Wednesday, 24 October 2012

KARANGAN TARGET SPM 2012 (7)


KARANGAN BAHAGIAN B

Banyak pendapat mengatakan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga.

Jelaskan peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

Tema/isu – masalah sosial dalam kalangan remaja

Tugasan – peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini

Idea
i.                     Perhatian dan kasih sayang daripada keluarga
ii.                   Didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak
iii.                  Mengawal pergerakan anak-anak
iv.                 Hubungan suami isteri yang harmoni


Masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini telah membimbangkan banyak pihak. Hampir setiap hari berita-berita mengenai masalah sosial yang melibatkan golongan remaja terpampang dalam media massa sama ada media cetak ataupun media elektronik. Berita-berita seperti pergaulan bebas, lari dari rumah, ponteng sekolah, melepak di pusat membeli-belah, merempit, bohsia, meminum minuman keras, pembuangan bayi  dan pelbagai lagi telah menghiasi dada-dada akhbar tempatan negara kita. Apakah punca berlakunya demoralisasi dalam kalangan remaja pada masa ini? Apakah tiada jalan penyelesaian untuk menanganinya? Bagaimanakah peranan keluarga bagi membendung gejala ini? Persoalan-persoalan ini sukar untuk dijawab jika tiada usaha yang konkrit daripada pelbagai pihak untuk menanganinya. Banyak pendapat mengatakan bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga. Saya bersetuju dengan pendapat tersebut kerana keluargalah yang boleh memainkan peranan bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

Perhatian dan kasih sayang keluarga memainkan peranan dominan bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini. Keluarga khususnya ibu bapa perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak seperti menatang minyak yang penuh supaya mereka tidak terjebak dalam gejala sosial sehingga boleh menconteng arang ke muka ibu bapa. Remaja akan keluar rumah dan mencari rakan-rakan untuk meluahkan masalah yang dihadapi jika tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Tuntutan kerja dan sikap materialistik masyarakat pada hari ini telah menyebabkan tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak telah diserahkan kepada pembantu rumah. Mereka tiada masa untuk mendampingi anak-anak kerana tugas-tugas luar yang kadang-kadang memakan masa berhari-hari. Hal ini demikian telah menyebabkan anak-anak tiada tempat untuk mengadu dan menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka seperti tekanan menghadapi peperiksaan, konflik dengan rakan, tiada buku rujukan dan sebagainya. Akibatnya, mereka akan keluar rumah untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Menurut pengakuan salah seorang remaja yang ditangkap dalam serbuan di salah sebuah kelab malam di ibu kota minggu lalu, dia tidak rasa bersalah keluar pada waktu malam dan berseronok di kelab-kelab malam kerana ibu bapanya sering keluar daerah sehingga berminggu-minggu lamanya. Dia tidak mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa di rumah. Pakar motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah sering mengingatkan ibu bapa supaya memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak terutama anak-anak remaja kerana pada peringkat ini mereka perlu sokongan dan dorongan bagi membuat pilihan dalam hidupnya.  Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa perhatian dan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa amat penting bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.

Selain itu, mendidik anak-anak dengan asas agama dan nilai moral juga merupakan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja. Didikan agama dan nilai moral merupakan indikator yang sangat penting bagi mencegah seseorang individu daripada melakukan perkara yang mungkar. Didikan agama akan menjadi abar kepada remaja daripada terjebak dalam masalah sosial seperti pergaulan bebas, minum minuman keras dan melakukan seks bebas. Hal ini demikian kerana ketaqwaan yang telah kejap dalam sanubari remaja dapat menjadi benteng kepada mereka daripada melakukan maksiat. Mereka dapat membuat pertimbangan yang wajar sebelum melakukan sesuatu perbuatan. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan asas-asas ketaqwaan dalam diri anak-anak sejak kecil kerana pada peringkat ini mereka mudah untuk dibentuk kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa yang bertaqwa akan memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama yang mencukupi. Masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah berpunca daripada sikap ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka memberikan didikan agama yang mencukupi kepada anak-anak mereka. Mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran tetapi tidak bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab mereka memberikan didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak. Apabila asas agama tidak kukuh, maka mereka mudah terperangkap dalam masalah-masalah seperti seks bebas dan pembuangan bayi. Mufti Kelantan, Datuk Hj. Shukri Muhammad mengingatkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak dengan asas-asas agama yang kukuh bagi mengelakkan anak-anak remaja terjerumus dalam kemaksiatan. Beliau melahirkan kebimbangannya kerana kes-kes yang melibatkan golongan remaja seolah-olah sudah mencapai tahap yang kronik. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, didikan agama yang teguh mampu mengelakkan remaja terlibat dalam masalah sosial.

Di samping itu, keluarga juga perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini. Tugas mendidik anak-anak pada zaman ini sudah jauh berbeza jika dibandingkan dengan ibu bapa pada zaman dahulu. Dalam hadis ada menyebut supaya mendidik anak-anak mengikut zaman. Pada zaman dahulu, anak-anak tidak keluar rumah kerana  tiada tempat untuk berhibur. Hal ini berbeza jika dibandingkan pada masa sekarang. Pada masa ini ibu bapa perlu mengetahui pergerakan anak-anak mereka kerana cabaran dunia globalisasi kini menuntut  ibu bapa supaya sentiasa memastikan anak-anak mereka  terhindar daripada pengaruh  budaya kuning yang boleh merosakkan minda mereka. Ibu bapa perlu merancang pergerakan anak-anak, mengetahui kawan anak-anak mereka, bertanyakan tempat anak-anak ingin pergi dan menetapkan masa pulang supaya mereka sentiasa dalam kawalan keluarga. Hal ini penting kerana masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah berpunca daripada kurangnya kawalan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Kawalan yang kurang menyebabkan anak-anak menjadi bebas kerana mereka menganggap keluarga mereka tidak mempedulikan mereka. Oleh itu, anak-anak akan melakukan perkara yang tidak baik seperti merokok, melepak, merempit dan tidak pulang ke rumah. Jika keluarga mengawal pergerakan anak-anak, masalah sosial tidak akan berlaku kerana anak-anak berasakan keluarga mereka sentiasa memerhati dan mengikuti setiap pergerakan mereka. Anak-anak akan lebih berhati-hati jika ingin melakukan sesuatu perkara yang tidak baik. Sebagai contoh, anak-anak akan pulang ke rumah seperti yang diperintahkan oleh keluarga kerana tidak mahu ibu bapa mereka risau jika tidak pulang mengikut masa yang ditetapkan. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal anak-anak mereka supaya masalah sosial dalam kalangan anak-anak remaja dapat ditangani dengan berkesan.


Akhir sekali, ibu bapa perlu memastikan hubungan antara mereka sentiasa harmoni bagi mengelakkan anak-anak remaja terlibat dalam masalah sosial. Hubungan suami isteri yang harmoni amat penting bagi membina keluarga yang bahagia. Anak-anak akan berasa seronok apabila berada di rumah apabila hubungan antara ahli keluarga menjadi rapat. Ibu bapa yang berjaya mewujudkan hubungan yang mesra antara ahli keluarga mampu mewujudkan keluarga mawaddah. Perkara yang menjadi masalah sekarang adalah ada ibu bapa yang terang-terangan bergaduh di hadapan anak-anak terutama anak-anak yang sudah remaja. Pergaduhan ini akan menyebabkan anak-anak berasa tertekan. Mereka akan bertindak keluar rumah untuk menenangkan fikiran. Anak-anak ini akan mencari rakan yang boleh memberikan ketenangan kepada dirinya. Jiwa yang renyah ini sangat mudah untuk diperdaya oleh rakan-rakan yang sudah rosak akhlaknya menyebabkan mereka akan terjerumus dalam masalah sosial. Menurut salah seorang remaja yang ditangkap dalam serbuan  kerana terlibat dalam pesta seks di Kedah tahun lalu mengaku terpedaya dengan ajakan rakan-rakan kerana kecewa dengan sikap ibu bapanya yang sering bergaduh walaupun melibatkan isu yang remeh-temeh. Kes ini amat relevan dengan saranan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abdul Rahman semasa berucap sempena majlis polis bersama komuniti di Kota Bharu baru-baru ini yang mengingatkan para ibu bapa supaya mengambil tahu akan masalah anak-anak dan mengawal pergerakan mereka kerana statistik remaja yang terlibat dalam perlakuan jenayah di Kelantan semakin meningkat. Jadi, jelas menunjukkan bahawa hubungan yang harmoni antara ibu bapa dan ahli keluarga dapat mewujudkan suasana yang kondusif di rumah. Jika hal ini berlaku, saya pasti anak-anak remaja tidak akan terlibat dalam masalah sosial sekali gus institusi keluarga dapat dikukuhkan.

Kesimpulannya, keruntuhan institusi keluarga mempunyai kaitan dengan masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini. Ibu bapa perlu memastikan supaya institusi keluarga yang dibina sentiasa kukuh dengan asas-asas agama yang mantap. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk anak-anak yang tinggi nilai budi dan jati diri. Anak-anak yang membesar dalam situasi yang sedemikian mampu mengawal diri mereka daripada terlibat dalam masalah sosial. Jika keadaan ini dapat diwujudkan oleh ibu bapa sebagai pemimpin dalam keluarga, maka keluarga mawaddah dapat dilahirkan. Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semasa berucap sempena majlis penutup Hari Keluarga Mawaddah di Taman Tengku Anis dua hari lepas mengingatkan ibu bapa supaya mengukuhkan ilmu keibubapaan dalam diri masing-masing bagi memudahkan mereka menguruskan rumahtangga dengan cemerlang. Jadi ibu bapa hendaklah berusaha memastikan institusi keluarga sentiasa kukuh agar masyarakat madani mengikut acuan negara kita dapat dilahirkan suatu hari nanti.


(Karangan ini adalah tulisan penulis secara total berdasarkan soalan Peperiksaan Percubaan SPM 2012 negeri Kelantan)


6 comments:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...