Thursday 21 June 2012

PELAJAR FARIS PETRA KE CAPE TOWN, AFRIKA SELATAN......

Saudara Ammar bin Ahmad Mokhtar dipilih mewakili Malaysia ke Cape Town, Afrika Selatan nanti.

10 orang pelajar cemerlang yang layak ke peringkat akhir bersama-sama dengan guru penasihat Pn. Mazinah



Pihak Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM telah mendapat geran daripada Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak RM57,000 bagi menjayakan "Projek Knowledge Transfer Programe" (KTP) fasa 1 dan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah diberi penghormatan menjadi 'school based Neurosains Clubs' bagi projek 'MOHE Knowledge Transfer Programe-Komuniti'. Kejayaan program fasa 1 ini akan menjadi suatu model kepada pelaksanaan fasa 2 yang akan disebar luas ke seluruh negara. Majlis pelancaran program KTP ini akan diadakan pada 28 Jun  2012 yang akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Ybhg Dato' Seri Mohd Khalid Nordin.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Neurosains terutamanya Prof,. Jafri Malin bin Abdullah dan para 'graduate intem' iaitu graduan lanjutan yang telah bekerja keras untuk merealisasikan objektif penubuhan Kelab Neurosains di sekolah kita. Sesungguhnya Program Pemindahan Ilmu Kementerian Pengajian Tinggi ini dapat menaikkan lagi imej Faris Petra sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Apabila aktiviti-aktiviti pemindahan ilmu daripada individu peringkat tinggi (USM) kepada individu pelajar di sekolah berlaku dengan maksimum, pastinya situasi ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk turut bersaing dalam mana-mana pertandingan sama ada dalam negara ataupun di peringkat luar negara.

Salah satu objektif penubuhan Kelab Neurosains ini adalah untuk turut menyertai 'International Brain Bee Competetion' pada 21 Julai 2012 ini di Cape Town, Afrika Selatan. Pada peringkat sekolah, pertandingan ini bermula dengan saringan pertama pada 19 Feb 2012 lalu dengan melibatkan seramai 90 orang pelajar yang terdiri daripada ahli Kelab Neurosains dan bukan ahli. Keputusannya seramai 46 orang pelajar telah layak ke peringkat suku akhir pada 6 Mac 2012 dan seramai 20 orang pula layak ke peringkat separuh akhir yang berlangsung di Dewan Nurani, USM Kubang Kerian pada 26 Mac 2012 yang lalu. Dalam peringkat separuh akhir itu, seramai 10 orang berjaya ke peringkat akhir yang telah diadakan pada 14 Jun 2012 lepas di Makmal Pelbagai Guna, USM Kubang Kerian. 

Ujian bagi menentukan siapakah juara yang akan ke Cape Town untuk bersaing dengan 14 buah negara lain begitu mencabar sekali dan benar-benar menguji minda pelajar dalam bidang neuro. Sememangnya bukan mudah untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Ujian tersebut mengandungi 4 bahagian iaitu histologi (kajian sel), anatomi (struktur internal), multiple choice question & structured answer question dan oral/ viva. Pelajar-pelajar begitu bersedia dengan membuat rujukan di internet semasa cuti dan sanggup fotostat buku rujukan yang begitu tebal serta bersedia meluangkan masa selepas prep bersama dengan graduate intem berbincang mengenai bidang neurosains dengan lebih mendalam. Selesai melepasi beberapa peringkat ujian itu, hari ini akan diumumkan siapakah juara antara 10 peserta cemerlang yang akan mewakili negara ke 'International Brain Bee Competetion' di Cape Town, Afrika Selatan pada 20 - 27 Julai 2012 nanti, yang dikira boleh menjadi role model kepada semua pelajar.

Ketua Jabatan Neurosains USM Kubang Kerian, Prof Jafri Malin bin Abdullah telah menyampaikan sijil kepada 10 orang yang layak ke peringkat akhir dan menyarungkan labcoat kepada saudara AMMAR BIN AHMAD MOKHTAR (5B) yang terpilih untuk mengibarkan bendera Malaysia di Cape Town, Afrika Selatan nanti. TAHNIAH.

(Penulis memperoleh sumber maklumat daripada penasihat Kelab Neurosains Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pn. Mazinah Muda yang akan mengiringi Ammar bin Ahmad Mokhtar ke Cape Town nanti)

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...