Thursday 18 October 2012

KARANGAN TARGET SPM 2012 (6)


KARANGAN BAHAGIAN A

Tugasan soalan – Kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat

Idea :

i.                     Mewujudkan masyarakat harmoni
ii.                   Menarik kedatangan pelancong
iii.                  Memajukan ekonomi negara
iv.                 Meningkatkan imej negara


Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak menyumbang ke arah perpaduan kaum.  Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana  perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan.

Selain itu, ramai pelancong  luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.

Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus  menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini  berani menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa  negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di  Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.

Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan  negara untuk menjadi  negara maju dapat direalisasikan.


(Karangan ini adalah hasil tulisan penulis berdasarkan Soalan Peperiksaan Percubaan SPM 2012 Negeri Kelantan)

10 comments:

  1. Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  2. Thank you...Semoga Allah mmbls Jasamu

    ReplyDelete
  3. terima kasih bebanyak ye cikgu

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. Yo bruh, your writing has got style to it. You're like the Yoda of essay writing. A modern age William Shakespeare of sorts.

    ReplyDelete

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...