Showing posts with label SUKAN. Show all posts
Showing posts with label SUKAN. Show all posts

Tuesday, 23 October 2012

JUARA PIALA MALAYSIA EDISI 2012....!


TAHNIAH THE RED WARRIORS....

JUARA PIALA MALAYSIA 2012...
JUARA LIGA SUPER 2012...
JUARA PIALA FA 2012....

KAMI JUARA TREBBLE 2012....
SEJARAH TELAH TERCIPTA...

Friday, 19 October 2012

PIALA MALAYSIA 2012...!



     VS            



Malam ini pertemuan buku dengan ruas antara juara Liga Super menentang juara Liga Perdana di Stadium Shah Alam. Kelantan yang menjadi juara Liga Super 2012 akan menentang ATM, juara Liga Perdana 2012 bermain tanpa ayam tambatan Mohamed Ghaddar dan Mohd Nor Farhan berazam untuk memenangi kejuaraan kali ketiga tahun ini manakala ATM bertekad untuk memenangi kejuaraan pertama Piala Malaysia.Adakah impian ini akan menjadi kenyataan?   Apa yang pasti pasukan yang dapat menjaringkan gol awal berpeluang untuk memenangi Piala Malaysia kali ini. Ramalan penulis, Kelantan 2 ATM 1.

Saturday, 2 June 2012

SAMPAI BILA NAK UJI PEMAIN....?


 "Tiada apa untuk dirisaukan, ini bukannya pertandingan. Perlawanan persahabatan adalah perlawanan persahabatan, apa tujuan perlawanan persahabatan, kamu patut tahu,'' 

Kenyataan di atas dikeluarkan oleh jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal. Penulis tergelak apabila membaca kenyataan Datuk K. Rajagobal itu selepas melihat Malaysia gagal menumpaskan Filipina di Stadium Shah Alam kelmarin. Agaknya pasukan negara akan bermain bermati-matian dalam pertandingan sebenar. Agaknya pasukan negara pada masa itu akan menang dengan jaringan yang besar. Seingat penulis  sudah banyak perlawanan persahabatan telah dilalui oleh pasukan kebangsaan seperti menentang Kelantan, Sarawak, Sabah, Felda United dan Sri Lanka tetapi kenyataan jurulatih tetap sama, iaitu ingin menguji pemain. Agaknya sampai bila jurulatih hendak menguji pemain-pemain negara. Barangkali dalam pertandingan sebenar pun masih belum ada pemain yang benar-benar teruji.....

(Sumber foto : Utusan Online - 3/6/2012)

Thursday, 31 May 2012

MALAYSIA BENAM PAKISTAN .....



Malaysia mencatat kemenangan pertama dengan membenam Pakistan 3 - 2 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah malam tadi setelah seri dengan Britain dan Korea serta kalah kepada India sebelum ini. 

(Sumber : Utusan Online - 31/5/2012)

Sunday, 27 May 2012

PEP GUARDIOLA HEBAT.....!


Barcelona menjuarai Piala Raja Sepanyol setelah menumpaskan Atletic Bilbao 3 - 0 pagi semalam. Kejuaraan tersebut menjadi hadiah buat jurulatihnya, Pep Guardiola yang akan meninggalkan pasukan tersebut dengan 14 trofi setelah membimbing skuad Barcelona selama 4 musim. 

(Sumber : Kosmo Online - 27/5/2012)

CHINA UNGGULI PIALA THOMAS DAN UBER


China menjuarai Piala Thomas buat kali kelima berturut-turut setelah menumpaskan Korea 3 - 0 sebentar tadi setelah menjuarai Piala Uber semalam juga menewaskan Korea 3 - 0. 

Saturday, 26 May 2012

PELUANG TRW RAPATKAN JURANG.....!


Selepas berjaya merangkul kejuaraan Piala FA dan layak ke suku akhir Piala Konfiderasi Boa Sepak Asia (AFC), The Red Warriors akan menentang Johor FC malam ini dalam Liga Super. Pertembungan malam ini menjadi platform untuk TRW merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Super, Lions XII yang berkelebihan 7 mata. Walaupun bermain di tempat lawan, TRW tidak mempunyai masalah untuk membenam Johor FC jika corak permainan menyerang menjadi strategi pasukan. 

Friday, 25 May 2012

RASUAH DALAM LIGA SUPER ...?


Rasuah dalam bola sepak negara kembali mendapat tempat dalam media massa. Semalam Singapura telah mendakwa dua orang rakyat Malaysia kerana dituduh mengatur perlawanan bola sepak dalam Liga Super melibatkan perlawanan antara Lions XII menentang Sarawak. Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura dalam kenyataannya menyebut bahawa seorang pengadil, Shokri Nor dan bekas pemain Thana Segar menerima rasuah RM15,000 setiap seorang bagi mengatur perlawanan Lions XII menentang Sarawak di Singapura pada 22 Mac lalu. Jika mereka terbukti bersalah, penulis melihat isu ini amat mendukacitakan ketika negara berusaha memerangi gejala rasuah dalam sukan bola sepak. Penulis melihat hal ini perlu dibendung dengan lebih tegas supaya amalan rasuah dalam sukan bola sepak negara dapat diatasi. Imej negara akan tercemar jika amalan rasuah menular dalam bola sepak negara. Pihak pengurusan FAM perlu lebih proaktif dalam memerangi gejala rasuah kerana kita tidak mahu amalan ini akan merosakkan bola sepak negara. FAM perlu melibatkan PDRM dalam hal ini jika ingin memerangi rasuah habis-habisan. Kita tidak mahu liga bola sepak negara dicemari dengan amalan rasuah ketika seluruh rakyat Malaysia sedang menyokong pasukan bola sepak negara sekarang ini. 

Thursday, 24 May 2012

TRW MARA KE SUKU AKHIR PIALA AFC.....


Penulis melihat kemaraan The Red Warriors ke peringkat suku akhir setelah membenam Terengganu 3 - 2 dalam pertarungan di Stadium Sultan Muhammad IV dua hari yang lalu sungguh mencemaskan. Penulis memuji aksi TRW pada separuh masa pertama kerana bermain dengan cemerlang dengan corak menyerang walaupun pergerakan agak terbatas kerana bermain dalam hujan. Asakan bertali arus oleh jentera serangan TRW sukar disekat oleh barisan pertahanan Terengganu. Hasilnya TRW berjaya menjaringkan 3 gol menerusi Mohd Nor Farhan Muhammad dan Rizal Fahmi Ab Rosid. Walau bagaimanapun, penulis melihat aksi pada separuh masa kedua pula amat mendukacitakan kerana corak menyerang seperti yang ditunjukkan pada separuh masa pertama kurang kelihatan. Barisan penyerang TRW nampak longlai dan lebih banyak bertahan seolah-seolah mereka sudah yakin akan menang. Taktikal sedemikian memakan diri sebenarnya kerana Terengganu mengambil kesempatan atas kelalaian itu sehingga berjaya menyumbat 2 gol untuk merapatkan kedudukan. Penulis melihat corak permainan bertahan selepas mendahului pasukan lawan dengan jaringan dua atau tiga gol tidak boleh diamalkan. Pada penulis, pertahanan yang berkesan adalah menyerang. Apa salahnya jika taktikal menyerang terus diamalkan walaupun telah mendahulu pasukan lawan dengan jaringan yang selesa. Dalam bola sepak peringkat antarabangsa, jaringan pada minit-minit terakhir perlawanan tidak mustahil. Walau bagaimanapun penulis ingin mengucapkan tahniah kepada TRW kerana berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala AFC.

(Sumber foto : Utusan Online - 25/5/2012)

KEBIMBANGAN MENJAJI NYATA.....!


Penulis pernah mengemukakan pandangan dalam blog sebelum ini bahawa Datuk Lee Chong Wei perlu dikurangkan penyertaannya dalam kejohanan Super Series dan dikecualikan daripada menyertai Piala Thomas yang sedang berlangsung sekarang ini. Penulis berpendapat sedemikian adalah kerana skuad Piala Thomas kali ini sangat lemah dan harapan yang diletakkan pada bahu Datuk Lee Chong Wei itu boleh dimainkan oleh pemain-pemain pelapis negara yang lain. Penulis pernah menyuarakan pandangan ini kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini supaya membariskan pemain-pemain muda negara untuk mendedahkan mereka dalam kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kerap. Penulis sebenarnya bimbang jika Datuk Lee Chong Wei menyertai banyak kejohanan, beliau akan kehilangan banyak tenaga dan jika tidak bernasib baik beliau boleh cedera. Jika perkara ini berlaku, matlamat untuk melihat beliau menggondol emas pertama negara dalam Sukan Olimpik nanti akan berkubur. Perkara yang menjadi kebimbangan penulis sebelum ini kini telah berlaku kepada beliau. Datuk Lee Chong Wei kini telah cedera ketika menentang Peter Hoeg Gade dalam Piala Thomas dua hari yang lalu. Walaupun kecederaan Datuk Lee Chong Wei tidak berapa serius (selepas melalui ujian MRI), tetapi peluang untuk melihat beliau pulih dalam masa 64 hari lagi sebelum Sukan Olimpik sangat membimbangkan. Penulis berharap Datuk Lee Chong Wei kuatkan semangat dan tanamkan tekad untuk menghadapi Sukan Olimpik nanti dengan penuh keyakinan. 

(Sumber foto : Utusan Online - 25/5/2012)

Saturday, 19 May 2012

CHELSEA JULANG PIALA LIGA JUARA-JUARA....


Chelsea telah menumpaskan Bayern Munich menerusi sepakan penalti 4 - 3 setelah kedua-dua pasukan terikat 1 - 1 sehingga masa tambahan. Gol kemenagan jaringan Didier Drogba di Allianz Arena itu menobatkan Chelsea selaku juara baharu Liga Juara-Juara setelah dikecewakan Manchester United sebelum ini. Tanpa beberapa tonggak yang cedera dan menjalani penggantungan, Chelsea berupaya mengekang asakan Bayern Munich sehingga tamat masa tambahan. Tahniah kepada pengurus sementara, Roberto De Matteo yang telah membawa Chelsea menjulang piala Liga Luara-Juara bagi musim 2012. 

(Sumber foto : Utusan Online - 20/5/2012)

KELANTAN JUARA PIALA FA 2012....


The Red Warriors telah muncul juara Piala FA setelah menewaskan Sime Darby 1 - 0 hasil jaringan pemain import dari Lebanon, Mohammad Ghaddar pada minit ke-58. Kejuaraan tersebut menamatkan penantian setelah dikecewakan dalam dua perlawanan akhir sebelum ini. Kemenangan tersebut menambahkan lagi koleksi piala The Red Warriors yang telahpun menjulang Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Juara Liga Super. Tahniah kepada The Red Warriors.

(Sumber foto : Utusan Online - 20/5/2012)

CHELSEA MAMPU JINAKKAN BAYERN MUNICH....?


Chelsea akan melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara menetang Bayern Munich di Allianz Arena esok tanpa beberapa tonggak yang tercedera dan digantung. Walaupun Bayern Munich berpeluang menggunakan semua pemain bintangnya dan bermain di laman sendiri, namun Chelsea tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang setelah menewaskan juara Eropah, Barcelona dalam pertarungan separuh akhir. 

(Sumber foto : Utusan Online - 19/5/2012)

ALAHAI TAN SRI ANNUAR MUSA.....


Penulis terpanggil untuk mengemukakan pendapat mengenai nasib yang menimpa Tan Sri Annuar Musa yang telah digantung selama dua tahun setengah sejak 4 April lalu, telah diberi amaran keras oleh FAM supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak jika tidak mahu dipecat. Apa sudah jadi dengan orang-orang FAM sekarang? Mereka seolah-olah takut pada bayang-bayang sendiri. Apalah sangat dosa yang telah dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa sehingga orang-orang dalam FAM bukan setakat mencantas tetapi telah menebang sehingga ke umbi supaya Tan Sri Annuar Musa tidak dapat mengganggu mereka lagi. Penulis melihat FAM sudah tersasar jauh sekarang. Kalau FAM dipimpin oleh orang-orang seperti ini maka hasrat negara untuk membangunkan sukan bola sepak semakin jauh daripada jangkauan. Wang rakyat yang telah dibelanjakan oleh FAM tidak akan membuahkan hasil jika ketelusan tidak diamalkan oleh FAM. Penulis melihat niat Tan Sri Annuar Musa tidak lain adalah untuk melihat sukan bola sepak negara dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan negara-negara lain. Banyak usaha yang telah dilakukan oleh beliau untuk membangunkan sukan bola sepak negara. Kita melihat sekarang ini golongan belia, terutama belia Kelantan sudah mencintai sukan bola sepak. Di mana-mana sahaja mereka akan memakai jersi The Red Warriors atau jersi Harimau Malaya sama ada berwarna kuning atau biru. Perubahan ini boleh dikatakan bermula dengan usaha Tan Sri Annuar Musa. Penulis merasakan adalah tidak tepat jika orang-orang dalam FAM sentiasa berfikir untuk mencari jalan bagaimana hendak menghentikan sumbangan Tan Sri Annuar Musa.....

(Sumber foto : Utusan Online - 19/5/2012)

PENENTUAN JUARA FA MALAM INI....


Penentuan juara Piala FA akan ditentukan malam ini antara Kelantan dengan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing. Penulis berharap The Red Warriors tidak memandang rendah pasukan lawan dan berjuang habis-habisan malam ini kerana peluang yang hadir kali ini tidak patut disia-siakan. 

(Sumber foto : Utusan Online - 19/5/2012)

Monday, 14 May 2012

MAN UNITED KEMPUNAN....!


Manchester United telah kehilangan trofi musim ini kepada jiran tetangga Manchester City atas kesilapan sendiri, iaitu tidak memanfaatkan setiap peluang dan ruang yang sudah terhidang di depan mata. Walaupun sama mata dengan Man City, namun Man United terpaksa menggigit jari musim ini gara-gara memandang rendah dalam perlawanan menentang Wigan dan Everton sehingga menyebabkan Man United kehilangan empat mata. Walau apapun tahniah kepada Man City kerana menjuarai EPL pada musim ini. 

(Sumber foto : Utusan Online - 15/5/2012)

Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM