Saturday 2 November 2013

CONTOH KARANGAN TUDINGAN SPM 2013....(3)

KARANGAN BAHAGIAN B

Perpaduan merupakan elemen penting bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Huraikan kepentingan mengamalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.


Tema – perpaduan kaum di Malaysia

Tugasan soalan – kepentingan mengamalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia

Idea :

i.                    Dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni
ii.                  Mampu menarik kedatangan pelancong luar negara
iii.                 
iv.                  


Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai fokus utama bagi membina sebuah negara bangsa yang maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat kita.

Perpaduan kaum yang utuh di negara kita mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Rakyat Malaysia dapat menerima kehadiran setiap kaum tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum. Rakyat Malaysia dapat membuat keputusan bijak mengenai cara yang terbaik untuk hidup dengan aman dan harmoni. Mereka tidak mahu kehidupan mereka menjadi huru-hara ekoran daripada perbalahan yang berlaku antara kaum. Pengalaman pahit pada 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar rakyat supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai komitmen utama bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah mampu hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka boleh bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur  antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Mereka dapat meraikan hari kebesaran bersama-sama mengikut kaum yang terdapat di Malaysia. Masyarakat Cina dan India sudah tidak asing lagi menyambut Hari Raya bersama-sama masyarakat Melayu manakala masyarakat Melayu boleh menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama-sama dengan kaum Cina dan berkongsi kegembiraan dengan masyarakat India dengan meraikan perayaan Deepavali. Mereka boleh menikmati suasana dan berkongsi pengalaman apabila menyambut hari kebesaran bersama-sama. Hal ini juga banyak dibantu oleh sikap keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan yang banyak menyumbang ke arah perpaduan kaum.  Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana  perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jadi, jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan.

Selain itu, perpaduan kaum yang wujud di Malaysia juga menyebabkan industri pelancongan negara berkembang pesat dan menjadi antara penyumbang terbesar kepada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Ekonomi negara yang mapan dan sistem politik yang stabil berupaya menjadi tarikan kepada pelancong luar negara untuk berkunjung ke Malaysia. Ramai pelancong luar negara datang berkunjung ke negara kita kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan mengenai cara hidup masyarakat pelbagai kaum yang dapat ditonjolkan kepada pelancong asing seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum di negara kita. Kedatangan pelancong ini sudah tentu mampu meningkatkan pendapatan negara sekali gus menjadi sektor pelancongan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Jumlah tersebut telah menjana sebanyak RM58 bilion kepada pendapatan negara, sekali gus menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK negara. Menteri pelancongan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2013 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Kemajuan yang pesat dalam industri pelancongan negara ini menyebabkan negara mampu menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.


Tugasan anda…..


Kembangkan 2 perenggan isi dan satu perenggan penutup dengan menggunakan ayat gramatis.


(Contoh karangan ini adalah idea penulis secara total)

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...