SKEMA DAN TEKNIK MENJAWAB PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM NEGERI KELANTAN
2012
Soalan 1 : Rumusan
Petikan membincangkan
sebab-sebab berlakunya pencemaran air di Malaysia.
Pencemaran air berpunca
daripada pembuangan sisa kumbahan ke dalam sungai dan penerokaan tanah secara
tidak terkawal. Selain aktiviti pertanian sama ada berskala kecil atau besar, pembalakan
yang berleluasa juga telah menyebabkan hakisan tanah mengalir ke sungai. Di
samping itu, penggunaan racun serangga dan baja kimia dalam bidang pertanian
serta najis haiwan daripada aktiviti penternakan yang dilepaskan turut
mencemarkan sungai. Akhir sekali, pengaliran dan pembuangan sisa perindustrian
ke dalam sungai juga menjadi penyebab berlakunya pencemaran air.
Kesan-kesan pencemaran air kepada
manusia adalah kekurangan sumber air yang bersih untuk kegunaan harian dan punca
pendapatan nelayan akan terjejas. Akhir sekali, aktiviti pertanian dan
penternakan juga turut menerima kesannya.
Kesimpulannya, semua pihak
perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan air agar kehidupan menjadi sejahtera.
(120
patah perkataan)
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) : Petikan rumusan
i)
Maksud rangkai kata tersebut adalah tindakan sambil lewa
ii)
Sumber air tawar diperoleh daripada air di bawah
tanah dan air hujan. Sumber lain adalah daripada sungai dan tasik.
iii)
Pada pendapat saya, cara-cara yang boleh
dilakukan untuk menyedarkan masyarakat tentang peri pentingnya menjaga sumber
air ialah kerajaan perlu melancarkan kempen menjaga kebersihan sungai melalui
media cetak dan elektronik secara berterusan. Selain itu, pihak sekolah perlu menerapkan
nilai menghargai alam sekitar dalam mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan.
Cara lain ialah ibu bapa berperanan mendidik anak-anak sejak kecil agar
menghargai sumber air. Akhir sekali, guru-guru boleh menerapkan kepentingan
penjagaan sumber air melalui proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik
darjah.
Soalan 2 (b) : Petikan cerpen
i)
Gambaran keadaan Sungai Ceper ketika itu adalah memancutkan
airnya dengan deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas daripada busurnya.
Selain itu, pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam
sehingga menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya, bersama
anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan
bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.
ii)
Pada pendapat saya, seseorang anak boleh
membalas jasa kedua-dua ibu bapanya dengan cara belajar bersungguh-sungguh
untuk menghadiahkan kecemerlangan kepada ibu bapa serta sentiasa menziarahi ibu
bapa yang telah tua di kampung jika anak-anak tinggal di bandar. Selain itu,
anak-anak perlu membawa kedua-dua ibu bapa mereka ke Mekah jika berkemampuan. Cara
lain ialah anak-anak perlu mendoakan kesejahteraan ibu bapa agar mereka beroleh
kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
iii)
Satu perwatakan ibu yang terdapat dalam petikan
cerpen di atas ialah seorang yang gigih. Buktinya, ibu melakukan pelbagai kerja
ketika di baruh seperti menajak, menyisir selut, memikul gemal dan menanam
benih dengan tulang empat kerat yang tidak pernah tidak bermaya itu.
Satu
perwatakan ibu yang terdapat dalam keseluruhan karya ialah seorang yang
bertanggungjawab. Contohnya, ibu menggalas tugas menyara keluarga dengan
mengerjakan sawah secara bersendirian.
Soalan 2(c) : Petikan klasik
i)
Maksud rangkai kata tersebut adalah setelah mendapat berita tersebut
ii)
Reaksi Raja Ahmad apabila diberitahu tentang
kematian Merah gajah yang dibunuh oleh Raja Muhammad adalah menghempaskan diri
sambil mengoyak-ngoyak baju serta mencarik-carikkan kainnya. Selain itu, Raja
Ahmad menjadi sangat marah dan dengan serta-merta baginda menghimpunkan segala
askar yang lengkap dengan senjatanya.
iii)
Pada pendapat saya, Raja Muhammad tidak wajar
membunuh Merah Gajah kerana Merah Gajah tidak berniat untuk membunuh Puteri
Betong. Alasan lain ialah tindakan Raja Muhammad itu adalah zalim kerana Merah
Gajah tidak melalui proses penghakiman yang adil. Akhir sekali, jika Merah
Gajah bersalah sekalipun, masih ada cara lain yang boleh dihukum jika Merah
Gajah terbukti melakukan pembunuhan dengan sengaja.
Soalan 2 (d) : Petikan puisi
i)
Maksud rangkap ketiga sajak di atas ialah
penduduk di negara maju seperti Australia dan penduduk di negara miskin seperti
Afrika adalah setaraf kerana mereka menghuni bumi dan berteduh di bawah langit
yang sama.
ii)
Pada pendapat saya, kesan-kesan yang timbul jika
masyarakat tidak bersatu padu ialah negara akan menjadi kucar kacir akibat
perbalahan penduduk serta ekonomi negara akan merudum kerana pelabur tidak
berani menanam modal di negara yang bergolak. Selain itu, imej negara dan
pemimpin akan tercemar di mata dunia. Akhir sekali, negara akan terdedah kepada
penjajahan asing jika berlaku pergolakan.
iii)
Tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak di
atas ialah masyarakat dunia hendaklah bersatu padu tanpa mengira keturunan dan
asal usul kerana mereka adalah sama taraf. Selain itu, Kita hendaklah saling
menyayangi antara satu sama lain untuk mengelakkan berlakunya perbalahan.
Pengajaran lain ialah, kita hendaklah mengamalkan perpaduan yang utuh supaya
masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan.
Soalan 3 : Pengetahuan dan kemahiran bahasa
3 (a) membina ayat
i)
Poster yang dipamerkan itu telah saya lukis dua
bulan lalu dengan menggunakan cat air.
ii)
Adik telah melukis gambar ibu dengan menggunakan
pensel warna sebagai hadiah ulang tahun ibu yang ke-38.
iii)
Rencana yang disiarkan dalam akhbar semalam
telah melukiskan penderitaan yang perit untuk ditanggung oleh masyarakat
Rohingya.
iv)
Mak Jemah terlukis wajah anaknya yang telah
hilang dua bulan yang lalu sebaik sahaja membaca berita dalam akhbar pagi tadi.
v)
Imuda telah mempamerkan beberapa keping lukisan yang
dihasilkannya sempena pameran di Balai Seni Lukis Negara yang bermula semalam.
vi)
Cara pengarang novel Renyah membuat pelukisan
watak Datuk Dolhi berjaya menyentuh jiwa pembaca.
3(b) menukar cakap pindah kepada cakap ajuk
“Kau nampak tak apa yang aku nampak?”
tanya Sarah kepada Lisa.
“Aku nampak dua orang bertopeng
cuba masuk ke rumah jiran kita,” jawab Lisa
“Baik kita telefon pihak polis
segera,” kata Sarah.
“Betullah, biar aku telefon,
tapi aku kena pergi jauh sikit, takut mereka dengar nanti,” jelas Lisa.
“Cepat sikit, nanti terlepas
pula pencuri tu,” gesa Sarah
“Yalah, kau tu perhatikan
mereka dengan teliti ya,” pesan Lisa lagi.
3(c ) membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan
i)
memperuntukan - memperuntukkan
anti-dadah - antidadah
ii)
essei - esei
meningkat - meningkatkan
iii)
atlit - atlet
bertanding - dipertandingkan
3(d) membetulkan kesalahan kata/istilah dan kesalahan bahasa
i)
semua murid-murid - semua
murid
menceburi - menyertai
ii)
Nasi Arab Restoran - Restoran
Nasi Arab
peminat - pelanggan
iii)
menggembirakan - menggalakkan
oleh - daripada
3(e) peribahasa
i)
ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
ii)
alang-alang berdakwat biarlah sampai hitam
iii)
mencurah air ke daun keladi
Soalan 4 : Novel
4 (a)
Berdasarkan novel Sutera Dalam
Lukisan karya Abd Talib Hassan yang saya pelajari, terdapat persoalan ketabahan
watak utama menghadapi dugaan dalam kehidupan. Watak utama dalam novel tersebut
ialah Bujei.
Persoalan ketabahan menghadapi
dugaan dalam kehidupan sebagai insan kurang normal dapat dilihat dalam novel
tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa Bujei menghadapi
penghinaan daripada masyarakat kampung terutamanya Alias yang sering
mempermain-mainkannya. Jika Bujei enggan melakukan perkara yang disuruh oleh
Alias, maka Bujei akan dipukul, disepak dan diterajangnya tanpa belas kasihan.
Walaupun Bujei sering diperlakukan macam-macam oleh Alias, tetapi Bujei tetap
berjumpa dengan Alias.
Persoalan ketabahan menghadapi
dugaan dalam kehidupan sebagai anak tiri juga dapat dilihat dalam novel
tersebut. Persoalan ini dapat dibuktikan melalui watak Bujei yang tabah
menghadapi bapa tirinya, Harun yang bertindak kejam terhadap dirinya. Bujei
telah ditumbuk, disepak dan diterajang oleh Harun sehingga pengsan apabila dia telah
merosakkan borang yang dibawa oleh Harun untuk mendapatkan tandatangannya.
4 (b)
Berdasarkan dua buah novel
yang saya kaji iaitu Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan Renyah
karya Gunawan Mahmood, terdapat pelbagai latar masyarakat yang dipaparkan oleh
kedua-dua pengarang.
Dalam Novel Sutera Dalam
Lukisan, latar masyarakat yang sering dihina oleh orang kampung telah
dipaparkan dalam novel tersebut. Latar masyarakat ini dapat dibuktikan melalui
watak Bujei yang sering dihina oleh penduduk kampung yang menganggapnya sebagai
pemuda yang tidak siuman. Bujei sering dibuli oleh Alias seperti memintanya
terjun ke dalam sungai dan membenam-benamkan diri di dalam lumpur apabila
terserempak dengannya. Selain itu, latar masyarakat yang tidak bertanggungjawab
terhadap keluarga juga dapat dilihat dalam novel tersebut. Sebagi buktinya,
Harun tidak menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga sebaliknya telah meminta
wang daripada isterinya, Fatimah untuk berjudi dan minum arak.
Dalam novel Renyah pula, latar
masyarakat yang cinta akan alam sekitar telah dipaparkan oleh pengarang. Latar
masyarakat ini dapat dibuktikan melalui watak Ilham yang mempengaruhi penduduk
orang asli supaya membina benteng manusia bagi menghalang daripada dimasuki
oleh jentera berat yang akan memusnahkan hutan sebagai tempat tinggal mereka
walaupun pembalakan merupakan cabang perniagaan ayahnya. Latar masyarakat
usahawan juga turut dipaparkan dalam novel tersebut. Latar masyarakat ini dapat
dibuktikan melalui watak Datuk Dolhi dan Albert Lee yang terlibat dalam
pelbagai cabang perniagaan sehingga tertubuhnya syarikat Dolhi-Albert Holdings.
No comments:
Post a Comment