KARANGAN BAHAGIAN B – DIMENSI ANTARABANGSA
Sejak akhir-akhir ini, penyakit
berbahaya seperti H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis atau radang otak
telah menular ke seluruh dunia. Kerjasama
sejagat amat diperlukan bagi mencegah penularan penyakit-penyakit tersebut.
Tulis sebuah rencana mengenai
peranan negara-negara dunia bagi mencegah penularan wabak penyakit-penyakit
tersebut.
Tajuk:
Tanggungjawab Negara-Negara Dunia Mencegah Penyakit Berbahaya
Penulis : Azaman
b. Zakaria
Sejak
akhir-akhir ini penyakit-penyakit seperti H1N1, SARS, selesema burung dan
meningitis atau radang otak telah melanda beberapa negara di dunia seperti
Mexico, Amerika Utara, Venezuela, China dan sebagainya. Hal ini amat
membimbangkan penduduk dunia kerana wabak penyakit tersebut telah merebak
dengan begitu cepat sekali. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah merekodkan
bahawa lebih 120 ribu penduduk dunia telah dijangkiti wabak H1N1 dan bilangan
kematian akibat penyakit tersebut melebihi 1500 orang. Di Malaysia sahaja,
bilangan kematian yang dicatatkan oleh Kementerian Kesihatan akibat H1N1
setakat ini adalah sebanyak 85 orang. Statistik ini menunjukkan bahawa wabak
penyakit berbahaya tersebut telah mengancam penduduk dunia. Keadaan akan
menjadi lebih parah lagi jika penularan penyakit ini tidak dikekang . Oleh itu,
kerjasama sejagat amat diperlukan bagi menyekat lebih banyak lagi kematian
akibat wabak tersebut. Jadi, negara-negara di dunia perlu bekerjasama dan
memainkan peranan masing-masing agar penularan wabak seperti H1N1, SARS,
selesema burung dan meningitis dapat dihalang.
Peranan yang
boleh dimainkan oleh negara-negara di dunia adalah dengan melakukan saringan
kesihatan kepada warga asing di pintu-pintu masuk sesebuah negara. Setiap warga
asing yang ingin masuk ke sesebuah negara perlu mengisytiharkan status
kesihatan mereka terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di pintu-pintu masuk sama
ada di lapangan terbang, pelabuhan atau sempadan sesebuah negara. Pasukan
petugas kesihatan perlu membuat pemeriksaan kesihatan dengan teliti terhadap
warga asing yang tiba dengan menggunakan alat khas bagi mengesan suhu badan
mereka. Jika ada warga asing yang menunjukkan simpton-simpton seperti demam,
selesema dan batuk, mereka perlu diasingkan untuk dikuarantin di tempat yang
dikhaskan bagi tempoh tertentu. Pemeriksaan ini perlu dilakukan supaya mereka
yang membawa wabak penyakit seperti H1N1 dan selesema burung dapat dikenal
pasti lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil segera seperti menghantar
mereka ke klinik atau hospital jika keadaan mereka boleh membahayakan diri dan
orang lain. Jika hal ini dibuat dengan serta-merta, individu yang menunjukkan
simpton-simpton tadi tidak akan bercampur dengan orang lain yang sihat sekali
gus wabak penyakit tersebut dapat dihalang daripada merebak ke sesebuah negara.
Kerajaan sesebuah negara perlu bertindak tegas dalam hal ini kerana penularan
wabak penyakit ini mudah berlaku jika ada interaksi antara pembawa wabak dengan
orang lain yang sihat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan
negara-negara dunia supaya membuat pemeriksaan yang ketat di pintu-pintu masuk
sesebuah negara bagi mencegah penularan wabak ini walaupun tindakan tersebut
sedikit sebanyak akan menjejaskan industri pelancongan sesebuah negara. Peringatan tersebut memang benar kerana
ada sesetengah negara memandang ringan terhadap wabak tersebut kerana bimbang
sektor pelancongan negara akan terjejas. Dalam hal ini kerajaan perlu
mengutamakan kesihatan penduduk terlebih dahulu kerana penawar bagi penyakit
ini belum ditemukan lagi. Jadi langkah pencegahan mampu mengelakkan penularan
wabak H1N1, SARS, selesema burung dan meningitis kerana mencegah lebih baik
daripada merawat.
Selain itu, negara-negara dunia sama ada negara
kaya atau miskin perlu mengadakan kerjasama antara satu sama lain bagi mencari
jalan untuk mengelakkan penularan wabak penyakit seperti H1N1, SARS, selesema
burung dan meningitis. Kerajaan sesebuah negara perlu menghantar saintis mereka
untuk membuat penyelidikan bagi mencari vaksin yang boleh mencegah
penyakit-penyakit tersebut. Setakat ini, pakar-pakar perubatan hanya memberikan
penawar kepada pesakit hanya untuk menguatkan antibodi badan mereka bagi
melawan penyakit-penyakit tersebut, tetapi penawar sebenar bagi mengubat
penyakit-penyakit ini belum lagi ditemukan. Jadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) perlu menganjurkan pertemuan antara saintis seluruh dunia untuk menjana
idea bagi mencari penawar untuk merawat penyakit-penyakit berbahaya tersebut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon semasa
berucap sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dua tahun
lepas mengajak ketua-ketua negara dunia supaya memainkan peranan yang lebih
pragmatik bagi menyediakan kesihatan yang terbaik kepada penduduk dunia. Beliau
mengajak negara-negara kaya di dunia membantu negara-negara miskin bagi
menyediakan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat mereka. Saranan ini amat
tepat memandangkan negara-negara miskin di dunia tidak mampu untuk menyediakan
kemudahan kesihatan yang sempurna kepada rakyat mereka. Jadi negara-negara kaya
seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Perancis dan Rusia perlu membantu
mereka dengan menyediakan penawar bagi mencegah penularan wabak penyakit
tersebut. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa kerjasama antara negara di
dunia mampu mengekang penularan wabak penyakit seperti H1N1, SARS, selesema
burung dan radang otak yang kini telah menjadi ancaman kepada penduduk dunia. Setiap
usaha yang diambil pasti akan ada hasilnya jika dilakukan dengan
bersungguh-sungguh kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Tugasan anda…
Kembangkan dua perenggan isi dan satu perenggan penutup dengan
menggunakan ayat gramatis
(Contoh karangan ini adalah hasil idea penulis secara total)
No comments:
Post a Comment