Showing posts with label KARANGAN SPM. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN SPM. Show all posts

Thursday, 2 April 2020

KARANGAN BAHAGIAN B SPM


Sesebuah keluarga yang erat hubungannya akan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain seperti aur dengan tebing.
Huraikan kebaikan kepada ahli-ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga seperti majlis perkahwinan, sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya.


Dasawarsa ini, meniti dari bibir ke bibir umat manusia di jagat raya ini tentang isu sambutan majlis keluarga. Hal ini kerana masyarakat mulai sedar betapa signifikannya hubungan yang erat sesama ahli keluarga demi menjalani kehidupan yang sakinah. Mutakhir ini, banyak majlis keluarga disambut seperti majlis perkahwinan, sambutan perayaan, hari keluarga dan sebagainya, lebih-lebih lagi apabila tiba musim cuti sekolah. Sambutan majlis keluarga ini mendatangkan banyak kebaikan kepada ahli-ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan kata-kata perunding keluarga negara iaitu En. Zaid Mohamad yang menyeru supaya ibu bapa sering meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga dengan mengadakan sambutan hari keluarga supaya hubungan kekeluargaan bertambah erat. Persoalannya, sejauhmanakah sambutan majlis keluarga mampu memberikan kebaikan kepada setiap ahli keluarga? Jawapan kepada persoalan ini akan saya huraikan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga adalah kebaikan utama yang diperoleh apabila majlis keluarga disambut. Dalam konteks ini, nilai-nilai murni yang dapat diwujudkan adalah nilai kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan seperti nilai tanggungjawab, tolong-menolong, timbang rasa, kerjasama, kasih sayang dan sebagainya. Nilai-nilai ini dapat dilihat apabila majlis keluarga seperti majlis perkahwinan disambut secara besar-besaran. Sebagai analoginya, amalan gotong-royong masih lagi wujud di kampung-kampung apabila sesebuah keluarga akan mengadakan sambutan majlis perkahwinan anak yang disayangi. Ketua keluarga akan membahagikan tugasan kepada setiap ahli keluarga untuk mengurus bahagian-bahagian penting supaya majlis tersebut berjalan dengan lancar. Tugasan seperti menyediakan lauk, menyiapkan tempat kenduri, memasang khemah, menjemput tetamu, memasak dan sebagainya akan diberikan kepada setiap ahli keluarga. Ahli keluarga yang diberi tugasan itu akan memainkan peranan dengan baik untuk memastikan persiapan majlis perkahwinan dapat dilaksanakan dengan lancar. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan nilai tanggungjawab, kerjasama dan patuh dapat dipupuk apabila majlis perkahwinan ini diadakan. Implikasinya, setiap ahli keluarga akan menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk memastikan majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Hal ini tidak akan berlaku jika setiap ahli keluarga bersikap individualistik dan sudah tentu majlis tidak akan sempurna. Pepatah Cina ada mengatakan bahawa mendidik anak-anak ketika kecil umpama mengukir di atas air manakala mendidik anak-anak ketika dewasa umpama mengukir di atas batu. Sambutan ini adalah manifestasi kepada pepatah ini kerana mendidik anak-anak harus bermula sejak kecil. Jika anak-anak terdedah dengan amalan ini tidak mustahil mereka akan terbiasa apabila meningkat remaja. Jadi jelas menunjukkan bahawa sambutan majlis keluarga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga .

Meninjau skop perbincangan yang lebih luas, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaaan dalam sesebuah keluarga. Memetik kata-kata Cecil B. Demille, seorang tokoh falsafah Barat, seseorang itu dianggap berperikemanusiaan hanya apabila dia menyayangi diri dan keluarganya lebih daripada harta yang dimiliki. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa vital kasih sayang dalam sesebuah keluarga kerana keutuhan institusi kekeluargaan adalah datang daripada hubungan yang erat setiap ahli keluarga. Hubungan yang erat ini tidak akan datang dengan sendiri jika setiap ahli keluarga tidak dapat memupuk hubungan yang baik sesama mereka. Dengan kata lain, keluarga sakinah yang ingin dilahirkan dalam masyarakat kita adalah bermula dengan hubungan yang erat dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga merancang untuk mengadakan sambutan majlis keluarga seperti sambutan Hari Ibu pada bulan Mei setiap tahun untuk meraikan ibu tersayang, hal ini mampu membuatkan ibu mereka sangat gembira dan rasa dirinya dihargai oleh anak-anak. Sambutan ini tidak akan berjaya jika setiap ahli keluarga tidak bekerjasama untuk memastikan sambutan itu berjalan dengan lancar. Anak-anak akan berhubung antara satu sama lain untuk menyediakan segala kelengkapan bagi memastikan sambutan Hari Ibu dapat dijayakan seperti memilih tempat sambutan, menu yang ingin disediakan, hadiah untuk ibu, atur cara majlis dan sebagainya. Hubungan antara ahli keluarga ini secara tidak langsung mampu merapatkan mereka dengan lebih erat kerana anak-anak yang jauh akan pulang ke kampung dan berjumpa semasa sambutan Hari Ibu tersebut. Kesannya, hubungan akrab akan terjalin antara ahli keluarga apabila mereka sama-sama mengadakan sambutan untuk meraikan ibu mereka. Sudah terang lagi bersuluh, sambutan majlis keluarga terbukti mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam sesebuah keluarga.

Meneruskan perbincangan yang lebih luas lagi, dapat berkongsi cerita dan pengalaman adalah faedah lain apabila  menjayakan sesuatu majlis keluarga. Ahli keluarga dapat berkongsi cerita mengenai perkembangan yang berlaku dalam keluarga mereka, berbicara tentang kerjaya yang diceburi, perkongsian ilmu perniagaan yang dijalankan dan sebagainya apabila mereka berjumpa semasa sambutan majlis keluarga. Umum mengetahui bahawa perkongsian cerita ini bukan sahaja mampu menambah pengetahuan ahli keluarga tentang perkara yang telah berlaku tetapi juga perkongsian ini mampu mengurangkan tekanan emosi yang dialami oleh setiap ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana pengalaman yang diceritakan sesama ahli keluarga dapat diceritakan secara terus terang dan hal ini akan melahirkan perasaan saling mempercayai antara satu sama lain. Tamsilnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada setiap tahun akan membuatkan ibu bapa ingin berkongsi kenangan mereka ketika menyambut sambutan yang sama pada suatu ketika dahulu. Ibu bapa boleh berkongsi cerita seperti menyambut hari raya di pusat pemindahan banjir, berhari raya dengan sehelai sepinggang kerana rumah terbakar pada pagi raya, berhari raya di hospital dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh menyelitkan cerita-cerita sedih apabila teringatkan insan-insan yang telah meninggal dunia ketika bercerita kepada ahli keluarga. Impaknya, anak-anak dapat menghayati kisah hidup ibu bapa ketika seusia dengan mereka dan menjadikan cerita tersebut sebagai teladan dalam kehidupan mereka. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa manusia yang bijaksana ialah mereka yang sentiasa menjadikan sejarah silam sebagai pengajaran pada masa akan datang. Lantaran itu, majlis keluarga yang dijayakan mampu menjadi topik bualan sesama ahli keluarga untuk dijadikan sebagai peristiwa berharga yang wajar diingati. Tuntasnya, menjayakan sesuatu majlis keluarga menjadi medan kepada  setiap ahli keluarga untuk berkongsi cerita dan pengalaman berkaitan dengan majlis-majlis yang pernah diadakah sebelum ini supaya dapat dijayakan dengan lebih meriah.

Meneruskan lensa perbincangan yang lain, majlis keluarga yang disambut juga mampu mengukuhkan institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak institusi kekeluargaan menjadi goyah apabila berlakunya kepincangan seperti bapa terlibat dalam penagihan dadah, perbalahan ibu bapa, perceraian ibu bapa, bapa berada di penjara, masalah kewangan dan sebagainya. Masalah-masalah ini menyebabkan anak-anak mengalami tekanan perasaan dan ada yang mengambil keputusan untuk lari dari rumah bagi mencari ketenangan. Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peratus remaja yang lari dari rumah akibat tekanan perasaan apabila ibu bapa mereka bercerai pada tahun 2019 adalah meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding tahun 2018. Hal ini membuktikan bahawa institusi keluarga yang bermasalah akan menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. Sebagai contoh, apabila majlis sambutan hari keluarga diadakan, anak-anak yang lari dari rumah ini akan pulang untuk berjumpa dengan ahli keluarga mereka yang lain. Anak-anak ini sedar akan kesalahan yang dilakukan dan memohon kemaafan daripada kedua-dua ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa juga akan menginsafi perbuatan mereka sehingga anak-anak mereka mengalami tekanan yang akhirnya lari meninggalkan keluarga. Majlis hari keluarga yang disambut itu akan membuatkan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga akan bertaut semula menjadi lebih kukuh. Ibu bapa akan berusaha untuk memainkan peranan masing-masing dengan baik kerana tidak mahu anak-anak yang menjadi aset kepada keluarga ini terabai. Kesannya, mereka tidak akan melakukan lagi perkara yang boleh mencetuskan demoralisasi dalam institusi kekeluargaan. Nilai kasih sayang dalam keluarga akan menjadi mekar semula menyebabkan anak-anak akan rasa mereka disayangi. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa sambutan hari keluarga berupaya mengelakkan masalah rumah tangga kerana ibu bapa akan memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Bagi melabuhkan tirai perbincangan pada perenggan akhir ini, majlis keluarga yang disambut mampu meningkatkan kemahiran menguruskan diri dan organisasi. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap majlis yang akan disambut memerlukan perancangan yang rapi, pelaksanaan yang sistematik dan penilaian yang boleh dibuat penambahbaikan pada masa akan datang. Ahli keluarga akan berbincang sesama mereka  mengenai perancangan  tersusun supaya majlis yang akan disambut nanti berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, apabila ingin menyambut majlis Hari Keluarga Haji Hashim, ahli keluarga akan diberikan tugasan mengikut kemampuan seperti mengedarkan kad majlis kepada seluruh keluarga Haji Hashim yang tinggal di seluruh negara. Ahli keluarga lain akan diberikan tugasan untuk merancang menu yang akan disediakan, atur cara sukaneka, menempah tempat penginapan di calet dan sebagainya. Tugasan ini secara tidak langsung mampu meningkatkan kemahiran diri  ahli keluarga ketika berurusan dengan pihak-pihak luar dan hal ini boleh digunakan sebagai panduan untuk menguruskan majlis –majlis lain yang lebih besar kerana mereka sudah biasa bak kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Semasa majlis berlangsung juga, ahli keluarga boleh berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk memastikan majlis berlangsung dengan lancar dan sempurna. Mereka saling menolong bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh agar majlis yang disambut itu dapat memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Impaknya, ahli keluarga yang dipertanggungjawabkan itu akan menganggap tugasan yang diberikan itu sebagai wadah untuk mengasah kemahiran diri dalam pengurusan organisasi. Jadi, sudah terbukti bahawa kemahiran menguruskan diri dan organisasi dalam diri ahli keluarga dapat ditingkatkan apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kemaslahatan kepada ahli keluarga apabila menjayakan sesuatu majlis keluarga. Sebagai seorang ahli keluarga yang prihatin akan keharmonian dan ketenteraman di dalam rumah, saya mencadangkan agar kita mengimplementasikan apa jua inisiatif yang munasabah dalam usaha mewujudkan keluarga yang bahagia dan saling menyayangi antara satu sama lain. Harapan saya agar perkara tersebut dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat dikecapi ibarat kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam demi kebaikan semua ahli keluarga. Apa yang pasti sambutan sesuatu majlis keluarga mampu mengeratkan hubungan sesebuah keluarga sekali gus dapat melahirkan masyarakat madani di negara kita.


Karangan ini adalah hasil tulisan anak didik saya Muhammad Azim Mustaqim B. Hashim

KARANGAN BAHAGIAN A SPM


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan makan bersama-sama keluarga. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


KEBAIKAN MAKAN BERSAMA-SAMA KELUARGA


·        Memupuk nilai murni
·        Mengeratkan hubungan kekeluargaan
·        Berkongsi cerita dan pengalaman



Meniti arus globalisasi yang pantas berubah dan berkembang ini, kita sering melihat di dada-dada akhbar, menonton di kaca televisyen serta mendengar di corong-corong radio berkaitan dengan amalan makan bersama-sama keluarga yang sudah kurang diamalkan oleh masyarakat kini. Rancangan Wanita Hari Ini yang pernah bersiaran melalui saluran TV3 pernah memaparkan dokumentari berkaitan dengan kehidupan seorang nenek tua yang mengamalkan amalan makan bersama-sama dengan 30 orang ahli keluarganya di dalam sebuah rumah yang sama. Nenek itu sangat berpegang pada prinsip Rumahku Syurgaku, iaitu keluarga adalah harga yang paling penting berbanding segala perkara yang wujud di muka bumi ini. Persoalannya, apakah kebaikan amalan makan bersama-sama keluarga kepada ahli keluarga? Saya akan kupas persoalan ini dalam perenggan yang seterusnya.

Kebaikan yang utama daripada amalan makan bersama-sama keluarga adalah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam sesebuah keluarga. Hubungan yang akrab antara orang yang tinggal sebumbung amat vital dalam mewujudkan keharmonian sesebuah keluarga. Sebagai analoginya, apabila ahli keluarga makan bersama-sama, mereka tidak dibenarkan berdiri untuk mengambil makanan yang jauh daripada kerusinya. Jadi ahli keluarga itu akan meminta pertolongan daripada ahli keluarga yang lain supaya menghulurkan lauk yang diingininya. Kesannya,  adab ketika makan ini akan melahirkan nilai tolong-menolong yang akhirnya akan mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga tersebut. Walaupun amalan ini agak sukar untuk diamalkan dalam situasi kehidupan masa ini tetapi amalan ini wajar diteruskan oleh sesebuah keluarga kerana dapat mewujudkan keakraban dalam keluarga. Jika hal ini biasa dilakukan, nescaya ahli keluarga akan terbiasa kerana alah bisa tegal biasa. Jadi, benarlah bahawa hubungan kekeluargaan dapat dieratkan apabila ahli keluarga makan bersama-sama.

Di samping itu, kebaikan makan bersama-sama keluarga yang lain ialah ahli keluarga khususnya anak-anak dapat berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing. Dalam konteks ini, cerita yang dapat dikongsikan ialah peristiwa yang pernah dilalui oleh ahli keluarga suatu masa dahulu. Mereka juga boleh berkongsi kisah yang pernah dialami oleh orang lain ataupun menceritakan perancangan keluarga untuk dilakukan pada masa akan datang. Misalnya, anak-anak berpeluang untuk berkongsi kronologi peristiwa yang berlaku sepanjang waktu persekolahan pada hari tersebut ketika sedang makan malam dengan ahli keluarga yang lain. Sekiranya ada ahli keluarga yang ingin meluahkan perasaan yang terpendam, mereka boleh menceritakan perkara tersebut semasa makan bersama-sama. Ibu bapa yang mendengar cerita tersebut akan cuba menasihatinya supaya keadaan tidak akan menjadi lebih parah. Impaknya stress atau kemurungan yang dialami oleh anak-anak akan berjaya diatasi. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Amerika Syarikat, masalah kemurungan dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 20 tahun perlu diberi perhatian kerana kes bunuh diri akibat kemurungan semakin meningkat. Jadi amalan makan bersama-sama keluarga perlu dipraktikkan di rumah melihatkan kepada manfaatnya kepada ahli keluarga.

Seterusnya, dapat memupuk nilai murni dalam diri setiap individu adalah kebaikan lain apabila ahli keluarga mampu mengimplimentasikan amalan makan bersama-sama keluarga. Memetik kata-kata Saidina Ali bahawa kecantikan seseorang itu bukanlah dilihat dari segi pemakaiannya tetapi sebenarnya berdasarkan budi pekerti dan akhlak peribadinya. Kata-kata ini menunjukkan bahawa nilai murni yang disemai dalam diri amat mempengaruhi persepsi masyarakat hari ini terhadap seseorang. Sebenarnya, terdapat pelbagai adab ketika makan bersama-sama yang telah diajar oleh nenek moyang kita. Apabila makan bersama-sama, ibu atau bapa boleh menunjukkan atau menerangkan etika apabila makan bersama-sama. Sebagai contoh, ahli keluarga yang sudah berada di meja makan tidak boleh makan dahulu jika ahli keluarga lain belum ada lagi. Mereka hanya boleh makan bersama-sama jika semua ahli keluarga sudah berkumpul. Dalam hal ini nilai murni seperti hormat-menghormati, bertimbang rasa dan kesabaran dapat dijelmakan apabila ahli keluarga makan bersama-sama. Implikasinya, penerapan nilai-nilai murni dapat diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak secara tidak langsung dalam sesebuah keluarga. Sudah terang lagi bersuluh, amalan makan bersama-sama mampu memupuk nilai-nilai murni dalam diri ahli keluarga apabila mereka duduk bersama-sama.

Kesimpulannya, terdapat heterogen manfaat yang akan diperoleh setiap individu yang mempraktikkan amalan makan bersama-sama keluarga di rumah. Menyedari hakikat kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, menjadi satu obligasi kepada setiap ahli keluarga untuk merealisasikan amalan ini secara bersungguh-sungguh seperti genggam bara api biar sampai jadi arang dan bukan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sesungguhnya, aspirasi negara untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang sakinah perlu direalisasikan demi memacu negara kea rah lebih maju dari segi peradaban jiwa dan negara.


Karangan ini adalah hasil tulisan anak didik saya Muhammad Azim Mustaqim b. Hashim

Sunday, 29 March 2020

KARANGAN BAHAGIAN A SPM


KARANGAN BAHAGIAN A SPM

Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri sebuah pusat sumber sekolah yang baik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Analisis soalan

Tema – pusat sumber sekolah
Tugasan – ciri-ciri sebuah pusat sumber sekolah yang baik
Idea
-          terletak di lokasi yang strategik
-          mempunyai pelbagai kemudahan
-          menghebahkan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan

Contoh Karangan


Pusat sumber sekolah merupakan tempat yang menyediakan pelbagai maklumat, kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Kemudahan-kemudahan seperti bahan bacaan, bahan bantu belajar, bilik pembelajaran abad ke-21, makmal komputer, bilik akses kendiri dan sebagainya terdapat di pusat sumber sekolah. Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan ini sudah tentu mampu menarik minat warga sekolah kerana adanya ciri-ciri yang menarik minat mereka berkunjung ke pusat sumber sekolah. Belakangan ini, sebahagian besar murid tidak gemar menjadikan pusat sumber sekolah sebagai destinasi yang mesti dikunjungi. Mereka tidak berminat pergi ke pusat sumber lantaran tiada cir-ciri yang mampu menarik mereka ke situ. Oleh itu, saya akan menghuraikan pendapat tentang ciri-ciri sebuah pusat sumber sekolah yang baik supaya setiap warga sekolah berminat untuk berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Pusat sumber sekolah yang terletak di lokasi yang strategik merupakan ciri pusat sumber yang baik. Pusat sumber yang terletak di lokasi yang mudah untuk diakses oleh murid dan guru seperti di tingkat bawah blok akademik ataupun di lokasi bangunan yang dikelilingi oleh blok akademik wajar menjadi pusat sumber yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana lokasi seperti ini dapat diakses dengan mudah oleh warga sekolah kerana mereka tidak perlu bersusah payah menaiki tangga ke tingkat yang paling tinggi. Selain itu, suasana yang kondusif seperti bilik yang luas, berhawa dingin, mempunyai susun atur kerusi, meja dan rak buku yang memudahkan pergerakan juga mampu menjadi pusat sumber yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana suasana yang kondusif dan tenang mampu menarik minat murid dan guru berkunjung ke pusat sumber sama ada untuk aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan ataupun aktiviti bacaan luas. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa lokasi yang strategik dan suasana yang kondusif mampu menjadikan sesebuah pusat sumber sekolah sebagai pusat sumber yang baik.

Selain itu, pusat sumber sekolah yang mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan untuk kegunaan warga sekolah juga turut menjadi ciri pusat sumber yang baik. Kemudahan-kemudahan seperti bahan bacaan daripada pelbagai genre dan cabang ilmu, komputer yang dilengkapi dengan capaian Internet, bilik yang mempunyai koleksi bahan bantu belajar dan sebagainya sangat diperlukan oleh murid dan guru. Kemudahan-kemudahan ini akan membantu murid dan guru meningkatkan kemahiran menguasai maklumat pendidikan sekali gus mampu memperkukuh aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Selain itu, pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pusat sumber sekolah juga menarik minat warga sekolah berkunjung ke pusat sumber sekolah. Pusat sumber yang baik seharusnya merangka pelbagai program dan aktiviti pendidikan untuk memberi peluang kepada murid menunjukkan bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh mereka. Peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya dapat menggambarkan situasi ini kerana usaha yang dilakukan secara bersungguh-sungguh dapat menarik warga sekolah berkunjung ke pusat sumber sekolah. Oleh itu, kemudahan dan aktiviti yang disediakan di pusat sumber sekolah mampu menjadi ciri sesebuah pusat sumber sekolah  yang baik.

Seterusnya, pusat sumber yang sering menghebahkan setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan juga merupakan ciri sebuah pusat sumber yang baik. Hebahan-hebahan kepada seluruh warga sekolah melalui pelbagai medium seperti pamflet, poster, sepanduk, laman web dan majalah sekolah sangat berkesan untuk menarik minat mereka mengunjungi pusat sumber sekolah. Hebahan yang dilakukan secara sistematis dan berkala, bukannya hangat-hangat tahi ayam dapat menarik minat warga sekolah untuk menjadikan pusat sumber sekolah sebagai lokasi mereka menimba ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, pusat sumber sekolah yang menyediakan perkhidmatan e-buku yang dihubungkan dengan Perpustakaan Negara mampu memberi  peluang kepada murid dan guru mengakses lebih 300000 judul buku secara atas talian dengan mudah dan cepat. Mereka tidak perlu meminjam buku-buku kerana maklumat yang diperlukan boleh dicetak dan difotokopi. Hal ini dapat membantu murid dan guru kerana mereka tidak perlu bersusah payah meminjam buku di perpustakaan untuk mendapatkan maklumat. Natijahnya, hebahan yang dilakukan oleh pusat sumber sekolah mampu memupuk warga sekolah supaya menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup seharian. Jadi, pusat sumber yang sentiasa menghebahkan setiap kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di situ merupakan ciri sesebuah pusat sumber yang baik.

Kesimpulannya, saya melihat pusat sumber sekolah sebagai medan yang menjadi nadi untuk menyebar luas segala maklumat yang berkaitan dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Harapan saya agar murid dan guru sentiasa menjadikan pusat sumber sekolah sebagai mekanisme untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Hal ini kerana usaha tersebut mampu merealisasikan wawasan negara untuk melahirkan masyarakat yang suka membaca dan berpengetahuan luas. Apabila perkara ini berlaku, aspirasi mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak untuk menjadikan generasi muda kini sebagai penggerak kepada kejayaan Transformasi Nasional 2050 (TN50) mampu digapai apabila mereka berilmu pengetahuan.

TEKNIK MENULIS PERENGGAN KARANGAN SPM

TEKNIK MENULIS PERENGGAN KARANGAN


CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B

Penggunaan Internet khususnya laman sosial memberikan pelbagai kesan negatif kepada anak-anak.

Huraikan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anaK-anak.

ANALISIS SOALAN

DIMENSI SOALAN    : Keluarga
JENIS KARANGAN    : Tidak berformat
TEMA                          : Penggunaan Internet khususnya laman sosial
TUGASAN                  : Calon diminta menghuraikan tanggungjawab ibu bapa dalam
  mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak
SASARAN                   : Ibu bapa dan anak-anak
UNSUR KBAT             : Peranan ibu bapa sahaja dan Internet khususnya laman sosial
IDEA                           : Rujuk contoh karangan


PERENGGAN PENDAHULUAN

Hu Ta
(Huraian tema)

Pada era globalisasi ini, Internet khususnya laman sosial telah digunakan oleh semua lapisan masyarakat.


Su
(Cipta Isu)

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 72.8 peratus penduduk Malaysia telah menggunakan Internet. Angka ini telah menunjukkan bahawa Internet telah mempengaruhi gaya hidup masyarakat kita. Kini, Internet telah menjadi platform yang utama untuk mendapatkan maklumat, menyebarkan berita, melariskan jualan, merapatkan hubungan silaturahim dan sebagainya. Walau bagaimanapun,  penggunaan Internet juga banyak mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat khususnya anak-anak yang masih bersekolah. Anak-anak yang menggunakan Internet dengan cara yang tidak betul akan menyebabkan mereka terpengaruh dengan pelbagai kesan negatif. Jika ibu bapa tidak memantau anak-anak mereka dengan baik, nescaya anak-anak mereka akan terlibat dengan pornografi, penipuan, rogol, dan sebagainya. Jika hal ini tidak dibendung, nescaya kesan yang lebih buruk akan berlaku dan sukar untuk diubati kerana nasi sudah menjadi bubur.


Pen
(Penegasan)

Persoalannya, sejauhmanakah ibu bapa mampu mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak mereka? Persoalan inilah yang akan saya huraikan kerana ibu bapa memikul tanggungjawab yang besar untuk memantau penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak.


+ UM
(Ungkapan menarik)


Nasi sudah menjadi bubur




PERENGGAN ISI

Is
(Pernyataan Isi)

Peranan dominan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak adalah mengehadkan masa penggunaan Internet khususnya laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whatsapp, dan Masenger.


Me
(Mengapa)

Hal ini dikatakan demikian adalah kerana penggunaan Internet dalam jangka masa yang lama akan menyebabkan anak-anak lalai terhadap tanggungjawab yang perlu diutamakan seperti membuat kerja sekolah, menjawab soalan latih tubi dan mengulang kaji pelajaran.


Ba
(Bagaimana)

Dalam usaha mengawal penggunaan Internet ini, ibu bapa perlu menetapkan masa tertentu kepada anak-anak mereka  ketika menggunakan kemudahan Internet di rumah. Sebagai contoh, ibu bapa hanya memperuntukkan masa sebanyak satu jam sahaja kepada anak-anak untuk melayari Internet di rumah. Dalam jangka masa tersebut, anak-anak boleh menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mencari maklumat semasa, berkongsi berita dengan rakan-rakan dan bertukar-tukar pandangan.


Ke
(Kesan jangka panjang)

Jika ibu bapa menguatkuasakan peraturan ini, anak-anak tidak akan membazir masa dengan melayari Internet sesuka hati. Jika sampai tempoh masa yang ditetapkan ibu bapa perlu mematikan wifi di rumah supaya anak-anak tidak dapat menggunakan kemudahan Internet. Pemantauan ini mampu mengelakkan anak-anak leka melayari Internet sehingga membazir masa mereka. Masa adalah sangat penting kepada anak untuk memantapkan diri mereka dengan ilmu akademik kerana masa itu emas. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini secara tidak langsung akan mendidik anak-anak menjadi lebih berdisiplin dan menepati masa. Mereka tidak akan terdedah dengan banyak perkara yang negatif jika masa menggunakan kemudahan Internet dihadkan.


Pen
(Penegasan isi)

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa yang mengehadkan penggunaan Internet dalam kalangan anak mereka mampu mengelakkan anak-anak terpengaruh dengan perkara negatif semasa melayari Internet di rumah.


+ UM
(Ungkapan Menarik)

Sudah terang lagi bersuluh
Masa itu emas



PERENGGAN PENUTUP

Pa
(Pandangan)


Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak mereka.

Ca
(Cadangan)

Setiap ibu bapa wajar memainkan peranan mereka kerana anak-anak yang sentiasa dipantau oleh ibu bapa mampu mengelakkan mereka daripada terlibat dengan demoralisasi akhlak yang akhirnya akan merosakkan masa depan mereka.


Ha
(Harapan

Jadi ibu bapa perlu bersikap tegas terhadap anak-anak kerana masa depan negara terletak di bahu mereka. Anak-anak inilah yang akan mewarisi tampuk pemerintahan negara kelak. Oleh itu, wajarlah ibu bapa berusaha untuk melahirkan generasi yang berdisiplin agar mereka mampu memacu kegemilangan negara hingga dikenali di pentas antarabangsa selari dengan aspirasi Perdana Menteri untuk melihat negara duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.


+ UM
(Ungkapan menarik)

Duduk sama rendah berdiri sama tinggi



### Sebenarnya menulis karangan peringkat SPM tiada satu teknik yang khusus untuk diikuti oleh murid. Contoh di atas adalah sebahagian teknik menulis karangan yang boleh dijadikan panduan. Perkara yang paling penting ialah karangan calon menepati tugasan soalan, dihuraikan dengan jelas serta contoh yang sesuai dengan isu sama ada dalam negara atau luar negara. Pengolahan pula menarik, berkesan dan matang dengan gaya bahasa yang gramatis. Calon perlu masukkan ungkapan menarik sama ada peribahasa atau kata-kata tokoh untuk menjadikan karangan calon matang. 


Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM