KARANGAN BAHAGIAN A
Tugasan soalan – Kepentingan
mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat
Idea :
i.
Mewujudkan masyarakat harmoni
ii.
Menarik kedatangan pelancong
iii.
Memajukan ekonomi negara
iv.
Meningkatkan imej negara
Malaysia
merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya
dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia
sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan
aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana
kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan
bagi membina sebuah negara bangsa yang maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada
pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum
dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.
Masyarakat
yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara
satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan
konflik antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar
kita supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat
pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara
satu sama lain. Mereka saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur
antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keterbukaan
pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak menyumbang ke arah perpaduan
kaum. Sebagai buktinya, di Malaysia
wujud Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda,
tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan
semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana perasaan prejudis kepada kaum lain tidak
wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika
perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan.
Selain itu,
ramai pelancong luar negara berkunjung
ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang
terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum dapat
ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan
sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong
dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat
dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu
seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada
usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di
Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri
pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30
juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus
kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat
di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik
pelancong asing datang ke sini.
Di samping
itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam
modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan
kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak mahu modal yang
dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di
sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari
Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari China membawa
modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi maklumat
dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang
bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan
tinggi pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu
menjana pendapatan kepada negara sekali gus
menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini berani menanam modal di sini adalah tidak
lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran daripada
masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi, sudah
terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Akhir sekali,
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej negara
di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat
antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang
disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris
dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan
negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali
di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara
kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan
kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan
bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu
padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.
Kesimpulannya,
perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di
dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara
masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama
ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku
sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan
kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita
saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya
kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk menjadi negara maju dapat direalisasikan.
(Karangan ini adalah hasil
tulisan penulis berdasarkan Soalan Peperiksaan Percubaan SPM 2012 Negeri
Kelantan)
cikgu TEBAEEKKK :):)
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
Deletethank q vry muc <3
ReplyDeleteNEKURO NU DI RABAS NU NARAGAS
Deletegomawo
ReplyDeleteThank you...Semoga Allah mmbls Jasamu
ReplyDeleteterima kasih bebanyak ye cikgu
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteYo bruh, your writing has got style to it. You're like the Yoda of essay writing. A modern age William Shakespeare of sorts.
ReplyDeletethank you so much!!
ReplyDelete