KATA ADJEKTIF DALAM BENTUK DARJAH PERBANDINGAN
Kata adjektif dapat digunakan untuk menyatakan tiga darjah perbandingan, iaitu darjah biasa, darjah bandingan dan darjah penghabisan.
1. Darjah Biasa
Contoh: sederhana, terang, kurus, tenang, baik
Contoh ayat:
a) Hidup keluarga itu
sederhana sahaja.
b) Perangai pemuda kampung itu
baik.
c) Laut
tenang ketika waktu pagi.
2. Darjah Bandingan
Digunakan dengan dua cara;
i)
Bandingan yang sama, iaitu menggunakan kata adjektif dengan awalan
'se'
Contoh: sebesar, setinggi, sepandai, secantik, sesedap, semanis
Contoh ayat:
a) Rumah Ali
sebesar rumah Ahmad
b) Anak saya tidak
setinggi anaknya.
c) Masakannya tidak
sesedap masakan ibu saya.
ii)
Bandingan yang berbeza, iaitu kata adjektif yang menggunakan kata penguat
lebih atau
kurang yang berfungsi sebagai bandingan
Contoh: lebih harum, lebih gemuk, lebih panjang, kurang cantik, kurang maju
Contoh ayat:
a) Bunga ini
lebih harum daripada bunga itu.
b) Rambut saya
kurang panjang daripada rambut kakak.
c) Anaknya
lebih gemuk daripada anak jirannya.
3) Darjah Penghabisan
Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan dengan cara yang berikut:
i)
se + kata adjektif + gandaan + kata nama
Contoh:
a)
Sekeras-keras batu, tidak sekeras hatinya yang degil itu.
b)
Setinggi-tinggi gunung, tinggi lagi impian saya.
c)
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
ii)
ter + kata adjektif
Contoh: terpandai, tertinggi, terbaik, tercantik, termasyhur, terindah
Contoh ayat:
a) Dialah pelajar yang
terpandai di sekolah kami.
b) Gadis itu antara yang
tercantik di kampungnya.
c) Inilah pemandangan yang
terindah yang sempat saya rakam.
iii)
paling + kata adjektif
Contoh : paling pandai, paling tinggi, paling baik, paling lazat, paling cerdik, paling besar
Contoh ayat:
a) Dialah yang
paling pandai dalam mata pelajaran matematik.
b) Menara itu
paling tinggi di negara tersebut.
c)Antara adik-beradiknya, dialah yang
paling cerdik.
iv)
kata adjektif + sekali
Contoh : pandai sekali, tinggi sekali, baik sekali, lazat sekali, cerdik sekali, besar sekali
Contoh ayat:
a) Pemain bola keranjang itu
tinggi sekali.
b) Guru bahasa Melayu itu
baik sekali.
c)
Lazat sekali makanan yang saya makan tadi.
v)
ter + amat / ter + sangat + kata adjektif
Contoh : teramat pandai, teramat cantik, tersangat tinggi, tersangat baik
Contoh ayat:
a) Puteri raja itu
teramat cantik.
b) P Ramlee seorang seniman yang
teramat masyhur.
c) Bangunan itu
tersangat tinggi.
vi)
amat, sungguh, sangat + kata adjektif + sekali
Contoh : amat pandai sekali, sungguh cantik sekali, sangat merdu sekali
Contoh ayat:
a) Pakaian seragam pasukan itu
amat kemas sekali
b) Tiupan angin pada waktu petang
sungguh nyaman sekali.
c) Pemandangan di tepi pantai itu
sangat indah sekali.
(Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)