Thursday 10 September 2015

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B

KARANGAN BAHAGIAN B

Setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu sukan melalui pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.

Jelaskan faedah-faedah yang akan diperoleh dengan menyertai aktiviti sukan.


Tema – pelajar wajib menyertai aktiviti sukan

Tugasan – faedah-faedah yang akan diperoleh dengan menyertai aktiviti sukan

Idea

i.                     menjadikan tubuh badan sihat dan minda cerdas
ii.                    dapat membentuk disiplin dan sahsiah terpuji
iii.                  mampu mewujudkan semangat kerjasama
iv.                  dapat mengukuhkan perpaduan kaum
v.                    dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah



Setiap pelajar diwajibkan menyertai aktiviti sukan di sekolah. Kerajaan telah menetapkan 10 peratus markah kokurikulum sebagai syarat kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi awam atau swasta untuk menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum khususnya aktiviti sukan sangat penting untuk diceburi oleh pelajar sekolah. Sebagai membuktikan lagi keseriusan kerajaan, Kementerian Pendidikan telah melancarkan dasar 1Murid 1Sukan, iaitu setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu sukan di sekolah amat tepat kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada pelajar. Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap melancarkan dasar 1Murid 1Sukan melahirkan keyakinan bahawa dasar ini mampu membina generasi yang sihat  dan pada masa yang sama berupaya melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi, pelajar harus sedar bahawa terdapat faedah-faedah yang akan diperoleh apabila mereka menyertai aktiviti sukan.

Faedah utama yang akan diperoleh apabila pelajar menyertai aktiviti sukan adalah mampu melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan dan minda yang cergas.  Aktiviti sukan yang diceburi oleh pelajar sekolah mampu menjadikan badan mereka sihat, sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada menghidap sebarang penyakit berbahaya. Apabila mereka bersukan, badan mereka akan berpeluh sekali gus mengeluarkan toksin yang tidak diperlukan oleh badan melalui liang-liang roma. Perjalanan darah ke seluruh tubuh menjadi lancar menjadikan diri mereka sentiasa sihat   sekali gus minda mereka turut cerdas. Peribahasa badan sihat otak cerdas sangat bertepatan dalam hal ini kerana pelajar yang sihat dapat memberikan fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan baik.  Mereka berupaya menjadi pelajar yang cemerlang kerana tumpuan pelajar di dalam kelas adalah prasyarat utama untuk menjadi cemerlang. Dr. Ismail Zain, pakar kaunseling pendidikan menyatakan bahawa pelajar yang fokus ketika guru mengajar di dalam kelas sudah sebelah kaki menuju kecemerlangan. Kata-kata ini membuktikan bahawa pelajar mampu fokus di dalam kelas jika badan mereka sihat kerana badan yang tidak sihat akan menyebabkan mereka berasa letih dan mengantuk. Selain itu, pelajar yang sihat juga mampu mengelakkan diri mereka daripada sebarang penyakit berbahaya. Hal ini demikian kerana toksin yang dikeluarkan melalui peluh telah menyebabkan lemak dalam badan terbakar ekoran daripada aktiviti sukan yang dilakukan. Penyakit-penyakit berbahaya seperti obesiti, serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis dapat dihindari oleh pelajar yang sihat. Menurut kajian oleh Univesiti Sains Malaysia, 30 peratus kes obesiti atau kegemukan dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Malaysia telah direkodkan sepanjang tahun lalu. Perangkaan ini amat membimbangkan kerana obesiti menjadi faktor utama yang menyebabkan penyakit-penyakit berbahaya seperti serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis. Oleh hal yang demikian, penglibatan dalam aktiviti sukan dalam kalangan pelajar perlu dititikberatkan kerana kita tidak mahu pelajar yang menjadi aset negara ini nanti menderita akibat penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti sukan mampu melahirkan pelajar yang sihat sekali gus memiliki minda yang cerdas.

        Selain itu, aktiviti sukan juga dapat memupuk sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar. Sahsiah yang terpuji dalam kalangan pelajar merupakan aspek yang menjadi fokus kerajaan masa ini kerana mereka merupakan modal insan yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara kelak, sekali gus mampu merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi agenda utama negara kini. Dalam hal ini, aktiviti sukan mampu membina sahsiah terpuji seperti membentuk nilai kerjasama dalam diri pelajar di Malaysia. Melalui aktiviti sukan, setiap pelajar akan bekerjasama untuk memastikan sukan yang dipertandingkan akan meraih kemenangan. Tanpa nilai kerjasama semangat kesukanan dalam diri pelajar akan menjadi luntur kerana mereka mementingkan diri sendiri dan akhirnya akan merugikan pasukan. Sebagai contoh, aktiviti sukan yang melibatkan kumpulan seperti bola sepak dan hoki tidak akan menempa kejayaan jika tiada kerjasama antara pemain. Pemain penyerang yang bermain sendirian tidak akan dapat menjaringkan gol jika tidak melorongkan bola kepada penyerang lain yang memiliki ruang untuk menjaringkan gol. Sikap mementingkan diri ini akan menyebabkan pasukan tersebut akan kecundang kerana tanpa kerjasama dan semangat berpasukan kejayaan tidak akan dapat digapai. Di samping itu, semangat perpaduan juga akan wujud dalam diri jika pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang membabitkan pelajar pelbagai kaum. Perpaduan antara kaum akan menjadi subur jika pelajar bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain  dalam aktiviti sukan yang diwakili oleh pelajar berlainan bangsa. Mereka perlu menganggap bahawa setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam pasukan dan anggapan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan semangat perpaduan. Jadi, aktiviti sukan di sekolah mampu memupuk sahsiah yang terpuji kerana pelajar dapat berkomunikasi dan berhubung sesama mereka tanpa apa-apa sekatan. Hal ini akan menyebabkan semangat perpaduan dapat dikukuhkan apabila semua pelajar bersatu dalam pasukan sekali gus berupaya meraih kemenangan, bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa  sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar dapat diwujudkan apabila mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan.



Tugasan anda – lengkapkan dua perenggan idea lagi dengan menggunakan ayat gramatis..

5 comments:

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...