Showing posts with label PERCUBAAN SPM. Show all posts
Showing posts with label PERCUBAAN SPM. Show all posts

Saturday, 2 November 2013

TEKNIK MENJAWAB KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM (BERDASARKAN PERCUBAAN SBP 2013)

TEKNIK MENJAWAB KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM
BERDASARKAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM SBP 2013


Soalan 1 : Rumusan

Petikan membincangkan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pekerja k-ekonomi untuk memajukan ekonomi negara.

Ciri-ciri tersebut ialah pekerja k-ekonomi perlu menguasai pelbagai jenis pemikiran serta mengamalkan prinsip pembelajaran sepanjang hayat. Mereka juga perlu bersedia menjadi sumber rujukan kepada rakan sekerja atau pihak lain dan mempunyai semangat keusahawanan yang tulen. Selain bersedia dan berkemahiran untuk bekerja secara kumpulan, pekerja k-ekonomi juga perlu mempunyai kompetensi di tempat kerja dan menghayati nilai integriti yang terpuji dan kesetiaan kepada organisasi mereka.

Kesan pekerja k-ekonomi kepada negara ialah kualiti kerja mereka dapat ditingkatkan serta idea dapat dikongsi bersama bagi menjana inovasi dalam syarikat. Seterusnya, pekerja k-ekonomi mampu meningkatkan pendapatan negara.
Kesimpulannya, setiap pekerja di Malaysia perlu mempunyai ciri-ciri pekerja k-ekonomi supaya negara dapat dibangunkan dengan cepat.
       (118 patah perkataan)

Soalan 2: pemahaman

Soalan 2(a): Petikan umum

I.                     Maksud rangkai kata tersebut ialah tonggak penting
II.                    Usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk melahirkan pekerja k-ekonomi adalah sejumlah RM200 juta diperuntukkan dalam bentuk latihan sambilan di Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Giat MARA dan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Selain itu, RM100 juta pula diperuntukkan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam bidang tersebut. Selain itu, kerajaan juga telah memanggil pulang rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memiliki kemahiran supaya pulang berkhidmat di negara sendiri.
III.                  Pada pendapat saya,  peranan pihak swasta untuk melahirkan pekerja k-ekonomi yang kompetitif adalah sentiasa mendorong pekerja mereka supaya meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri dengan melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, pihak swasta juga boleh menyediakan perbelanjaan dalam bentuk biasiswa kepada pekerja mereka yang ingin mengikuti kursus atau pengajian di luar negara bagi meningkatkan pengetahuan sedia ada.  Seterusnya, pihak swasta juga boleh menyediakan ganjaran atau bonus kepada pekerja mereka yang menunjukkan keupayaan yang tinggi dalam perkhidmatan yang diberikan oleh mereka.

Soalan 2(b): Petikan cerpen

i.                     Mikraj bertelingkah dengan abangnya, Israk kerana Mikraj memberitahu abangnya terlalu berlagak sejak akhir-akhir ini dan Israk enggan pergi ke kebun. Mikraj juga memarahi abangnya kerana menghina, mengeji dan menyakiti hati Wah. Selain itu, Israk mengatakan Mikraj suka menjaga tepi kain orang.
ii.                    Pada pendapat saya, sesetengah ibu bapa menghantar anak-anak mereka pulang ke rumah datuk dan nenek di kampung pada musim cuti persekolahan adalah wajar. Tindakan tersebut dapat mengubati kerinduan datuk dan nenek terhadap cucu mereka yang sudah lama tidak berjumpa serta cucu-cucu dapat meringankan beban datuk dan nenek yang sudah tua di kampung dengan membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah. Selain itu, tindakan tersebut juga menyebabkan anak-anak dapat merasai kehidupan di kampung sebagai sebahagian pengalaman dalam kehidupan mereka. Akhir sekali, anak-anak dapat mengenali saudara mara mereka di kampung dengan lebih dekat lagi sekali gus menjadikan  hubungan mereka bertambah mesra dan rapat.
iii.                  Perwatakan Mikraj berdasarkan petikan ialah seorang yang berjiwa sensitif apabila mengalirkan air mata apabila menceritakan kisah kepayahan, kekecewaan dan ketabahan Wah.
Perwatakan Mikraj berdasarkan keseluruhan cerpen pula ialah seorang yang berjiwa kampung. Hal ini dapat dibuktikan melalui perlakuan Mikraj yang suka akan suasana kampung seperti makanan tradisional kampung yang dihidangkan di rumah Wah.

Soalan 2(c): Petikan klasik

i.                     Maksud rangkai kata tersebut ialah mendapat petanda
ii.                    Reaksi orang-orang dagang apabila terpandangkan gurap ialah orang dagang dari Petani menjadi hairan apabila terpandangkan gurap yang seumpama itu. Orang dagang Tandang Haidar pula menyangka bahawa gurap itu sebuah kota. Reaksi lain ialah orang dagang Cina tercenggang-cenggang apabila melihat gurap bercahaya pada sebelah malam.
iii.                  Pada pendapat saya, langkah-langkah yang wajar dilakukan bagi mengelakkan negara diceroboh oleh musuh adalah menambah pos-pos kawalan di sepanjang perairan negara serta  mengetatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara dengan alat pengesan yang  lebih canggih. Selain itu, kerajaan boleh meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara jiran supaya mengawal pergerakan keluar rakyat mereka. Seterusnya, penggunaan sistem radar yang lebih canggih juga mampu mengesan pergerakan dalam pelbagai situasi. Akhir sekali, kekuatan anggota keselamatan perlu ditambah supaya periran negara dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Soalan 2(d): petikan puisi

i.                     Kegemilangan sejarah bangsa dalam rangkap keempat ialah rakyat Malaysia telah menjalin persaudaraan dengan negara di Timur dan Barat serta pelaut telah belayar dengan gagah di lautan. Selain itu, bahasa Melayu juga telah berkembang di Utara hingga Selatan. Kegemilangan lain ialah bahasa Melayu telah disebarluaskan dari pulau ke pulau melalui aktiviti pelayaran.
ii.                    Pada pendapat saya, bahasa Melayu boleh dimartabatkan di persada antarabangsa adalah dengan mengadakan pertandingan pidato dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa serta memperkenalkan kursus bahasa Melayu di universiti-universiti terkenal di seluruh dunia. Kerajaan juga perlu memartabatkan bahasa Melayu dengan menetapkan dasar bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di dunia. Selain itu, pemimpin-pemimpin negara perlu menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi di peringkat antarabangsa. Akhir sekali, penulis-penulis blog boleh memuat naik bahan dalam bahasa Melayu untuk dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.
iii.                  Tiga nilai yang diperoleh dalam sajak tersebut ialah nilai keberanian yang dapat dilihat melalui pelayar negara berani membelah lautan untuk menyebarluaskan pengaruh bahasa Melayu. Nilai lain ialah amanah iaitu rakyat Malaysia memikul amanah untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Selain itu nilai tanggungjawab juga terdapat dalam sajak ini iaitu rakyat bertanggungjawab untuk memelihara maruah bangsa dan bahasa Melayu supaya mencapai kegemilangan. Nilai patriotisme juga terdapat dalam sajak ini iaitu rakyat bersemangat untuk memelihara martabat bahasa dan maruah bangsa.

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

a)       Membina ayat

i.                     Ibu mengupas kulit limau untuk adik yang terlantar sakit di hospital.
Kulit Robert mengelupas apabila terkena cahaya terik matahari di Malaysia.

ii.                    Maklumat yang disampaikan oleh saksi itu bercanggah dengan siasatan yang dilakukan oleh Inspektor Hisham.
Tiang rumah Pak Hitam berceranggah setelah rumahnya dirosakkan oleh ribut yang kuat semalam.

iii.                  Penduduk menderita akibat kehabisan makanan apabila tentera Jepun menjajah Tanah Melayu.
Hasnol berhajat untuk menjelajah ke seluruh negara apabila tamat peperiksaan SPM nanti.

b)       Analisis ayat

i.                     Ayah guru.
ii.                    Kakak cantik.
iii.                  Abang ke Kuala Lumpur.

c)        Membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan

i.                     bernama                -               ternama
dwi bahasa            -               dwibahasa

ii.                    was-was                 -               waswas
membangun          -               membangunkan

iii.                  menghadkan         -               mengehadkan
semulajadi             -               semula jadi

d)       membetulkan kesalahan kata/istilah dan kesalahan bahasa

i.                     label                       -               logo
di                             -               pada

ii.                    jauh                        -               jarak
dan                         -               dengan

iii.                  mematuhi              -               menjunjung
untuk                      -               agar/ supaya

e)       peribahasa

Peribahasa sesuai yang terdapat dalam petikan tersebut ialah;

i.                     ular kena palu
ii.                    malang tidak berbau
iii.                  sekali kena, dua kali jalan tahu

Soalan 4: Novel

4(a) Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Unsur saspens terdapat dalam novel ini dengan tujuan untuk menimbulkan minat dalam diri pembaca agar menyudahkan pembacaan mereka.

Peristiwa  yang menunjukkan unsur saspens dalam novel tersebut ialah peristiwa juruhebah meminta Hafiz tampil ke pentas untuk menyanyi kerana permintaan seorang peminat rahsia yang ingin tujukan lagu itu kepada keluarga tuan rumah sempena majlis perkahwinan Same’ah. Peristiwa ini menjadi saspens kerana pembaca tertanya-tanya peminat rahsia yang membuat permintaan supaya Hafiz menyanyikan lagu pada malam itu.

Peristiwa yang menunjukkan unsur saspens yang lain ialah Samsul mengajak Hafiz ke hospital. Samsul memberitahu bahawa Hafiz perlu melupakan persengketaannya kerana orang itu sedang menderita sakit.  Samsul memberitahu bahawa kemungkinan mereka tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengannya. Peristiwa ini menjadi saspens kerana pembaca tertanya-tanya orang yang dimaksudkan oleh Samsul itu sehingga mendorong pembaca untuk menyudahkan pembacaan mereka.

Seterusnya unsur saspens juga dapat dilihat melalui peristiwa ketika Hafiz berbual-bual dengan Adila, mereka terpandang seorang pemuda yang baru lalu kemudian berhenti di luar pagar. Pemuda itu memandang mereka dan kemudian berlalu pergi. Peristiwa ini juga menjadi saspens kerana pembaca ingin mengetahui orang yang memerhatikan mereka dan sebab orang itu bertindak sedemikian.


4(b) Novel yang saya kaji ialah novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan Renyah karya Gunawan Mahmood. Berdasarkan dua buah novel tersebut, banyak watak sampingan yang telah dikemukakan oleh kedua-dua pengarang.

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, watak sampingan yang saya pilih ialah Adila. Perwatakan Adila dalam novel tersebut ialah seorang yang bersimpati. Perwatakan tersebut dapat dilihat melalui peristiwa Adila yang memberitahu Same’ah bahawa Hafiz tidak boleh dibiarkan sebegitu. Adila memberitahu bahawa Hafiz menjadi mangsa alam dan manusia di sekelilingnya. Dia bersimpati dengan nasib yang dialami oleh Hafiz dan akan membantu untuk memulihkannya. Perwatakan Adila yang lain ialah seorang yang teguh pendirian. Sebagai contohnya, apabila Faizal datang ke kampung untuk bertemu dan memujuk Adila supaya kembali kepadanya, Adila tegas dengan keputusannya untuk tidak akan menerima Faizal kembali.


Dalam novel Renyah pula, watak sampingan yang saya pilih ialah Hasnol. Perwatakan Hasnol dalam novel ini ialah seorang yang suka menjalani gaya hidup mewah. Bukti perwatakan Hasnol sedemikian ialah dia menerima tawaran Tengku Munir yang akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya di luar negara jika dia membantu meluluskan tender yang dipohon oleh Tengku Munir ekoran gaya hidup mewah yang diamalkannya. Perwatakan Hasnol yang lain ialah seorang yang tidak bijak menguruskan kewangan. Perwatakan ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Hasnol yang datang ke rumah orang tuanya untuk meminjam wang sebanyak 10 ribu bagi menyelesaikan masalah kelab golf kerana tidak pandai merancang kewangan akibat keinginan untuk hidup mewah seperti rakan-rakannya sedangkan dia hanyalah seorang kakitangan kerajaan sahaja.


KEJAYAAN BERMULA DENGAN AZAM, KESUNGGUHAN DAN DOA




CONTOH KARANGAN TUDINGAN SPM 2013....(2)

Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti kemudian huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



Tema – Pusat Sumber Sekolah

Tugasan – Usaha Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah

Idea - suasana yang kondusif
        - memperbanyakkan bahan bacaan
        - memperkasankan program NILAM
        - merancang mempelbagaikan program


Pusat sumber sekolah memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang murid. Pusat sumber sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada murid untuk mengakses pelbagai bahan bacaan bagi menyokong  proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Dengan kata lain, pusat sumber sekolah menjadi tempat untuk mengumpul, menyusun dan menyebarkan bahan pembelajaran dan pengajaran sama ada secara bercetak atau bukan bercetak bagi memenuhi keperluan murid dan guru. Oleh itu, pelbagai usaha boleh diambil untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid dan guru.

Suasana yang kondusif perlu diwujudkan bagi meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid dan guru. Bagi mewujudkan suasana yang kondusif, pihak sekolah perlu merancang susun atur rak buku yang memudahkan pergerakan murid untuk mencari bahan bacaan yang dikehendaki.  Pusat sumber sekolah juga perlu menyediakan komputer yang memudahkan murid untuk mengakses internet beserta dengan mesin pencetak dan fotokopi. Selain itu, menyediakan ruang membaca yang luas dan memudahkan pergerakan juga mampu menarik murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Pihak sekolah juga boleh meletakkan gambar tokoh-tokoh negara di sudut yang stretegik kerana usaha ini berupaya menambahkan lagi keceriaan pusat sumber. Sebagai contoh, poster mantan-mantan Perdana Menteri dan tokoh kemerdekaan negara  boleh diletakkan di atas meja bagi memberi peluang kepada murid mengingatinya dengan mudah. Usaha-usaha ini bukan sahaja mampu menyediakan suasana yang kondusif  di pusat sumber sekolah tetapi juga memberikan keselesaan kepada murid kerana mereka dapat rujukan kendiri mengikut kehendak masing-masing. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa suasana yang kondusif mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan murid dan guru.

Selain itu, memperbanyakkan bahan bacaan dan rujukan juga mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid dan guru. Pusat sumber sekolah hendaklah dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan seperti buku, majalah, akhbar ensiklopedia dan komputer supaya murid-murid dapat membuat rujukan daripada pelbagai sumber dengan mudah. Bahan-bahan bacaan terkini sama ada dari dalam atau luar negara dan buku-buku fiksyen serta bukan fiksyen perlu diperbanyakkan oleh pihak sekolah kerana sumber sedemikian dapat memberi peluang kepada murid meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pusat sumber yang lengkap dengan kemudahan untuk mengakses internet juga dapat menepati kehendak murid kerana mereka dapat mengakses maklumat  dengan mudah dan cepat. Sebagai contoh, jika guru mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan meminta murid-murid melakukan kajian tentang tokoh-tokoh negara seperti sumbangan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad, mereka dapat mengakses maklumat yang diperlukan  dengan cepat melalui kemudahan internet yang disediakan di pusat sumber sekolah. Mereka tidak perlu pergi ke kedai buku untuk mendapatkan maklumat tersebut, sekali gus mampu menjimatkan wang murid. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pusat sumber sekolah yang lengkap dengan bahan bacaan dapat menarik minat murid dan guru untuk mengunjunginya.

       Selain itu, memperkasakan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) juga mampu menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah. NILAM telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggalakkan murid-murid membaca sekali gus menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu mewajibkan murid-murid memiliki buku NILAM dan membuat catatan mengenai sebarang bahan bacaan sama ada berbentuk fiksyen atau bukan fiksyen yang telah dibaca oleh mereka. Guru-guru juga perlu membawa pelajar ke pusat sumber sekolah untuk memberi peluang kepada pelajar membaca dan membuat sinopsis mengenai bahan bacaan mereka dalam bulu NILAM. Sebagai contoh, guru-guru bahasa Melayu perlu membawa murid-murid ke pusat sumber sekolah seminggu sekali untuk memberi peluang kepada murid-murid membaca dan mengisi maklumat dalam buku NILAM.  Bagi memperkasakan lagi program NILAM, pihak sekolah perlu memberi anugerah kepada murid-murid yang menunjukkan jumlah bahan bacaan paling banyak pada setiap bulan bagi menggalakkan mereka membaca. Usaha-usaha ini bukan sahaja menyebabkan murid-murid rajin membaca tetapi juga mampu menggalakkan mereka berkunjung ke pusat sumber sekolah. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa memperkasakan program NILAM mampu menggalakkan murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah.

Akhir sekali, pihak sekolah perlu merancang pelbagai program  supaya murid-murid berkunjung ke pusat sumber sekolah. Kempen-kempen untuk menarik murid-murid supaya berkunjung ke pusat sumber sekolah perlu dilaksanakan. Jawatankuasa pusat sumber perlu mengedarkan risalah dan brosur yang mengandungi maklumat berkaitan program yang dirancang oleh pusat sumber sekolah. Selain itu, kain pemidang, banting dan poster perlu diletakkan pada papan-papan kenyataan sekolah untuk menarik minat murid-murid berkunjung ke pusat sumber. Sebagai contoh, kempen Jom Berkunjung Ke Pusat Sumber boleh dilancarkan oleh pihak sekolah bagi menggalakkan murid-murid mengunjungi pusat sumber. Pelbagai aktiviti perlu dirancang sempena kempen tersebut seperti melukis poster, pertandingan mewarna, membuat buku skrap, peraduan menulis esei dan sebagainya. Bagi menggalakkan lagi murid-murid menyertai program tersebut, hadiah yang lumayan perlu disediakan kepada mereka. Kempen seperti ini mampu menggalakkan murid-murid berkunjung ke pusat sumber kerana mereka tertarik dengan ganjaran yang telah ditawarkan. Oleh itu, pihak sekolah perlu mempelbagaikan kaedah dalam usaha menarik murid-murid mengunjungi pusat sumber kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Usaha yang penuh komitmen  pasti akan membuahkan kejayaan.

Kesimpulannya, usaha secara berterusan perlu dilakukan oleh pihak sekolah bagi menggalakkan murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Kita tidak mahu hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berminda kelas pertama bagi memacu negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti akan terbantut ekoran daripada kurangnya ilmu dalam diri mereka. Hasrat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk melihat bangsa kita maju mengikut acuan sendiri perlu direalisasikan. Usaha ini terletak pada pundak guru-guru yang memainkan peranan penting untuk membina negara bangsa yang berilmu pengetahuan dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.



(Karangan ini adalah hasil idea penulis berdasarkan soalan peperiksaan percubaan SPM Kelantan tahun 2012)

CONTOH KARANGAN TUDINGAN SPM 2013.... (1)

Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah pengurusan masa yang berkesan. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Tema - pengurusan masa yang berkesan
Idea - menyusun aktiviti dengan cara terancang
        - membentuk disiplin diri
        - meningkatkan kecemerlangan diri


Pengurusan masa yang berkesan sangat penting kepada setiap orang. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa masa itu emas, menunjukkan masa merupakan sesuatu yang sangat bernilai dan tiada tandingannya. Dalam sepotong hadis, Rasulullah menyatakan bahawa masa ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, maka masa akan memotong kita. Begitulah pentingnya masa kepada semua orang, terutamanya kepada pelajar sekolah. Mereka perlu bijak menguruskan masa  kerana pelbagai faedah akan diperoleh jika dapat menguruskan masa dengan berkesan.

Pengurusan masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah dibuat secara berjadual. Pada masa yang sama, mereka tidak akan berada dalam keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang diberikan tugasan supaya menyiapkan buku skrap Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan mengenai sumbangan negara kita dalam membantu negara-negara yang mengalami bencana alam di rantau Asia dapat diselesaikan mengikut tempoh yang dirancang jika pelajar tersebut membuat jadual kerja yang terancang. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pengurusan masa yang berkesan menyebabkan seseorang itu mampu menyusun aktiviti secara terancang.

Selain itu, dapat membentuk disiplin diri yang terpuji juga merupakan faedah yang akan diperoleh jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan. Seseorang itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji al-Quran. Jadual yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut  berupaya menguruskan kehidupannya dengan teratur kerana  mereka dapat melaksanakan urusan kehidupan mereka secara teratur. Mereka perlu mematuhi jadual yang telah dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku, seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah menguruskan masa dengan berkesan. Pakar motivasi pendidikan, Dr. Ismail Zain sering mengingatkan pelajar sekolah supaya bijak merancang masa kerana kecemerlangan datang daripada pengurusan masa yang berkualiti. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, disiplin diri yang terpuji dapat dibentuk jika seseorang itu menguruskan masa dengan berkesan.

Akhir sekali, pengurusan masa yang berkesan juga mampu meningkatkan kecemerlangan diri setiap orang. Masa yang dirancang dengan sempurna dapat meningkatkan kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Hal ini demikian kerana seseorang yang bijak merancang masa mampu mengelakkan diri mereka daripada membazir masa dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Masa yang dirancang secara berkualiti dapat melahirkan insan yang holistik. Sebagai contoh, pelajar yang bijak merancang masa akan cemerlang dalam bidang akademik,  kokurikulum dan sahsiah. Hal ini dapat direalisasikan jika mereka merancang masa yang berkualiti seperti menetapkan tempoh masa untuk belajar, mengikuti kelas tuisyen, berekreasi, menonton televisyen, membantu ibu bapa dan mengaji al-Quran. Pelajar yang merancang masa seperti ini dapat membina kecemerlangan diri mereka kerana kehidupan seharian mereka telah dihabiskan dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Mereka bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum tetapi pada masa yang sama terhindar daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat. Oleh itu,jelas menunjukkan bahawa jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan, kecemerlangan diri akan dapat dinikmati dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya, setiap masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa yang terlepas tidak akan kembali semula. Berapa banyak masa yang telah kita bazirkan sebelum ini perlu dihitung semula kerana kita tidak berupaya untuk mengembalikan semula masa yang telah berlalu.  Peribahasa ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadi, segala-galanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.


 (karangan ini adalah hasil idea penulis berdasarkan soalan peperiksaan percubaan SPM 2013 negeri Pahang)

Wednesday, 18 September 2013

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B SPM PEPERIKSAAN PERCUBAAN SBP 2013......(2)

KARANGAN BAHAGIAN B

Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan Sambutan Hari Polis di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah “Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama”
Tulis esei anda selengkapnya.


Tema – jenayah
Tugasan – membanteras jenayah tanggungjawab bersama

Idea

i.                     Kerajaan menggubal akta yang menetapkan hukuman berat kepada pesalah
ii.                   Pasukan polis menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas
iii.                  Masyarakat melaporkan kejadian jenayah secara terus kepada pihak berkuasa
iv.                 Ibu bapa mendidik anak-anak dengan agama dan nilai moral yang tinggi
v.                   Badan Bukan Kerajaan (NGO) merancang program yang memberi kesedaran kepada masyarakat akan bahaya jenayah



Tajuk : Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama
Penulis : Azaman Bin Zakaria

Warga emas dibunuh ... Utusan Malaysia
Guru maut ditembak berhampiran sekolah …. Berita Harian
Peniaga nasi kukus disamun….Kosmo

Tajuk-tajuk akhbar di atas menggambarkan sekelumit kes jenayah yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini. Kadar jenayah di Malaysia sama ada jenayah indeks atau jenayah jalanan menunjukkan senario yang membimbangkan ramai pihak. Menurut statistik daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun 2010, sebanyak 177,520 kes jenayah indeks dan 24,837 kes jenayah jalanan telah direkodkan di seluruh negara. Kes-kes seperti tembak, bunuh, samun bersenjata api, rompakan, rogol, mencuri dan sebagainya sering meniti di dada-dada akhbar tempatan. Masyarakat semakin bimbang akan situasi ini kerana jenayah yang berlaku bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan harta benda tetapi lebih menyedihkan lagi mangsa menemui ajal. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan secara kolektif bagi menangani kejadian jenayah di negara kita agar masyarakat dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Kerajaan memainkan peranan dominan dalam usaha mencegah jenayah di Malaysia. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggubal undang-undang berkaitan jenayah yang lebih ketat lagi bagi mengekang kejadian jenayah di negara kita. Undang-undang bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi (ISA) dan Akta Hasutan yang telah dimansuhkan oleh kerajaan sebelum ini perlu diganti dengan akta lain yang setaraf supaya kes-kes jenayah berat dapat ditangani. Usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan kedua-dua akta yang telah dibubarkan itu diharap mampu mengekang kejadian jenayah indeks dan jenayah jalanan. Akta ini perlu lebih tegas lagi supaya penjenayah takut untuk melakukan jenayah. Kerajaan juga perlu komited melaksanakan inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah. Kadar jenayah di seluruh negara menyaksikan penurunan mendadak sejak inisiatif-inisiatif NKRA mengurangkan jenayah diperkenalkan oleh kerajaan. Statistik menunjukkan sepanjang tahun 2010, berlaku pengurangan sebanyak 5 peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus bagi jenayah jalanan di seluruh negara.  Langkah-langkah kerajaan melalui inisiatif NKRA seperti penambahan sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 50 kawasan panas di seluruh negara dan Program Bandar Selamat yang telah diaktifkan semula  menampakkan kesan yang agak ketara.  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kesungguhan beliau untuk memberi fokus kepada usaha membanteras jenayah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan selamat. Menurut beliau lagi, kerajaan komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan berusaha memerangi penjenayah dalam Operasi Cantas Khas yang sedang beroperasi sekarang agar kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti PDRM tidak menurun. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan merupakan pihak yang dominan dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.

Selain itu, masyarakat juga turut berperanan dalam usaha membanteras kejadian jenayah di negara kita. Masyarakat perlu peka akan keadaan persekitaran di kawasan kediaman mereka. Mereka perlu melaporkan segera kepada pihak polis jika mempunyai maklumat atau melihat kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman mereka. Masyarakat perlu mewujudkan hubungan yang erat dengan pasukan polis supaya usaha membanteras jenayah menjadi efektif. Masyarakat tidak boleh menyembunyikan maklumat tentang aktiviti jenayah yang berlaku di tempat mereka kerana hal ini akan menyebabkan pasukan polis tidak dapat membanteras jenayah dengan segera. Sebagai contoh, masyarakat boleh menyalurkan maklumat segera melalui sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menerusi talian POLISKN32728 jika mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah. Penyaluran maklumat awal daripada masyarakat tentang aktiviti yang mencurigakan akan mampu memberi peluang dan ruang kepada pihak polis membanteras aktiviti jenayah dengan pantas sebelum berlaku. Masyarakat juga perlu menubuhkan Rukun Tetangga di kawasan kediaman mereka untuk mencegah jenayah daripada berlaku di kawasan kejiranan mereka. Penubuhan Rukun Tetangga ini membolehkan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) dapat dilakukan pada waktu malam mengikut giliran. Masyarakat akan meronda kawasan kejiranan untuk memastikan keadaan selamat. Rondaan ini bukan sahaja mampu mencegah kejadian jenayah tetapi juga secara tidak langsung hubungan antara masyarakat juga menjadi rapat dan mesra ibarat sambil menyelam minum air. Peranan masyarakat ini juga turut dikongsi oleh Tan Sri Lee Lam Thye merangkap Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang menyatakan bahawa masyarakat merupakan agen membanteras jenayah yang efektif selain pihak polis. Beliau menyeru supaya masyarakat memainkan peranan mereka dengan membantu pihak polis mencegah jenayah. Hubungan yang erat antara komuniti dengan pihak polis mampu menangani jenayah jalanan seperti ragut, samun, curi dan sebagainya. Jadi, jelas menunjukkan bahawa masyarakat harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.





Tugasan anda…

Kembangkan dua perenggan idea dan satu perenggan penutup dengan menggunakan ayat gramatis..


(Karangan ini adalah idea penulis berdasarkan soalan Peperiksaan Percubaan SPM SBP 2013)

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B SPM PEPERIKSAAN PERCUBAAN SBP 2013 ...... (1)

KARANGAN BAHAGIAN B

Kebanyakan anak remaja hari ini tidak suka membantu ibu bapa di rumah.
Huraikan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk memperkasakan budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga.


Tema -  budaya tolong-menolong dalam keluarga
Tugasan – peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk memperkasakan budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga

Idea
i.                     Ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak
ii.                   Ibu bapa menerapkan amalan tolong-menolong dalam diri anak-anak sejak kecil
iii.                  Ibu bapa mengajak anak-anak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan
iv.                 Ibu bapa mewujudkan amalan gotong-royong di dalam dan di luar rumah bersama keluarga
v.                   Ibu bapa menggalakkan anak-anak mengamalkan budaya tolong-menolong dengan menyediakan ganjaran


Amalan tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga pada masa ini sudah semakin terhakis. Jika ada keluarga yang berjaya menerapkan amalan ini dalam kalangan ahli keluarga mereka sekalipun, bilangannya adalah sedikit. Anak-anak yang membantu ayah dan ibu mereka hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Apa yang pasti, budaya tolong-menolong ini tidak menampakkan suatu amalan yang kukuh dalam kalangan ahli keluarga kini. Ibu bapa sebagai orang yang dominan dalam sesebuah keluarga sudah pasti memainkan peranan yang jitu untuk memperkasakan amalan tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga mereka. Jika hal ini berlaku, pasti budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga dapat diperkasakan.


Ibu bapa yang menunjukkan qudwah hasanah atau suri teladan dengan mengamalkan budaya tolong-menolong di hadapan anak-anak mampu memperkasakan budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan budaya tolong-menolong di hadapan anak-anak sejak mereka masih kecil lagi supaya budaya ini menjadi amalan apabila mereka dewasa nanti. Hal ini bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ayah boleh membantu ibu menyediakan masakan di dapur atau mengemas rumah dengan menyapu dan melipat kain yang telah dibasuh. Ibu pula boleh membantu ayah dengan membersihkan rumput yang telah dipotong oleh ayah di halaman rumah. Ibu bapa perlu melakukan amalan ini setiap hari di hadapan anak-anak mereka supaya dapat ditiru oleh anak-anak mereka. Ibu bapa boleh meminta bantuan anak-anak mereka secara perlahan-lahan supaya anak-anak bersedia menolong ibu bapa mereka. Jangan paksa anak-anak jika mereka enggan mendengar arahan ibu bapa supaya menolong mereka. Biarkan mereka menolong ibu bapa dengan kerelaan mereka sendiri. Jika ibu bapa terus melakukan kerja bersama-sama, lama kelamaan anak-anak akan rasa bersalah dan bersedia membantu ibu bapa mereka. Pakar motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fadhilah Kamsah mengingatkan ibu bapa supaya tidak menghukum anak-anak jika mereka enggan membantu atau tidak mendengar kata. Menurut beliau lagi, anak-anak akan mengikut apa yang dikatakan oleh ibu bapa jika mereka bersedia untuk melakukannya. Dalam hal ini, ibu bapa perlu istiqamah mengamalkan budaya tolong-menolong dalam keluarga mereka jika ingin budaya ini menjadi amalan dalam kalangan ahli keluarga mereka. Jadi, sudah terang lagi bersuluh jika ibu bapa menunjukkan suri teladan di hadapan anak-anak, budaya tolong-menolong dapat diperkasakan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Selain itu, menjadikan aktiviti gotong-royong di dalam dan di luar kawasan rumah sebagai amalan  keluarga juga mampu memperkasakan budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga. Ibu bapa perlu menjadikan aktiviti gotong-royong sebagai aktiviti yang wajib dilakukan oleh keluarga mereka secara bersama-sama pada setiap hujung minggu. Amalan berat sama dipikul ringan sama dijinjing ini perlu diperkasakan supaya anak-anak menjadikan amalan tolong-menolong sebagai budaya hidup mereka. Dalam aktiviti gotong-royong ini, Ibu bapa boleh membuat pembahagian tugas kepada anak-anak supaya kerja dapat dilakukan secara menyeluruh. Sebagai contoh, ayah ditugaskan untuk memotong rumput di halaman rumah, ibu menyiram bunga, abang membantu ayah mengumpul rumput yang telah dipotong, kakak mengemas rumah dan adik membantu ibu menyiram bunga. Pembahagian tugas ini perlu digilirkan setiap minggu supaya ahli keluarga dapat melakukan akvititi secara menyeluruh. Tugasan yang dilakukan secara kolektif antara ahli keluarga ini dapat menjimatkan masa sekali gus hubungan antara ahli keluarga menjadi lebih rapat dan mesra. Budayawan Negara, Datuk Azah Aziz dalam buku tulisannya Budaya Warisan Negara menggalakkan ibu bapa supaya menyuburkan budaya tolong-menolong dalam keluarga mereka kerana budaya ini merupakan salah satu warisan negara yang perlu dihidupkan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang madani. Dalam hal ini, ibu bapalah yang menjadi jentera untuk menggerakkan budaya tolong-menolong dalam kalangan keluarga mereka kerana masyarakat yang prihatin adalah lahir daripada keluarga yang harmoni. Ibu bapa tidak boleh mengharapkan pihak sekolah menerapkan amalan tolong-menolong dalam jiwa anak-anak mereka secara total kerana sebahagian besar masa anak-anak adalah bersama keluarga di rumah. Jika ibu bapa berjaya menerapkan amalan tolong-menolong ini dalam kalangan ahli keluarga mereka sudah pasti budaya tolong-menolong akan dapat diperkasakan dalam keluarga seterusnya masyarakat yang suka membantu dapat dilahirkan.




Tugasan anda….

Kembangkan dua perenggan idea dan satu perenggan penutup dengan menggunakan ayat gramatis.




(Karangan ini adalah idea penulis berdasarkan soalan Peperiksaan Percubaan SPM SBP 2013)

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN A SPM PEPERIKSAAN PERCUBAAN SBP 2013......!

KARANGAN BAHAGIAN A

Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada cara menyayangi sekolah. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara menyayangi sekolah. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Tema – menyayangi sekolah

Tugasan soalan – cara-cara menyayangi sekolah

Idea

i.                     Memelihara harta benda sekolah
ii.                    Mematuhi peraturan sekolah
iii.                  Kecemerlangan akademik
iv.                  Pencapaian kokurikulum


Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika murid-murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing. Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh murid-murid untuk menyayangi sekolah.

Seseorang murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka memelihara harta benda yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Murid-murid tidak boleh merosakkan harta benda yang disediakan kerana harta benda ini merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama dengan murid-murid lain. Secara analoginya, mereka perlu menjaga dan menyayangi harta benda sekolah seperti menyayangi harta benda sendiri ibarat menatang minyak yang penuh. Jangan sesekali melakukan vandalisme terhadap harta benda sekolah kerana kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lain untuk membaiki kerosakan tersebut. Sebagai buktinya, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud telah memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM12.5 juta pada tahun lalu untuk membaiki kerosakan harta benda sekolah. Keadaan ini sangat mendukacitakan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalur untuk menyediakan kemudahan lain kepada murid agar mereka dapat belajar dengan sempurna. Jadi jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda mereka menyayangi sekolah.

Selain itu, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara mematuhi peraturan sekolah. Murid-murid perlu mematuhi peraturan sekolah kerana peraturan yang disediakan adalah untuk mendidik mereka supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sempurna. Mereka tidak boleh menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Jangan sesekali mengatakan peraturan sekolah itu adalah untuk menyekat jiwa remaja mereka daripada melakukan sesuatu yang mampu memenuhi tuntutan remaja. Mereka perlu menganggap peraturan yang disediakan adalah untuk membina jati diri murid supaya mampu mendepani cabaran apabila keluar daripada institusi persekolahan nanti. Saya berpendapat sedemikian kerana peraturan yang dirangka oleh pihak sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid dan mengelakkan mereka terlibat dengan salah saku disiplin sehingga boleh menjejaskan proses pembelajaran mereka di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar  bergaduh di asrama dan kes tersebut tersebar di akhbar, sudah tentu murid tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah. Oleh itu, murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, menunjukkan kecemerlangan akademik juga merupakan cara yang boleh dilakukan sebagai usaha menyayangi sekolah. Murid-murid perlu menaikkan nama sekolah dengan kejayaan-kejayaan dalam akademik sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti.  Mereka perlu berbangga jika mereka berjaya dengan cemerlang, sekolah lain akan datang melawat untuk melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai. Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan anugerah oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih. Sebagai contoh, kejayaan Mohd Ammar Mokhtar mewakili negara ke Cape Town, Afrika Selatan dalam pertandingan berkaitan dengan neurologi telah menaikkan nama Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di pentas antarabangsa. Kejayaan Mohd Ammar itu menyebabkan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah dipilih sekolah angkat Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai jaringan dengan institusi pengajian tinggi.  Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menunjukkan kecemerlangan dalam akademik.

Kesimpulannya, murid-murid bertanggungjawab terhadap sekolah mereka. Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka menimba ilmu dan membina masa depan. Sekolah juga menjadi tempat murid-murid mengaut pengalaman untuk menjadi insan yang seimbang. Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi keutamaan murid-murid. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit kerana kejayaan seseorang adalah bermula daripada seorang guru sekolah.


(Karangan penulis ini berdasarkan soalan Peperiksaan Percubaan SPM SBP 2013)


Tuesday, 30 October 2012

SKEMA & TEKNIK MENJAWAB PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM KERTAS 2 NEGERI KELANTAN 2012...


SKEMA DAN TEKNIK MENJAWAB PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM NEGERI KELANTAN 2012

Soalan 1 : Rumusan

Petikan membincangkan sebab-sebab berlakunya pencemaran air di Malaysia.

Pencemaran air berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan ke dalam sungai dan penerokaan tanah secara tidak terkawal. Selain aktiviti pertanian sama ada berskala kecil atau besar, pembalakan yang berleluasa juga telah menyebabkan hakisan tanah mengalir ke sungai. Di samping itu, penggunaan racun serangga dan baja kimia dalam bidang pertanian serta najis haiwan daripada aktiviti penternakan yang dilepaskan turut mencemarkan sungai. Akhir sekali, pengaliran dan pembuangan sisa perindustrian ke dalam sungai juga menjadi penyebab berlakunya pencemaran air.

Kesan-kesan pencemaran air kepada manusia adalah kekurangan sumber air yang bersih untuk kegunaan harian dan punca pendapatan nelayan akan terjejas. Akhir sekali, aktiviti pertanian dan penternakan juga turut menerima kesannya.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan air agar kehidupan menjadi  sejahtera.
                                                                                                                                                                (120 patah perkataan)  


Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2(a) : Petikan rumusan

i)                    Maksud rangkai kata tersebut adalah tindakan sambil lewa
ii)                   Sumber air tawar diperoleh daripada air di bawah tanah dan air hujan. Sumber lain adalah daripada sungai dan tasik.
iii)                 Pada pendapat saya, cara-cara yang boleh dilakukan untuk menyedarkan masyarakat tentang peri pentingnya menjaga sumber air ialah kerajaan perlu melancarkan kempen menjaga kebersihan sungai melalui media cetak dan elektronik secara berterusan. Selain itu, pihak sekolah perlu menerapkan nilai menghargai alam sekitar dalam mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Cara lain ialah ibu bapa berperanan mendidik anak-anak sejak kecil agar menghargai sumber air. Akhir sekali, guru-guru boleh menerapkan kepentingan penjagaan sumber air melalui proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.

Soalan 2 (b) : Petikan cerpen

i)                    Gambaran keadaan Sungai Ceper ketika itu adalah memancutkan airnya dengan deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas daripada busurnya. Selain itu, pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam sehingga menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.
ii)                   Pada pendapat saya, seseorang anak boleh membalas jasa kedua-dua ibu bapanya dengan cara belajar bersungguh-sungguh untuk menghadiahkan kecemerlangan kepada ibu bapa serta sentiasa menziarahi ibu bapa yang telah tua di kampung jika anak-anak tinggal di bandar. Selain itu, anak-anak perlu membawa kedua-dua ibu bapa mereka ke Mekah jika berkemampuan. Cara lain ialah anak-anak perlu mendoakan kesejahteraan ibu bapa agar mereka beroleh kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
iii)                 Satu perwatakan ibu yang terdapat dalam petikan cerpen di atas ialah seorang yang gigih. Buktinya, ibu melakukan pelbagai kerja ketika di baruh seperti menajak, menyisir selut, memikul gemal dan menanam benih dengan tulang empat kerat yang tidak pernah tidak bermaya itu.
Satu perwatakan ibu yang terdapat dalam keseluruhan karya ialah seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, ibu menggalas tugas menyara keluarga dengan mengerjakan sawah secara bersendirian.

Soalan 2(c) : Petikan klasik

i)                    Maksud rangkai kata tersebut adalah setelah mendapat berita tersebut
ii)                   Reaksi Raja Ahmad apabila diberitahu tentang kematian Merah gajah yang dibunuh oleh Raja Muhammad adalah menghempaskan diri sambil mengoyak-ngoyak baju serta mencarik-carikkan kainnya. Selain itu, Raja Ahmad menjadi sangat marah dan dengan serta-merta baginda menghimpunkan segala askar yang lengkap dengan senjatanya.
iii)                 Pada pendapat saya, Raja Muhammad tidak wajar membunuh Merah Gajah kerana Merah Gajah tidak berniat untuk membunuh Puteri Betong. Alasan lain ialah tindakan Raja Muhammad itu adalah zalim kerana Merah Gajah tidak melalui proses penghakiman yang adil. Akhir sekali, jika Merah Gajah bersalah sekalipun, masih ada cara lain yang boleh dihukum jika Merah Gajah terbukti melakukan pembunuhan dengan sengaja.


Soalan 2 (d) : Petikan puisi

i)                    Maksud rangkap ketiga sajak di atas ialah penduduk di negara maju seperti Australia dan penduduk di negara miskin seperti Afrika adalah setaraf kerana mereka menghuni bumi dan berteduh di bawah langit yang sama.
ii)                   Pada pendapat saya, kesan-kesan yang timbul jika masyarakat tidak bersatu padu ialah negara akan menjadi kucar kacir akibat perbalahan penduduk serta ekonomi negara akan merudum kerana pelabur tidak berani menanam modal di negara yang bergolak. Selain itu, imej negara dan pemimpin akan tercemar di mata dunia. Akhir sekali, negara akan terdedah kepada penjajahan asing jika berlaku pergolakan.
iii)                 Tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas ialah masyarakat dunia hendaklah bersatu padu tanpa mengira keturunan dan asal usul kerana mereka adalah sama taraf. Selain itu, Kita hendaklah saling menyayangi antara satu sama lain untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Pengajaran lain ialah, kita hendaklah mengamalkan perpaduan yang utuh supaya masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan.

Soalan 3 : Pengetahuan dan kemahiran bahasa

3 (a) membina ayat

i)                    Poster yang dipamerkan itu telah saya lukis dua bulan lalu dengan menggunakan cat air.
ii)                   Adik telah melukis gambar ibu dengan menggunakan pensel warna sebagai hadiah ulang tahun ibu yang ke-38.
iii)                 Rencana yang disiarkan dalam akhbar semalam telah melukiskan penderitaan yang perit untuk ditanggung oleh masyarakat Rohingya.
iv)                 Mak Jemah terlukis wajah anaknya yang telah hilang dua bulan yang lalu sebaik sahaja membaca berita dalam akhbar pagi tadi.
v)                  Imuda telah mempamerkan beberapa keping lukisan yang dihasilkannya sempena pameran di Balai Seni Lukis Negara yang bermula semalam.
vi)                 Cara pengarang novel Renyah membuat pelukisan watak Datuk Dolhi berjaya menyentuh jiwa pembaca.

3(b) menukar cakap pindah kepada cakap ajuk

“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” tanya Sarah kepada Lisa.
“Aku nampak dua orang bertopeng cuba masuk ke rumah jiran kita,” jawab Lisa
“Baik kita telefon pihak polis segera,” kata Sarah.
“Betullah, biar aku telefon, tapi aku kena pergi jauh sikit, takut mereka dengar nanti,” jelas Lisa.
“Cepat sikit, nanti terlepas pula pencuri tu,” gesa Sarah
“Yalah, kau tu perhatikan mereka dengan teliti ya,” pesan Lisa lagi.

3(c ) membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan

i)                    memperuntukan                     -              memperuntukkan
anti-dadah                                  -              antidadah

ii)                   essei                                              -              esei
meningkat                                  -              meningkatkan

iii)                 atlit                                                                -              atlet      
bertanding                                  -              dipertandingkan


3(d) membetulkan kesalahan kata/istilah dan kesalahan bahasa

i)                    semua murid-murid                                -              semua murid
menceburi                                  -              menyertai

ii)                   Nasi Arab Restoran                 -              Restoran Nasi Arab
peminat                                       -              pelanggan

iii)                 menggembirakan                    -              menggalakkan
oleh                                               -              daripada


3(e) peribahasa

i)                    ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
ii)                   alang-alang berdakwat biarlah sampai hitam
iii)                 mencurah air ke daun keladi

Soalan 4 : Novel

4 (a)

Berdasarkan novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan yang saya pelajari, terdapat persoalan ketabahan watak utama menghadapi dugaan dalam kehidupan. Watak utama dalam novel tersebut ialah Bujei.

Persoalan ketabahan menghadapi dugaan dalam kehidupan sebagai insan kurang normal dapat dilihat dalam novel tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Bujei menghadapi penghinaan daripada masyarakat kampung terutamanya Alias yang sering mempermain-mainkannya. Jika Bujei enggan melakukan perkara yang disuruh oleh Alias, maka Bujei akan dipukul, disepak dan diterajangnya tanpa belas kasihan. Walaupun Bujei sering diperlakukan macam-macam oleh Alias, tetapi Bujei tetap berjumpa dengan Alias.

Persoalan ketabahan menghadapi dugaan dalam kehidupan sebagai anak tiri juga dapat dilihat dalam novel tersebut. Persoalan ini dapat dibuktikan melalui watak Bujei yang tabah menghadapi bapa tirinya, Harun yang bertindak kejam terhadap dirinya. Bujei telah ditumbuk, disepak dan diterajang oleh Harun sehingga pengsan apabila dia telah merosakkan borang yang dibawa oleh Harun untuk mendapatkan tandatangannya.


4 (b)

Berdasarkan dua buah novel yang saya kaji iaitu Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan Renyah karya Gunawan Mahmood, terdapat pelbagai latar masyarakat yang dipaparkan oleh kedua-dua pengarang.

Dalam Novel Sutera Dalam Lukisan, latar masyarakat yang sering dihina oleh orang kampung telah dipaparkan dalam novel tersebut. Latar masyarakat ini dapat dibuktikan melalui watak Bujei yang sering dihina oleh penduduk kampung yang menganggapnya sebagai pemuda yang tidak siuman. Bujei sering dibuli oleh Alias seperti memintanya terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan diri di dalam lumpur apabila terserempak dengannya. Selain itu, latar masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga juga dapat dilihat dalam novel tersebut. Sebagi buktinya, Harun tidak menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga sebaliknya telah meminta wang daripada isterinya, Fatimah untuk berjudi dan minum arak.

Dalam novel Renyah pula, latar masyarakat yang cinta akan alam sekitar telah dipaparkan oleh pengarang. Latar masyarakat ini dapat dibuktikan melalui watak Ilham yang mempengaruhi penduduk orang asli supaya membina benteng manusia bagi menghalang daripada dimasuki oleh jentera berat yang akan memusnahkan hutan sebagai tempat tinggal mereka walaupun pembalakan merupakan cabang perniagaan ayahnya. Latar masyarakat usahawan juga turut dipaparkan dalam novel tersebut. Latar masyarakat ini dapat dibuktikan melalui watak Datuk Dolhi dan Albert Lee yang terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan sehingga tertubuhnya syarikat Dolhi-Albert Holdings.


(Teknik menjawab ini diolah oleh penulis berdasarkan skema Peperiksaan Percubaan SPM Kelantan 2012)

Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM