Monday 17 October 2011

JAWAPAN PERCUBAAN BM SPM KELANTAN 2011

CONTOH JAWAPAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM MPSM KELANTAN 2011

Soalan 1 : Rumusan

Petikan membincangkan sebab-sebab berlakunya tekanan mental dalam kalangan remaja.

Antara sebab berlakunya tekanan mental ialah remaja datang daripada keluarga  bermasalah serta ibu bapa yang terlalu menekankan akademik Selain penderaan secara fizikal dan mental, tekanan mental juga berpunca daripada kehidupan yang mewah tetapi kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada keluarga. Seterusnya, tekanan mental berlaku apabila seseorang yang disayangi meninggal dunia dan berlakunya perceraian ibu bapa. Akhir sekali, sejarah keturunan keluarga juga turut menjadi punca tekanan mental.

langkah-langkah untuk mengatasi tekanan mental ialah seseorang perlu mendekatkan diri kepada tuhan supaya jiwa menjadi tenang dan berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan bimbingan serta rawatan.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mendekati dan menyelesaikan masalah anak-anak supaya tekanan yang ditanggung dapat diringankan.

(122 patah perkataan)


Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

i)                     Maksud rangkai kata tersebut ialah mendapatkan kaedah yang paling sempurna

ii)                   Kesan yang dihadapi oleh remaja jika mereka tidak dapat meluahkan perasaan, pandangan dan masalah mereka kepada keluarga ialah mereka akan memendam rasa dan menunjukkan tingkah laku yang kurang menyenangkan. Selain itu, mereka akan bertindak membuta tuli.

iii)               Pada pendapat saya, peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa untuk menangani masalah tekanan anak-anak dalam pelajaran ialah tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kepada anak-anak untuk mengelakkan mereka tertekan. Peranan lain ialah ibu bapa tidak memberikan tumpuan kepada akademik semata-mata sebaliknya merancang percutian bersama anak-anak untuk melepaskan tekanan mereka. Selain itu, ibu bapa perlu menerapkan asas agama yang kukuh dalam diri anak-anak supaya mereka sentiasa berfikiran positif jika menghadapi tekanan.

Soalan 2 (b) – Petikan Cerpen

i)                     Reaksi Hakimah setelah mendengar kata-kata Mir berdasarkan petikan di atas ialah mengeluh dan memeluk bahu Mir. Selain itu, Hakimah terasa seperti ada kengiluan mengalir dalam dirinya dan memikirkan bahawa Mir harus diselamatkan.

ii)                   Sebagai sahabat, tindakan yang perlu saya ambil jika sahabat saya mengalami hilang keyakinan diri ialah mendengar masalah dan memberi nasihat kepadanya supaya beban yang ditanggung dapat diringankan. Selain itu, saya akan mengajaknya ke masjid untuk mendekatkan diri kepada tuhan supaya jiwanya menjadi tenang. Tindakan lain yang boleh saya ambil ialah membawanya berjumpa dengan kaunselor supaya dia dapat menceritakan masalah yang dihadapi.

iii)                  Satu persoalan yang terdapat dalam petikan ialah peranan sahabat dalam meringankan masalah rakan.
Dua persoalan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ialah kepentingan agama dalam kehidupan dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Soalan 2 (c) – Petikan prosa klasik

i)                     Maksud rangkai kata tersebut ialah pelbagai peristiwa yang berlaku

ii)                   Setelah Inderaputera menghampiri tasik tersebut, baginda melihat pasirnya daripada emas urai dan batunya daripada permata yang indah-indah.  Inderaputera juga melihat gersiknya daripada mantika serta rumput daripada kuma-kuma dan airnya seperti bau kasturi. Selain itu, di tepi tasik tersebut juga terdapat beberapa pohon anggur, zabib, delima dan buah-buahan.

iii)                  Pada pendapat saya, usaha-usaha untuk menjadikan tasik sebagai pusat pelancongan ialah kerajaan perlu menyediakan kemudahan asas seperti tandas, masjid dan jalan yang sempurna agar pengunjung berasa selesa apabila datang ke situ. Selain itu, pokok-pokok hiasan perlu ditanam di sekeliling tasik supaya suasana menjadi damai dan mengasyikkan pengunjung. Usaha lain ialah kemudahan rekreasi dan taman permainan kanak-kanak perlu disediakan supaya pengunjung boleh beriadah di situ bersama-sama keluarga.

Soalan 2 (d) – Petikan Puisi

i)                     Penyajak menyeru anak-anak muda bangkit kerana matahari sudah tinggi di puncak serta melihat jernihnya pagi. Selain itu, penyajak mahu anak-anak muda melihat burung-burung berterbangan di udara serta pepohon hijau merendang daunnya. Penyajak juga tidak mahu anak-anak muda menyesal kemudian hari dan masa masih belum terlambat untuk anak-anak muda berubah.

ii)                   Sebagai remaja, peranan yang boleh dimainkan mereka untuk mencapai aspirasi negara ialah belajar bersungguh-sungguh supaya generasi berilmu dapat dilahirkan. Remaja juga perlu mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan gejala negatif sehingga boleh merosakkan diri mereka. Selain itu, remaja juga perlu meningkatkan kemahiran diri untuk membangunkan negara selaras dengan arus globalisasi yang begitu pantas sekarang.

iii)                  Pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas ialah generasi sekarang tidak boleh leka dengan kemajuan yang dikecapi kini kerana kemajuan tersebut adalah usaha generasi terdahulu. Pengajaran lain ialah kita hendaklah merebut setiap peluang yang terhidang kerana peluang tersebut akan diambil oleh orang lain jika kita leka. Selain itu, kita hendaklah bersaing dengan bangsa lain jika tidak ingin melihat bangsa kita terus ketinggalan dalam arus perdana.

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

a)       membina ayat

i)                     Pihak polis telah menyerahkan beberapa nama penjenayah yang dikehendaki petang semalam untuk disiarkan dalam media cetak dan media elektronik.

ii)                   Pendaki negara yang bernama Mukharabin akan dianugerahkan pingat kebesaran atas kejayaan beliau mendaki gunung di tujuh benua tahun lalu.

iii)                  Jamuan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Orang Kurang Upaya Kuala Lumpur di Hotel Perdana minggu hadapan akan dihadiri oleh orang-orang ternama bagi menunjukkan sokongan mereka kepada golongan tersebut.

iv)                 Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kampung Telok Baru akan menamakan masjid yang baharu dibina itu sebagai Masjid Al-Majid sempena nama pemilik tanah yang mewakafkan tanah tersebut kepada penduduk kampung.
v)                   Ramai orang kenamaan akan hadir sempena Konsert Diraja V yang akan diadakan di Istana Negara pada minggu hadapan.

vi)                 Hari penamaan calon akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya apabila mereka bermesyuarat pada minggu hadapan.

b)       Pola ayat dasar

i)                     FN + FK
ii)                   FN + FSN
iii)                  FN + FA
iv)                 FN + FN
v)                   FN + FN
vi)                 FN + FK

c)       Kesalahan ejaan dan imbuhan

i)                     anika – aneka                                                                terlihat – kelihatan

ii)                   tanda noktah (.) – tanda soal (?)                                disenaraikan – tersenarai

iii)                  memperdulikan – mempedulikan                                kunjungan – pengunjung

d)       Kesalahan kata/istilah dan bahasa

i)                     adalah – ialah                                                                zaman – abad

ii)                   dengan – pada                                                              ditatap – diteliti

iii)                  membincangkan tentang – membincangkan            ditempuhi – dihadapi

e)       Peribahasa

i)                     mencurah air ke daun keladi/ mencurah garam ke laut

ii)                   siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedas/siapa yang makan nangka, dialah yang kena getah

iii)                  ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi/ harimau menyorokkan kukunya

Soalan 4 : Novel

a)       Novel yang saya pelajari ialah novel Renyah, karya Gunawan Mahmood. Novel tersebut memaparkan peristiwa-peristiwa yang mempunyai banyak nilai murni untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.

Antara peristiwa tersebut ialah Datuk Dolhi rajin mencari peluang baharu dalam bidang perniagaan di samping berusaha untuk meningkatkan prestasi syarikatnya. Dia sanggup pergi ke luar negara untuk mencari peluang perniagaan walaupun umurnya mencecah 60-an. Peristiwa tersebut menggambarkan nilai murni kerajinan.

Peristiwa lain ialah Wahi akur dengan permintaan Datuk Dolhi agar dia mendalamkan ilmu dalam bidang perniagaan di Jepun demi tugasnya walaupun terpaksa meninggalkan keluarga. Peristiwa tersebut menggambarkan nilai murni kepatuhan.

Peristiwa seterusnya ialah Datuk Dolhi menjamin Hasnol yang terlibat dalam kes rasuah dan Dani yang terlibat dalam kes dadah walaupun mereka telah mencemarkan nama baiknya. Peristiwa tersebut menggambarkan nilai murni kasih sayang.

b)       Novel yang saya pelajari ialah novel Renyah, karya Gunawan Mahmood dan novel Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan. Banyak latar masyarakat digambarkan oleh pengarang dalam kedua-dua novel tersebut.

Dalam novel Renyah, masyarakat yang terlibat dalam perniagaan terdapat dalam novel tersebut. Latar masyarakat tersebut digambarkan melalui watak Datuk Dolhi dan Albert Lee yang berkongsi menubuhkan syarikat Dolhi-Albert Holding dan terlibat dalam perniagaan hartanah dan pembalakan.

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan pula, masyarakat yang terlibat dalam gejala rasuah digambarkan oleh pengarang. Latar masyarakat tersebut digambarkan melalui watak Hasnol yang pada awalnya digambarkan sebagai pegawai kerajaan yang amanah tetapi akhirnya terjebak dalam kes rasuah akibat mengamalkan gaya hidup mewah.

No comments:

Post a Comment

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...