Tuesday 31 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Huraikan dua peristiwa menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari.

Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Novel ini mengandungi banyak peristiwa menarik.

Peristiwa menarik yang terdapat dalam novel Pantai Kasih ialah peristiwa ketika seorang doktor merawat pesakitnya. Dr Raiha menerima tugasan melakukan pembedahan ke atas Unong Siron dengan penuh tanggungjawab apabila meneliti Sinar-X beberapa kali untuk memastikan pembedahan kali keenam ini berjaya. Peristiwa ini menarik kerana kita dapat melihat seorang doktor dapat merasai penderitaan yang ditanggung oleh pesakitnya menyebabkan dia berusaha dengan gigih untuk melakukan pembedahan sebaik mungkin agar pembedahan itu berjaya memulihkan penderitaan pesakitnya.

Peristiwa menarik yang lain ialah peristiwa seorang ibu yang bersungguh-sungguh mempertahankan hak anaknya. Peristiwa ini dapat dilihat melalui Dr Raiha yang bersungguh-sungguh mempertahankan anak yang dikandung apabila suaminya Dr Sadiz meminta supaya kandungan itu digugurkan setelah didapati anak itu cacat. Peristiwa ini menarik kerana kita dapat lihat seorang ibu yang sanggup mempertahankan kandungan daripada digugurkan kerana dia sangat menyayangi anak itu walaupun dia mengetahui bahawa anak itu akan  dilahirkan dalam keadaan cacat.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Novel ini mengandungi banyak peristiwa menarik.

Peristiwa menarik yang terdapat dalam novel Bimasakti Menari ialah peristiwa kegigihan anak muda melestarikan alam sekitar. Peristiwa ini dapat digambarkan melalui Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman yang gigih berusaha untuk memastikan projek Kawasan Simpan Langit Gelap berjaya dilaksanakan di Kuala Selangor bagi mengembalikan kegelapan agar bintang-bintang dapat dilihat semula. Peristiwa ini sangat menarik kerana kita dapat melihat kegigihan anak muda yang berusaha untuk melestarikan alam sekitar walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh bagi merealisasikan projek tersebut.

Peristiwa menarik yang lain ialah peristiwa setiakawan yang ditunjukkan dalam persahabatan. Peristiwa ini dapat dilihat apabila Muhammad Taufik yang dalam perjalanan pulang dari hospital telah meminta supaya ayahnya berhenti di stesen minyak Petronas untuk berjumpa dengan penculik yang menunggu di situ demi memastikan rakannya Nurul Hafsa yang telah diculik sebelum itu berjaya diselamatkan. Peristiwa ini menarik kerana kita dapat melihat pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh rakan demi memastikan rakannya dapat diselamatkan walaupun tindakan tersebut akan membahayakan dirinya sendiri.


No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...