-menolong, timbang rasa, kerjasama, kasih sayang dan sebagainya. Nilai-nilai ini dapat dilihat apabila majlis keluarga seperti majlis perkahwinan disambut secara besar-besaran. Sebagai analoginya, amalan gotong-royong masih lagi wujud di kampung-kampung apabila sesebuah keluarga akan mengadakan sambutan majlis perkahwinan anak yang disayangi. Ketua keluarga akan membahagikan tugasan kepada setiap ahli keluarga untuk mengurus bahagian-bahagian penting supaya majlis tersebut berjalan dengan lancar. Tugasan seperti menyediakan lauk, menyiapkan tempat kenduri, memasang khemah, menjemput tetamu, memasak dan sebagainya akan diberikan kepada setiap ahli keluarga. Ahli keluarga yang diberi tugasan itu akan memainkan peranan dengan baik untuk memastikan persiapan majlis perkahwinan dapat dilaksanakan dengan lancar. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan nilai tanggungjawab, kerjasama dan patuh dapat dipupuk apabila majlis perkahwinan ini diadakan. Implikasinya, setiap ahli keluarga akan menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk memastikan majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Hal ini tidak akan berlaku jika setiap ahli keluarga bersikap individualistik dan sudah tentu majlis tidak akan sempurna. Pepatah Cina ada mengatakan bahawa mendidik anak-anak ketika kecil umpama mengukir di atas air manakala mendidik anak-anak ketika dewasa umpama mengukir di atas batu. Sambutan ini adalah manifestasi kepada pepatah ini kerana mendidik anak-anak harus bermula sejak kecil. Jika anak-anak terdedah dengan amalan ini tidak mustahil mereka akan terbiasa apabila meningkat remaja. Jadi jelas menunjukkan bahawa sambutan majlis keluarga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga .

Meninjau skop perbincangan yang lebih luas, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaaan dalam sesebuah keluarga. Memetik kata-kata Cecil B. Demille, seorang tokoh falsafah Barat, seseorang itu dianggap berperikemanusiaan hanya apabila dia menyayangi diri dan keluarganya lebih daripada harta yang dimiliki. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa vital kasih sayang dalam sesebuah keluarga kerana keutuhan institusi kekeluargaan adalah datang daripada hubungan yang erat setiap ahli keluarga. Hubungan yang erat ini tidak akan datang dengan sendiri jika setiap ahli keluarga tidak dapat memupuk hubungan yang baik sesama mereka. Dengan kata lain, keluarga sakinah yang ingin dilahirkan dalam masyarakat kita adalah bermula dengan hubungan yang erat dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga merancang untuk mengadakan sambutan majlis keluarga seperti sambutan Hari Ibu pada bulan Mei setiap tahun untuk meraikan ibu tersayang, hal ini mampu membuatkan ibu mereka sangat gembira dan rasa dirinya dihargai oleh anak-anak. Sambutan ini tidak akan berjaya jika setiap ahli keluarga tidak bekerjasama untuk memastikan sambutan itu berjalan dengan lancar. Anak-anak akan berhubung antara satu sama lain untuk menyediakan segala kelengkapan bagi memastikan sambutan Hari Ibu dapat dijayakan seperti memilih tempat sambutan, menu yang ingin disediakan, hadiah untuk ibu, atur cara majlis dan sebagainya. Hubungan antara ahli keluarga ini secara tidak langsung mampu merapatkan mereka dengan lebih erat kerana anak-anak yang jauh akan pulang ke kampung dan berjumpa semasa sambutan Hari Ibu tersebut. Kesannya, hubungan akrab akan terjalin antara ahli keluarga apabila mereka sama-sama mengadakan sambutan untuk meraikan ibu mereka. Sudah terang lagi bersuluh, sambutan majlis keluarga terbukti mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam sesebuah keluarga.

Meneruskan perbincangan yang lebih luas lagi, dapat berkongsi cerita dan pengalaman adalah faedah lain apabila  menjayakan sesuatu majlis keluarga. Ahli keluarga dapat berkongsi cerita mengenai perkembangan yang berlaku dalam keluarga mereka, berbicara tentang kerjaya yang diceburi, perkongsian ilmu perniagaan yang dijalankan dan sebagainya apabila mereka berjumpa semasa sambutan majlis keluarga. Umum mengetahui bahawa perkongsian cerita ini bukan sahaja mampu menambah pengetahuan ahli keluarga tentang perkara yang telah berlaku tetapi juga perkongsian ini mampu mengurangkan tekanan emosi yang dialami oleh setiap ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman yang diceritakan sesama ahli keluarga dapat diceritakan secara terus terang dan hal ini akan melahirkan perasaan saling mempercayai antara satu sama lain. Tamsilnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada setiap tahun akan membuatkan ibu bapa ingin berkongsi kenangan mereka ketika menyambut sambutan yang sama pada suatu ketika dahulu. Ibu bapa boleh berkongsi cerita seperti menyambut hari raya di pusat pemindahan banjir, berhari raya dengan sehelai sepinggang kerana rumah terbakar pada pagi raya, berhari raya di hospital dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh menyelitkan cerita-cerita sedih apabila teringatkan insan-insan yang telah meninggal dunia ketika bercerita kepada ahli keluarga. Impaknya, anak-anak dapat menghayati kisah hidup ibu bapa ketika seusia dengan mereka dan menjadikan cerita tersebut sebagai teladan dalam kehidupan mereka. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa manusia yang bijaksana ialah mereka yang sentiasa menjadikan sejarah silam sebagai pengajaran pada masa akan datang. Lantaran itu, majlis keluarga yang dijayakan mampu menjadi topik bualan sesama ahli keluarga untuk dijadikan sebagai peristiwa berharga yang wajar diingati. Tuntasnya, menjayakan sesuatu majlis keluarga menjadi medan kepada  setiap ahli keluarga untuk berkongsi cerita dan pengalaman berkaitan dengan majlis-majlis yang pernah diadakah sebelum ini supaya dapat dijayakan dengan lebih meriah.

Meneruskan lensa perbincangan yang lain, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengukuhkan institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak institusi kekeluargaan menjadi goyah apabila berlakunya kepincangan seperti bapa terlibat dalam penagihan dadah, perbalahan ibu bapa, perceraian ibu bapa, bapa berada di penjara, masalah kewangan dan sebagainya. Masalah-masalah ini menyebabkan anak-anak mengalami tekanan perasaan dan ada yang mengambil keputusan untuk lari dari rumah bagi mencari ketenangan. Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peratus remaja yang lari dari rumah akibat tekanan perasaan apabila ibu bapa mereka bercerai pada tahun 2019 adalah meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding tahun 2018. Hal ini membuktikan bahawa institusi keluarga yang bermasalah akan menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. Sebagai contoh, apabila majlis sambutan hari keluarga diadakan, anak-anak yang lari dari rumah ini akan pulang untuk berjumpa dengan ahli keluarga mereka yang lain. Anak-anak ini sedar akan kesalahan yang dilakukan dan memohon kemaafan daripada kedua-dua ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa juga akan menginsafi perbuatan mereka sehingga anak-anak mereka mengalami tekanan yang akhirnya lari meninggalkan keluarga. Majlis hari keluarga yang disambut itu akan membuatkan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga akan bertaut semula menjadi lebih kukuh. Ibu bapa akan berusaha untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik kerana tidak mahu anak-anak yang menjadi aset kepada keluarga ini terabai. Kesannya, mereka tidak akan melakukan lagi perkara yang boleh mencetuskan demoralisasi dalam institusi kekeluargaan. Nilai kasih sayang dalam keluarga akan menjadi mekar semula menyebabkan anak-anak akan rasa mereka disayangi. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa sambutan hari keluarga berupaya mengelakkan masalah rumah tangga kerana ibu bapa akan memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Bagi melabuhkan tirai perbincangan pada perenggan akhir ini, majlis keluarga yang disambut mampu meningkatkan kemahiran menguruskan diri dan organisasi. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap majlis yang akan disambut memerlukan perancangan yang rapi, pelaksanaan yang sistematik dan penilaian yang boleh dibuat penambahbaikan pada masa akan datang. Ahli keluarga akan berbincang sesama mereka  mengenai perancangan  tersusun supaya majlis yang akan disambut nanti berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, apabila ingin menyambut majlis Hari Keluarga Haji Hashim, ahli keluarga akan diberikan tugasan mengikut kemampuan seperti mengedarkan kad majlis kepada seluruh keluarga Haji Hashim yang tinggal di seluruh negara. Ahli keluarga lain akan diberikan tugasan untuk merancang menu yang akan disediakan, atur cara sukaneka, menempah tempat penginapan di calet dan sebagainya. Tugasan ini secara tidak langsung mampu meningkatkan kemahiran diri  ahli keluarga ketika berurusan dengan pihak-pihak luar dan hal ini boleh digunakan sebagai panduan untuk menguruskan majlis –majlis lain yang lebih besar kerana mereka sudah biasa bak kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Semasa majlis berlangsung juga, ahli keluarga boleh berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk memastikan majlis berlangsung dengan lancar dan sempurna. Mereka saling menolong bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh agar majlis yang disambut itu dapat memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Impaknya, ahli keluarga yang dipertanggungjawabkan itu akan menganggap tugasan yang diberikan itu sebagai wadah untuk mengasah kemahiran diri dalam pengurusan organisasi. Jadi, sudah terbukti bahawa kemahiran menguruskan diri dan organisasi dalam diri ahli keluarga dapat ditingkatkan apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kemaslahatan kepada ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga. Sebagai seorang ahli keluarga yang prihatin akan keharmonian dan ketenteraman di dalam rumah, saya mencadangkan agar kita mengimplementasikan apa jua inisiatif yang munasabah dalam usaha mewujudkan keluarga yang bahagia dan saling menyayangi antara satu sama lain. Harapan saya agar perkara tersebut dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat dikecapi ibarat kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam demi kebaikan semua ahli keluarga. Apa yang pasti sambutan sesuatu majlis keluarga mampu mengeratkan hubungan sesebuah keluarga sekali gus dapat melahirkan masyarakat madani di negara kita.


Karangan ini adalah hasil tulisan anak didik saya Muhammad Azim Mustaqim B. Hashim

3 comments:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...