Lihat rajah di bawah dengan
teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah pengurusan masa yang
berkesan. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Tema - pengurusan masa yang berkesan
Idea - menyusun aktiviti dengan cara terancang
- membentuk disiplin diri
- meningkatkan kecemerlangan diri
Pengurusan
masa yang berkesan sangat penting kepada setiap orang. Pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa masa itu emas, menunjukkan masa merupakan sesuatu yang sangat bernilai
dan tiada tandingannya. Dalam sepotong hadis, Rasulullah menyatakan bahawa masa
ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, maka masa akan memotong kita.
Begitulah pentingnya masa kepada semua orang, terutamanya kepada pelajar sekolah.
Mereka perlu bijak menguruskan masa
kerana pelbagai faedah akan diperoleh jika dapat menguruskan masa dengan
berkesan.
Pengurusan
masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan
dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu
tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang
yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi
masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka
tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah
dibuat secara berjadual. Pada masa yang sama, mereka tidak akan berada dalam
keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan
secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat
hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti
dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Sebagai contoh,
seorang pelajar yang diberikan tugasan supaya menyiapkan buku skrap Pendidikan
Sivik Dan Kewarganegaraan mengenai sumbangan negara kita dalam membantu
negara-negara yang mengalami bencana alam di rantau Asia dapat diselesaikan
mengikut tempoh yang dirancang jika pelajar tersebut membuat jadual kerja yang
terancang. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pengurusan masa yang berkesan
menyebabkan seseorang itu mampu menyusun aktiviti secara terancang.
Selain itu,
dapat membentuk disiplin diri yang terpuji juga merupakan faedah yang akan
diperoleh jika seseorang itu dapat menguruskan masa dengan berkesan. Seseorang
itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan
berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu
patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar
perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti
menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di
samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji al-Quran. Jadual
yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut berupaya menguruskan kehidupannya dengan
teratur kerana mereka dapat melaksanakan
urusan kehidupan mereka secara teratur. Mereka perlu mematuhi jadual yang telah
dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku,
seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah
menguruskan masa dengan berkesan. Pakar motivasi pendidikan, Dr. Ismail Zain
sering mengingatkan pelajar sekolah supaya bijak merancang masa kerana
kecemerlangan datang daripada pengurusan masa yang berkualiti. Jadi, sudah
terang lagi bersuluh, disiplin diri yang terpuji dapat dibentuk jika seseorang
itu menguruskan masa dengan berkesan.
Akhir sekali,
pengurusan masa yang berkesan juga mampu meningkatkan kecemerlangan diri setiap
orang. Masa yang dirancang dengan sempurna dapat meningkatkan kecemerlangan
dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Hal ini demikian kerana seseorang yang
bijak merancang masa mampu mengelakkan diri mereka daripada membazir masa dan
terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Masa
yang dirancang secara berkualiti dapat melahirkan insan yang holistik. Sebagai
contoh, pelajar yang bijak merancang masa akan cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Hal ini dapat
direalisasikan jika mereka merancang masa yang berkualiti seperti menetapkan
tempoh masa untuk belajar, mengikuti kelas tuisyen, berekreasi, menonton
televisyen, membantu ibu bapa dan mengaji al-Quran. Pelajar yang merancang masa
seperti ini dapat membina kecemerlangan diri mereka kerana kehidupan seharian
mereka telah dihabiskan dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Mereka
bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum tetapi
pada masa yang sama terhindar daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan
maksiat. Oleh itu,jelas menunjukkan bahawa jika seseorang itu dapat menguruskan
masa dengan berkesan, kecemerlangan diri akan dapat dinikmati dalam kehidupan
mereka.
Kesimpulannya,
setiap masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa
yang terlepas tidak akan kembali semula. Berapa banyak masa yang telah kita
bazirkan sebelum ini perlu dihitung semula kerana kita tidak berupaya untuk
mengembalikan semula masa yang telah berlalu.
Peribahasa ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Jadi, segala-galanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukan
perubahan ke arah yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment