Showing posts with label ESEI. Show all posts
Showing posts with label ESEI. Show all posts

Wednesday, 9 May 2012

ESEI : PERANAN NEGARA DI DUNIA MENANGANI WABAK PENYAKIT...

Sejak akhir-akhir ini, penyakit berbahaya seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis atau radang otak telah menular ke seluruh dunia. Kerjasama sejagat amat diperlukan bagi mencegah penularan penyakit-penyakit  tersebut.

Tulis sebuah rencana mengenai peranan negara-negara dunia bagi mencegah penularan wabak penyakit-penyakit tersebut.


Tajuk: Tanggungjawab Negara-Negara Dunia Mencegah Penyakit Berbahaya
Penulis : Azaman b. Zakaria

Sejak akhir-akhir ini penyakit-penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis atau radang otak telah melanda beberapa negara di dunia seperti Mexico, Amerika Utara, Venezuela, China dan sebagainya. Hal ini amat membimbangkan penduduk dunia kerana wabak penyakit tersebut telah merebak dengan begitu cepat sekali. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah merekodkan bahawa lebih 120 ribu penduduk dunia telah dijangkiti wabak H1N1 dan bilangan kematian akibat penyakit tersebut melebihi 1500 orang. Di Malaysia sahaja, bilangan kematian yang dicatatkan oleh Kementerian Kesihatan akibat H1N1 setakat ini adalah sebanyak 85 orang. Statistik ini menunjukkan bahawa wabak penyakit berbahaya tersebut telah mengancam penduduk dunia. Keadaan akan menjadi lebih parah lagi jika penularan penyakit ini tidak dikekang . Oleh itu, kerjasama sejagat amat diperlukan bagi menyekat lebih banyak lagi kematian akibat wabak tersebut. Jadi, negara-negara di dunia perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing agar penularan wabak seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis dapat dihalang.

Peranan yang boleh dimainkan oleh negara-negara di dunia adalah dengan melakukan saringan kesihatan kepada warga asing di pintu-pintu masuk sesebuah negara. Setiap warga asing yang ingin masuk ke sesebuah negara perlu mengisytiharkan status kesihatan mereka terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di pintu-pintu masuk sama ada di lapangan terbang, pelabuhan atau sempadan sesebuah negara. Pasukan petugas kesihatan perlu membuat pemeriksaan kesihatan dengan teliti terhadap warga asing yang tiba dengan menggunakan alat khas bagi mengesan suhu badan mereka. Jika ada warga asing yang menunjukkan simpton-simpton seperti demam, selesema dan batuk, mereka perlu diasingkan untuk dikuarantin di tempat yang dikhaskan bagi tempoh tertentu. Pemeriksaan ini perlu dilakukan supaya mereka yang membawa wabak penyakit seperti H1N1 dan selesema burung dapat dikenal pasti lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil segera seperti menghantar mereka ke klinik atau hospital jika keadaan mereka boleh membahayakan diri dan orang lain. Jika hal ini dibuat dengan serta-merta, individu yang menunjukkan simpton-simpton tadi tidak akan bercampur dengan orang lain yang sihat sekali gus wabak penyakit tersebut dapat dihalang daripada merebak ke sesebuah negara. Kerajaan sesebuah negara perlu bertindak tegas dalam hal ini kerana penularan wabak penyakit ini mudah berlaku jika ada interaksi antara pembawa wabak dengan orang lain yang sihat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan negara-negara dunia supaya membuat pemeriksaan yang ketat di pintu-pintu masuk sesebuah negara bagi mencegah penularan wabak ini walaupun tindakan tersebut sedikit sebanyak akan menjejaskan industri pelancongan sesebuah negara. Peringatan tersebut memang benar kerana ada sesetengah negara memandang ringan terhadap wabak tersebut kerana bimbang sektor pelancongan negara akan terjejas. Dalam hal ini kerajaan perlu mengutamakan kesihatan penduduk terlebih dahulu kerana penawar bagi penyakit ini belum ditemukan lagi. Jadi langkah pencegahan mampu mengelakkan penularan wabak H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Selain itu, negara-negara dunia sama ada negara kaya atau miskin perlu mengadakan kerjasama antara satu sama lain bagi mencari jalan untuk mengelakkan penularan wabak penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis. Kerajaan sesebuah negara perlu menghantar saintis mereka untuk membuat penyelidikan bagi mencari vaksin yang boleh mencegah penyakit-penyakit tersebut. Setakat ini, pakar-pakar perubatan hanya memberikan penawar kepada pesakit hanya untuk menguatkan antibodi badan mereka bagi melawan penyakit-penyakit tersebut, tetapi penawar sebenar bagi mengubat penyakit-penyakit ini belum lagi ditemukan. Jadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu menganjurkan pertemuan antara saintis seluruh dunia untuk menjana idea bagi mencari penawar untuk merawat penyakit-penyakit berbahaya tersebut. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon semasa berucap sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dua tahun lepas mengajak ketua-ketua negara dunia supaya memainkan peranan yang lebih pragmatik bagi menyediakan kesihatan yang terbaik kepada penduduk dunia. Beliau mengajak negara-negara kaya di dunia membantu negara-negara miskin bagi menyediakan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat mereka. Saranan ini amat tepat memandangkan negara-negara miskin di dunia tidak mampu untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang sempurna kepada rakyat mereka. Jadi negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis dan Rusia perlu membantu mereka dengan menyediakan penawar bagi mencegah penularan wabak penyakit tersebut. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa kerjasama antara negara di dunia mampu mengekang penularan wabak penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan radang otak yang kini telah menjadi ancaman kepada penduduk dunia. Setiap usaha yang diambil pasti akan ada hasilnya jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Monday, 30 April 2012

ESEI : PERANAN IBU BAPA MENERAPKAN AMALAN MENABUNG


Tajuk - Peranan ibu bapa menerapkan amalan menabung dalam kalangan anak-anak


Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan peribahasa yang sangat sinonim dalam kehidupan pada zaman moden kini. Peribahasa ini amat bertepatan jika merujuk pada peranan ibu bapa dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil. Sememangnya, amalan menabung sangat penting dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran kini. Tanpa menabung, ibu bapa akan menghadapi masalah jika anak-anak mereka ingin melanjutkan pelajaran nanti. Ibu bapa juga akan menghadapi situasi yang merumitkan jika kecemasan berlaku secara tiba-tiba. Jawapan kepada permasalahan ini adalah melalui amalan menabung yang seharusnya dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil.


Ibu bapa memainkan peranan yang sangat dominan dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak akan berbelanja mengikut kehendak mereka jika tiada pemantauan daripada ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengawal perbelanjaan harian anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak berbelanja mengikut keperluan dan bukannya kemahuan. Sebagai contoh, ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan wang perbelanjaan persekolahan mereka untuk membeli makanan dan minuman di sekolah,  membayar tambang pengangkutan dan menyimpan di dalam tabung setelah pulang dari sekolah. Wang yang diberikan tidak boleh melebihi perbelanjaan harian anak-anak mereka. Apabila anak-anak mereka pulang, ibu bapa perlu menanyakan perbelanjaan anak-anak mereka di sekolah dan memastikan anak-anak memasukkan wang ke dalam tabung jika ada lebihan. Jika ibu bapa melakukan amalan ini secara istiqamah sejak anak-anak mereka kecil amalan menabung dapat diterapkan dalam diri anak-anak. Pakar motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah pernah menyatakan bahawa anak-anak perlu diasuh dengan amalan murni dan nilai keagamaan sejak mereka masih bayi lagi kerana amalan tersebut akan menjadi tabiat apabila mereka besar nanti. Kata-kata tersebut sangat tepat kerana anak-anak dilahirkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang akan menentukan coraknya. Jika ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka mampu menguruskan kewangan dengan baik maka bentuklah mereka bermula sejak kecil lagi. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, amalan menabung mampu diterapkan dalam diri anak-anak jika ibu bapa memantau perbelanjaan harian mereka.


Amalan menabung juga dapat diterapkan dalam diri anak-anak jika ibu bapa menjadi suri teladan dan model kepada anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang yang berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Setiap perlakuan dan pergerakan ibu bapa akan dilihat oleh anak-anak mereka. Dalam hal menabung, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak supaya amalan menabung dapat ditiru oleh anak-anak mereka. Peribahasa bapa borek anak rintik dan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi amat bertepatan dalam hal ini. Setiap perlakuan ibu bapa akan menjadi contoh kepada anak-anak mereka apabila mereka dewasa nanti. Ibu bapa perlu menunjukkan perlakuan yang positif di hadapan anak-anak mereka. Sebagai contoh, setelah pulang daripada pejabat ibu bapa hendaklah memasukkan wang syiling ke dalam tabung di rumah. Jika ibu bapa melakukan amalan ini di hadapan anak-anak mereka sejak kecil maka tabiat itu akan ditiru oleh anak-anak mereka. Perbuatan ibu bapa itu akan menimbulkan minat dalam diri anak-anak. Perkara ini tidak mustahil jika anak-anak mereka akan mencari bekas untuk dijadikan tabung dan memasukkan wang syiling ke dalam bekas tersebut apabila pulang daripada sekolah. Amalan ini akan menjadi budaya kepada anak-anak apabila mereka dewasa nanti. Tan Sri Hamad Kama Piah, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) semasa melancarkan Amanah Saham Nasional 1Malaysia pernah mengingatkan ibu bapa supaya menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) agar masa hadapan anak-anak terjamin dalam pendidikan. Oleh itu, amalan menabung dalam kalangan anak-anak dapat dipupuk jika ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak mereka. 

Sunday, 22 April 2012

ESEI : USAHA MENGEMBANGKAN PELANCONGAN NEGARA


Tajuk : Usaha-usaha untuk mengembangkan industri pelancongan negara.


                                                    Menara Berkembar Petronas



Industri pelancongan merupakan suatu industri yang mampu menguntungkan negara jika dapat dijana dengan baik. Industri pelancongan negara telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan dijangka menjadi antara sektor penting dalam memacu pertumbuhan pendapatan negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa industri pelancongan negara yang semakin berkembang memberikan manfaat besar kepada ekonomi dan berupaya membuka banyak peluang baharu yang boleh dimanfaat oleh rakyat. Menurutnya lagi, berdasarkan Laporan Tahunan 2011, sektor pelancongan negara berada di kedudukan ketujuh terbesar yang menyumbang kepada pendapatan negara kasar (PNK) selepas industri minyak dan gas, runcit dan pemborongan, sawit dan getah, perkhidmatan kewangan, pertanian serta sektor elektrik dan elektronik. Kita nampak di sini bahawa industri pelancongan negara berupaya menguntungkan negara jika diuruskan dengan berkesan. Oleh itu, usaha-usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mengembangkan lagi industri pelancongan di negara kita.


                                                                      Pulau Sipadan


Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan perlu merancang program-program bertaraf antarabangsa di negara kita bagi menarik pelancong asing berkunjung ke sini. Program-program bertaraf antarabangsa seperti Persidangan tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 hingga 22 April 2012 ini mampu menarik bilangan pelancong dari rantau Asia Pasifik. Menurut sumber daripada Tourism Malaysia, Malaysia telah diiktiraf sebagai destinasi ketiga terbaik di Asia Pasifik dan mendapat kedudukan ke-25 daripada 132 buah negara yang menjadi tumpuan pelancong asing. Jadi penganjuran PATA yang melibatkan 618 perwakilan dari 38 buah negara mampu menjadi platform yang baik untuk mempromosikan produk pelancongan baharu kepada dunia. Persidangan PATA ini telah membawa beberapa usahawan Asia yang sudah berjaya untuk berkongsi model perniagaan keusahawanan sosial, mengadakan forum berkaitan pelancongan dan memperluas rangkaian niaga dalam sektor tersebut. Oleh itu, peserta negara yang hadir dalam persidangan tersebut berupaya mendapat input yang berguna bagi merancang program-program untuk mengembangkan lagi sektor pelancongan negara. Peluang ini juga perlu diambil untuk bertemu dengan perwakilan dari luar negara dan menceritakan keindahan yang terdapat di negara kita sekali gus menarik minat mereka supaya datang lagi ke Malaysia. Pemangku Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin menyatakan bahawa penganjuran PATA di sini telah memberi pengiktirafan kepada negara sekali gus mampu memartabatkan sektor pelancongan negara di mata dunia.  Intihanya, penganjuran program bertaraf antarabangsa di negara kita mampu mengembangkan industri pelancongan seterusnya dapat menjana kepada pendapatan negara.


Dataran Merdeka

Selain itu, bagi memastikan sektor pelancongan negara berkembang dengan kondusif, beberapa dasar telah dirangka oleh Kementerian Pelancongan khususnya dengan mewujudkan produk baharu pelancongan yang menitikberatkan pemuliharaan alam sekitar. Sehubungan dengan itu, pengusaha-pengusaha inap desa atau lebih dikenali homestay perlu mengambil peluang daripada dasar yang digubal itu untuk menjadikan kediaman mereka yang dikelilingi dengan keindahan alam sekitar menjadi kunjungan pelancong asing. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen melahirkan keazaman untuk menjadikan produk homestay sebagai salah satu destinasi menarik untuk dikunjungi di negara ini. Katanya lagi, semakin ramai pelancong dari Jerman, Jepun, Rusia dan Korea meminati corak kehidupan di desa terutama dari segi keistimewaan makanan tradisional dan kegiatan di kampung. Jadi pemilik-pemilik homestay perlu mengambil peluang ini dan bergerak  ke hadapan dengan menyuntik elemen kreatif dan inovatif melalui produk dan perkhidmatan yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini. Segala prasarana yang memudahkan pelancong untuk berhubung seperti perkhidmatan jalur lebar perlu dilengkapkan. Apabila pelancong berkunjung ke tempat mereka,  pendapatan kepada pengusaha homestay dan negara akan dapat dijana. Sebagai bukti, pada tahun lalu, negara telah menerima kunjungan kira-kira 24.6 juta pelancong asing dengan nilai pendapatan yang berjaya diraih adalah mencecah RM58.3 bilion atau 51.7 peratus daripada nilai eksport perkhidmatan. Lebih penting lagi, perkembangan pesat dalam industri ini telah membuka banyak peluang pekerjaan baharu kepada kira-kira 1.8 juta orang atau 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan peluang pekerjaan. Oleh sebab itu, pengusaha homestay perlu mengambil peluang ini kerana pelancong dari Amerika Utara telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan mereka. Jadi jelas menunjukkan bahawa kedatangan pelancong ke negara ini melalui produk inap desa mampu mengembangkan lagi industri pelancongan negara. 





Kota A Famosa

Saturday, 12 November 2011

INAP DESA

Kraf tangan kayu larik jadi tumpuan pengunjung



Aktiviti membuat perhiasan menggunakan kayu antara produk pelancongan di Kampung Parit Bugis di Muar.



MUAR 12 Okt. - Barangan kraf tangan daripada kayu larik merupakan salah satu daripada produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang tidak terdapat di mana-mana kampung lain selain dari Inap Desa Kampung Parit Bugis di sini.
Pengerusinya, Saifudin Mohd. Kadak berkata, produk yang dihasilkan menerusi bahan terbuang itu antara yang sering mendapat perhatian pengunjung kerana keunikan serta keindahan seni pembuatannya.
Menurutnya, antara produk yang boleh dihasilkan daripada kayu larik termasuk gambus, gendang, marakas, gasing dan bekas hiasan serta lampu.
"Kayu larik ini merupakan kayu yang diambil daripada pokok mati dan kebiasaannya boleh diperoleh dari kawasan kebun lama dan tepi sungai.
"Jika dilihat, ia seperti tidak berguna tetapi selepas diukir, dibentuk dan dicat maka terciptalah hasil seni yang menarik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Selain itu, pembuatan gerabak untuk mengangkut buah kelapa sawit merupakan sebahagian lagi produk IKS keluaran kampung itu dan ia merupakan hasil kreativiti penduduk.
Beliau berkata, penghasilan gerabak daripada bahan terpakai merupakan antara idea menarik kerana ia bukan sahaja kreatif, malah amat berguna kepada pengusaha tanaman kelapa sawit di kampung berkenaan.
Katanya, dengan menggunakan enjin motosikal vespa dan enjin kereta terpakai, gerabak itu mampu digunakan untuk mengangkut buah sawit dalam kuantiti sederhana.
"Gerabak yang dihasil daripada bahan terpakai itu boleh digunakan untuk suatu tempoh yang lama dan memerlukan peruntukan kecil untuk diselenggara. Mungkin, gerabak yang terhasil kelihatan sedikit pelik tetapi amat berguna kepada pengusaha kelapa sawit berskala sederhana dan kecil.
"Selain untuk mengangkut buah kelapa sawit, ia juga boleh digunakan untuk membawa barangan dan orang sekiranya diperlukan pada musim kenduri-kendara," katanya.

(Sumber : utusan online - 13/10/20110

Monday, 7 November 2011

DI SEBALIK 7 BILION PENDUDUK DUNIA

7 bilion bukan sekadar angka





DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.
Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.


DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.



Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.
Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?
Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.
“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.
“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.
Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.
Makanan


KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan.



Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.
“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.
Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.
“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.
Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.
Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.


PERTAMBAHAN sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.
Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.
Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.
Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.
Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.
PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.
Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.
Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.
Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

(Sumber : Kosmo online - 7/11/2011)

Tuesday, 1 November 2011

PERKASAKAN ATLET PERINGKAT SEKOLAH....

Kemalapan sukan sekolah punca kegagalan atlet negara?

 

Bahagian 2

SEBAGAIMANA yang kita ketahui, kemalapan sukan di sekolah selalunya dikaitkan dengan kegagalan atlet negara untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.
Dakwaan ini tidak dapat dinafikan walaupun ia bukan dakwaan yang 100% tepat.
Pada suatu ketika dulu jurulatih di kalangan guru merupakan antara yang terkenal dan berpengaruh di arena sukan negara.
Demikian juga dengan jumlah pegawai teknik sukan yang menggerakkan aktiviti sukan tanah air, kebanyakannya terdiri di kalangan guru-guru.
Berkurangnya jumlah guru-guru sebagai jurulatih sukan atau pegawai teknik sukan di arena sukan tanah air disebabkan oleh banyak faktor dan antaranya ialah kemalapan aktiviti sukan di sekolah itu sendiri, di samping kurangnya bekas atlet kebangsaan yang memasuki profesyen perguruan.
Kemalapan sukan di sekolah adalah disebabkan penumpuan yang lebih terhadap pencapaian akademik murid melalui peperiksaan-peperiksaan kebangsaan.
Dasar 1 Murid 1 Sukan bertujuan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah.
Kemeriahan ini akan lambat dicapai sekiranya guru-guru yang terlatih dalam sukan kurang jumlahnya dan tidak dapat melayani keperluan seramai 5.4 juta murid di sekolah.
Oleh itu IPG Sukan ini amatlah penting dan konsep serta pengisiannya mestilah dapat menjiwai hasrat dan tujuan sebenar penubuhannya. IPG wajib melahirkan guru-guru sukan yang terlatih dalam sukan.
Banyak model boleh dipilih dalam menjayakan tujuan ini tetapi pada prinsipnya apa yang dilahirkan oleh IPG Sukan mestilah dapat memenuhi keperluan KPM dalam melengkapkan aspek kepakaran sukan untuk murid-murid sekolah.
Jika ia dilaksanakan dengan berkesan, antara hasil yang boleh dilihat, murid-murid yang cemerlang dalam sukan juga dapat dilahirkan.
Di samping itu KPM juga dapat melahirkan jurulatih dan pegawai teknik sukan yang berwibawa yang dapat memberi sumbangan kepada kemajuan sukan tanah air.
Oleh itu, pelancaran IPG Sukan di Seremban ini merupakan satu titik permulaan yang amat signifikan kepada aktiviti sukan di sekolah dan negara amnya.
Bagi saya, di majlis itu juga saya dapat bertemu dengan Ketua Polis Negeri Sembilan iaitu SAC Datuk Osman Salleh yang aktif dalam menggerakkan sukan di kalangan warga polis semasa beliau berkhidmat di Bukit Aman.
Saya juga berkesempatan bertemu dengan Datuk Jemal Kassim rakan lama dalam perkhidmatan yang mempunyai banyak cerita apabila berjumpa.


(Sumber : utusan online - 2/11/2011)

Sunday, 30 October 2011

LANGKAH MENANGANI SISA PEPEJAL

Penyelesaian krisis sisa pepejal





PEJAMKAN mata seketika dan bayangkan tapak pelupusan sisa pepejal ditimbuni bertan-tan sampah-sarap yang dibuang penduduk setiap hari.
Timbunan sampah-sarap yang dibuang saban hari itu tentu sekali akan menyebabkan bau busuk menusuk hidung.
Tolak ketepi soal bau hakikatnya, semakin banyak timbunan sampah-sarap semakin bumi ini tercemar.
Selain pencemaran udara, tapak pelupusan sampah-sarap pepejal juga mencemarkan tanah dan air.


SEMAKIN banyak tapak pelupusan sampah-sarap yang kita bina, semakin teruk kita mencemari bumi.



Namun, ramai yang tidak pernah mempedulikan mengenai pusat itu apatah lagi untuk mengetahui ia mempunyai jangka hayat. Semakin banyak sampah-sarap ditimbunkan di sesuatu lokasi lagi cepat ia menemui jangka hayatnya. Ia mungkin hanya memerlukan tempoh lima hingga 10 tahun bergantung kepada keluasan dan jumlah sampah yang diletakkan di situ.
Apabila pusat tersebut tidak lagi boleh menerima sampah-sarap, kita perlu membuka satu lagi pusat baharu. Demikian prosesnya berterusan.
Persoalannya sampai bila kita akan secara terus bergantung terhadap tapak pelupusan sisa pepejal untuk melupuskan sampah-sarap.
Menyedari kepentingan itu, Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd. menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation yang berpangkalan di Jepun membawa teknologi insinerator dalam memberi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.


TIMBUNAN sampah-sarap di merata-rata tempat boleh mengundang pelbagai penyakit. - Gambar hiasan



Pengarah Urusan Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd., Jini Wat, berkata, teknologi insinerator merupakan satu keperluan untuk mengatasi masalah sampah-sarap terutamanya melibatkan tapak pelupusan sisa pepejal.
“Buat masa ini, negara tidak mempunyai teknologi insinerator dan kita menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation untuk memastikan kepakaran mereka dapat dimanfaat sepenuhnya.
“Sudah terdapat beberapa negara yang menggunakan teknologi dari Jepun ini untuk mengatasi masalah tapak pelupusan sisa pepejal mereka,” katanya kepada Kosmo!
Pemindahan teknologi luar
Melalui kerjasama yang terjalin, Jini Wat menambah, teknologi luar dapat dibawa masuk ke negara ini sekali gus membuka peluang kepada penduduk tempatan mempelajari teknologi baharu itu.
“Ia sekali gus dapat meningkatkan kepakaran dalam mengatasi sisa pepejal. Bukan sahaja dapat mengetahui mengenai teknologi terbaharu tetapi, mempelajari keberkesanan teknologi insinerator,” ujarnya.
Lelaki berkaca mata itu memberitahu, kelebihan teknologi insinerator termasuk dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.
“Melalui insinerator, terdapat beberapa proses perawatan sisa pepejal yang lebih berkesan perlu dilalui terlebih dahulu agar ia tidak menggugat alam sekitar.
“Antara proses itu termasuklah sistem penerimaan sisa pepejal, sistem dandang dan insinerator, sistem penggunaan haba sisa pepejal, sistem rawatan gas serombong dan sistem rawatan abu,” katanya.
Selain daripada itu, dia menambah, pembikinan insinerator turut dapat membantu memanjangkan lagi jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal.
Katanya, ia sekali gus dapat menjadi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.
Pelbagai kelebihan insinerator


TEKNOLOGI Hitachi Zosen diguna pakai di beberapa buah negara maju dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.



Sementara itu, Pengurus Besarnya, Bahtiar Affendi Ishak memberitahu, proses insinerator dapat membekalkan tenaga kepada pengguna bermakna tenaga yang terbiar tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
“Penggunaan teknologi ini bermakna sampah-sarap yang telah menjadi abu akan dikitar untuk dijadikan produk agar dapat digunakan semula.
“Selain daripada itu, ia juga dapat membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna yang memerlukannya,” katanya lagi.
Secara tidak langsung, Bahtiar berkata, insinerator membantu mengurangkan pemanasan global dan pencemaran alam sekitar kerana menguna pakai semula bahan buangan.
Ujarnya lagi, banyak negara-negara sudah menggunakan teknologi insinerator dalam pengurusan sisa pepejal mereka.
“Antara negara-negara yang menggunakan teknologi Hitachi Zosen Corporation termasuk Jepun, Taiwan, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.


PENGGUNAAN insinerator dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.



“Jangan terkejut kerana terdapat tapak insinerator di luar negara turut membenarkan orang ramai memasuki premis mereka kerana dijadikan taman untuk orang ramai,” katanya.
Sebagai contoh, dia memberitahu, di Peitou, Taiwan, terdapat restoran dan peninjau di menara serombong.
Bahkan katanya, tapak insinerator-insinerator yang dibangunakan di luar negara terletak berhampiran dengan bandar utama.
Harapan insinerator
Dalam pada itu, Jini Wat menambah, dia berharap pendedahan mengenai kepentingan insinerator dapat membantu dalam pembikinan insinerator di negara ini.
Katanya, insinerator banyak memberi faedah apatah apabila berdepan masalah tapak pelupusan sisa pepejal dalam jangka masa panjang.
“Sebagai contoh, dahulu orang takut menaiki kapal terbang tetapi kini hampir semua orang menggunakan perkhidmatan penerbangan kerana memudahkan mereka.
“Ia sama juga dengan teknologi insinerator ini,” katanya.

(Sumber : Kosmo Online - 31/10/2011)

USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU

 

 

Martabatkan semula bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kelapan yang berakhir hari ini mahu bahasa Melayu dimartabat dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.
Pada masa sama, kongres mengumumkan penubuhan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan yang berperanan sebagai badan pemantau usaha-usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Selain itu, kerajaan didesak menggunakan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan bukannya bahasa Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Resolusi Kongres, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ketika membentangkan resolusi tersebut berkata, kongres juga menggesa semua kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta segera menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Sebanyak lapan ketetapan diputuskan iaitu;
1. Sistem pendidikan - Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran hendaklah bertegas iaitu dengan berlandaskan Perlembagaan serta akta berkaitan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Sebarang dasar yang melanggar undang-undang seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) hendaklah dilarang.
2. Kerajaan Tempatan - Kerajaan negeri dikehendaki menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nama jalan, bangunan dan iklan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dan begitu juga urusan meluluskan permit dan lesen hendaklah selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan.
3. Ekonomi dan kewangan - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara hendaklah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan bahasa itu sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara.
4. Pengajian tinggi - Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan selain berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan.
5. Perkhidmatan awam - Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua tadbiran negara dan menjadikan JPA sebagai pelindung bahasa kebangsaan.
6. Media, komunikasi dan penyiaran - Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat.
7. Perlembagaan - Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang.
8. Pemasyarakatan Persuratan Melayu : Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua bidang ilmu.
Sementara itu, Pengerusi Kongres, Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar dalam ucapan penangguhan meminta semua pihak khususnya golongan pemimpin supaya menjadi peneraju utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

(Sumber : utusan online - 31/10/2011)

Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM