Sunday, 29 March 2020

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Jelaskan dua peristiwa yang menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan dua buah novel yang anda kaji.

Novel yang telah saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dan novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Kedua-dua buah novel tersebut mengandungi peristiwa yang menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

Dalam novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin, peristiwa seorang ayah sanggup bertindak kejam terhadap anak menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dalam novel ini. Peristiwa kepincangan ini dapat dilihat melalui tindakan Dr. Sadiz yang sanggup membakar kereta Porshe miliknya telah meragut anaknya, Rohayu yang berada berdekatan dengan kereta tersebut. Tindakan ini dilakukan oleh Dr. Sadiz kerana dia tidak mahu menerima Rohayu yang cacat kerana dapat menjatuhkan maruahnya sebagai seorang doktor pakar. Tindakan Dr Sadiz ini menunjukkan masyarakat yang sanggup bertindak kejam terhadap anak demi menjaga maruah diriya.

Peristiwa kepincangan lain ialah peristiwa seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan sanggup bertindak kejam. Peristiwa ini dapat dilihat melalui tindakan Dr. Sadiz yang menyuruh isterinya, Dr. Raiha menggugurkan kandungan setelah mendapati kandungan itu cacat kerana dapat manjatuhkan maruahnya sebagai seorang doktor pakar. Dr. Sadiz tidak melihat bahawa anak yang dikandung oleh Dr Raiha itu adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai. Tindakan Dr. Sadiz ini menunjukkan masyarakat suami yang tidak bertanggungjawab dan sanggup bertindak kejam demi mencapai status kehidupan golongan mewah.

Peristiwa kepincangan seterusnya ialah peristiwa kesanggupan seorang doktor yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain demi mendapat keuntungan besar dalam perniagaan. Peristiwa ini dapat dilihat melalui tindakan Dr. Uwang yang telah menggunakkan alat ganti sendi tulang pinggul Unong Siron yang murah dan tidak berkualiti kerana ingin mendapatkan keuntungan. Tindakan Dr. Uwang ini telah menyebabkan Unong Siron terpaksa dibedah sebanyak enam kali akibat infeksi ekoran alat ganti tersebut. Tindakan Dr. Uwang ini menunjukkan masyarakat yang sanggup mengaut keuntungan hasil daripada kesusahan orang lain.

Dalam novel Bimasakti Menari pula, peristiwa kepincangan yang terdapat dalam novel tersebut ialah kesanggupan seorang tokoh perniagaan yang cuba menggagalkan usaha golongan muda melestarikan alam sekitar. Peristiwa kepincangan ini dapat dilihat melalui usaha yang dilakukan oleh Dato’ Johann Arlington-Majid yang cuba menggagalkan pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap oleh Nurul Hafsa kerana bimbang jika projek tersebut berjaya dilaksanakan, lampu jalan yang dibekalkan oleh syarikatnya akan terhenti. Tindakan Dato’ Johann ini menunjukkan masyarakat yang sanggup mengaut keuntungan tanpa memikirkan keindahan alam sekitar yang perlu dilestarikan.

Peristiwa kepincangan lain ialah peristiwa keruntuhan rumah tangga demi mencapai kepuasan dalam kerjaya. Peristiwa kepincangan ini dapat dilihat melalui keruntuhan rumah tangga yang dibina oleh Tan Sri Muhaimin dan Puan Mariam Wickham kerana tuntutan kerjaya Puan Wickham sebagai aktivis alam sekitar yang sentiasa sibuk. Keruntuhan yang dibina oleh mereka telah membuatkan anak tunggal mereka, Muhammad Taufik tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada kedua-dua ibu bapa kerana mereka berpisah dan tinggal berasingan. Peristiwa ini menunjukkan masyarakat yang sanggup mengutamakan kerjaya sehingga berlaku keruntuhan rumah tangga yang menyebabkan anak tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya.

Peristiwa kepincangan seterusnya ialah peristiwa kesanggupan melakukan jenayah demi melunaskan dendam dalam diri. Peristiwa kepincangan ini dapat dilihat melalui tindakan Dato’ Johann Arlington-Majid yang sanggup mengupah orang menculik Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik kerana dendamnya terhadap Tan Sri Muhaimin yang berjaya mendapat tender dan memiliki Puan Mariam Wickham. Tindakan Dato’ Johann ini menunjukkan masyarakat yang sanggup melakukan jenayah demi melunaskan dendam lama dalam diri.





TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada novel tersebut.

Novel yang telah saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dan novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Kedua-dua buah novel tersebut mengandungi nilai kemasyarakatan.

Dalam novel Pantai Kasih, nilai kemasyarakatan iaitu nilai kerjasama terdapat dalam novel tersebut. Nilai ini dapat dilihat melalui peristiwa kerjasama Dr. Uwang bersama-sama kakitangan Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) membangunkan pusat perubatan swasta itu sehingga menjadi terkenal. Kerjasama antara mereka telah membangunkkan PRPK daripada sebuah pusat rawatan sebesar kandang kambing telah menjadi pusat rawatan swasta sehingga menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk menerima rawatan di situ. 

Nilai kemasyarakatan seterusnya ialah nilai tolong-menolong. Nilai ini dapat dilihat melalui ibu Unong Siron yang menolong menyelesaikan pencerobohan seorang pemuda menyamar sebagai doktor dan telah menjadikan Felicia Landosi sebagai tawanan di bilik bedah PRPK. Pertolongan yang diberikan oleh ibu Unong Siron itu telah menyelamatkan Felicia Landosi daripada dicederakan.

Dalam novel Bimasakti Menari pula, nilai kemasyarakatan yang terdapat dalam novel ini ialah nilai setiakawan. Sebagai contoh, Muhammad Taufik sanggup berjumpa dengan penculik di stesen minyak Petronas semata-mata ingin menyelamatkan rakannya, Nurul Hafsa yang telah diculik. Nilai setiakawan yang ditunjukkan oleh Muhammad Taufik ini adalah untuk memastikan Nurul Hafsa berada dalam keadaan selamat.

Nilai kemasyarakatan seterusnya ialah nilai kerjasama. Nilai ini dapat dilihat melalui peristiwa Muhammad Taufik dan Budiman memberikan kerjasama kepada Nurul Hafsa membuat persiapan bagi memastikan pembentangan projek Kawasan Simpan Langit gelap di Kuala Selangor di hadapan Menteri Besar berjalan dengan lancar. Kerjasama antara mereka dapat memastikan pembentangan tersebut berjalan dengan lancar walaupun mendapat bantahan daripada Dato’ Johann Arlington-Majid.





TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Huraikan tiga nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari.

Berdasarkan novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof yang telah saya pelajari, terdapat banyak nilai yang terkandung dalam novel tersebut.

Nilai murni kebijaksanaan terdapat dalam novel ini. Sebagai buktinya, Nurul Hafsa bijak menyampaikan hujah bagi mematahkan hujah lawannya Dato’ Johann Arlington-Majid yang menentang projek Kawasan Simpan Langit Gelap semasa beliau membentangkannya di Dewan Kuliah 2 Bangunan Sultan Salahuddin. Kebijaksanaannya itu telah membuatkan Dato’ Johann terdiam.

Seterusnya, nilai murni cinta akan alam sekitar juga terdapat dalam novel Bimasakti Menari. Contohnya, Tan Sri Muhaimin telah membeli tanah seluas 50 hektar di kawasan Sungai Kuantan untuk diberikan kepada anaknya, Muhammad Taufik bagi menjaga habitat kelip-kelip agar populasi kelip-kelip di kawasan itu tidak pupus. Selain itu, Muhammad Taufik telah membina rumah prototaip teknoalam yang mengambil pendekatan mesra alam bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Akhir sekali, nilai tanggungjawab juga terdapat dalam novel Bimasakti Menari. Sebagai contoh, Budiman telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang abang kepada Nurul Hafsa. Budiman sering menemani Nurul Hafsa berjumpa dengan Muhammad Taufik bagi menyiapkan kertas cadangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor.

 ############################################################################################

Berdasarkan novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin yang telah saya pelajari, terdapat banyak nilai yang terkandung dalam novel tersebut.

Nilai murni dalam novel ini ialah nilai kasih sayang. Sebagai contoh, Dr. Raiha enggan menggugurkan kandungannya walaupun telah disuruh oleh suaminya Dr. Sadiz setelah mendapati kandungan tersebut cacat. Dr. Raiha enggan berbuat demikian kerana sayang kepada anak yang dikandung walaupun telah didapati cacat.

Nilai murni lain ialah nilai kebijaksanaan. Nilai ini dapat dilihat melalui peristiwa ibu Unong Siron yang bijak menyelesaikan masalah apabila berhadapan dengan seorang pemuda yang menceroboh Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) dan mehanan Felicia Landosi di bilik bedah PRPK. Ibu Unong Siron telah berjaya memujuk pemuda itu dengan kebijaksanaannya memperdaya pemuda itu supaya melakukan pembedahan ke atas anaknya dan memberikan susu yang mengandungi ubat penenang. Kebijaksanaan ibu Unong Siron telah menyelamatkan Felicia Landosi.

Nilai murni seterusnya ialah nilai tanggungjawab. Nilai ini dapat dilihat melalui peristiwa Dr. Raiha yang melakukan pembedahan ke atas tulang sendi pinggul Unong Siron kali keenam dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan pembedahan tersebut berjaya. Walaupun menerima tugasan itu pada saat akhir tetapi Dr. raiha sanggup menerima tugasan itu kerana rasa bertanggungjawab untuk memulihkan penderitaan Unong Siron.


TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Huraikan satu pengajaran tentang kerjasama yang terdapat dalam kedua-dua buah novel yang anda pelajari.

Novel yang saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dan Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Kedu-dua buah novel ini mengandungi pengajaran tentang kerjasama.

Dalam novel Pantai Kasih, pengajaran tentang kerjasama ialah kita hendaklah bekerjasama memajukan perniagaan agar dapat memberi manfaat kepada semua orang. Sebagai contohnya, Dr. Uwang bekerjasama dengan seluruh kakitangannya untuk membangunkan Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) sebagai sebuah hospital swasta yang terkenal. Hasil kerjasama Dr. Uwang dengan seluruh kakitangannya itu, PRPK yang asalnya sebesar kandang kambing telah menjadi sebuah pusat rawatan swasta yang ekslusif sehingga menjadi tempat pelbagai lapisan masyarakat mendapatkan rawatan di situ.

Selain itu, kita hendaklah bekerjasama menyelesaikan masalah dalam keadaan genting agar tidak memudaratkan orang ramai. Pengajaran ini dapat dilihat melalui peristiwa Dr. Raiha bekerjasama dengan ibu Unong Siron untuk menenangkan keadaan apabila seorang pemuda menceroboh PRPK dan menjadikan Felicia Landosi sebagai tawanan. Hasil kerjasama tersebut, Felicia Landosi berjaya dilepaskan setelah ibu Unong Siron berjaya memujuk pemuda yang dikenalinya dengan idea yang bijak.

Dalam novel Bimasakti Menari pula, pengajaran tentang kerjasama ialah kita hendaklah bekerjasama melestarikan alam sekitar agar keindahannya dapat dikekalkan. Pengajaran ini dapat dilihat melalui Nurul Hafsa, Muhammad taufik dan Budiman bekerjasama untuk mengembalikan semula kegelapan di Kuala Selangor melalui Projek Kawasan Simpan Langit Gelap agar bintang-bintang dapat dilihat semula dan populasi kelip-kelip tidak pupus kerana kedua-dua kekuatan tersebut dapat menjadikan Kuala Selangor sebagai destinasi pelancongan.

Selain itu, kita hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelesaikan aktiviti jenayah agar keamanan dapat dikekalkan juga terdapat dalam novel ini. Buktinya ialah Tan Sri Muhaimin bekerjasama dengan pihak polis untuk mencari jalan penyelesaian dalam kes penculikan anaknya Muhammad Taufik. Hasil kerjasama tersebut, kumpulan penculik dapat ditewaskan dan Muhammad Taufik dapat dibebaskan.



TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Huraikan dua contoh yang dapat membuktikan ketabahan watak utama dalam membolehkannya memperoleh kejayaan dalam sebuah novel yang anda kaji.

Novel yang telah saya kaji ialah Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Watak utama dalam novel ini ialah Dr. Raiha. Terdapat banyak peristiwa yang membuktikan ketabahan Dr. Raiha dalam membolehkannya beroleh kejayaan.

Ketabahan seorang ibu menghadapi kematian anak kesayangan terdapat dalam novel ini. Sebagai contohnya, Dr. Raiha tabah menghadapi kematian anak kesayangannya, Rohayu yang mati dalam kejadian kebakaran kereta Porshe Dr. Sadiz di tepi sebuah rumah tumpangan. Peristiwa tersebut masih terbayang-bayang dalam fikiran Dr. Raiha kerana Rohayu amat disayanginya tetapi beliau tetap tabah menghadapi situasi tersebut.

Ketabahan seorang doktor dalam menjalankan tugasnya juga terdapat dalam novel Pantai Kasih. Peristiwa yang menggambarkan ketabahan ini ialah Dr. Raiha tabah ketika menjalankan tuganya sebagai seorang doktor di Pusat Rawatan Pantai Kasih walaupun dia mempunyai konflik dengan Felicia Landosi yang bersikap acuh tak acuh dalam menjalankan tugas sebagai jururawat. Felicia juga melayan ibu Unong Siron dengan kasar dan menggelarkannya sebagai sapi tua. Sikap Felicia ini tidak disukai oleh Dr. Raiha tetapi Dr Raiha tetap tabah dan memberi nasihat kepada Felicia supaya mengubah sikapnya itu.

Persoalan ketabahan terakhir ialah persoalan ketabahan isteri menghadapi suami yang tidak berperikemanusiaan. Sebagai contohnya, Dr Raiha tetap tabah menghadapi suaminya Dr. Sadiz yang telah menyuruhnya menggugurkan kandungan yang didapati cacat tetapi Dr. raiha tetap ingin meneruskan kandungan tersebut. Dr. Raiha tabah menghadapi situasi suaminya yang tidak berperikemanusiaan itu sehingga selamat melahirkan anaknya, Rohayu.

 ############################################################################################

Novel yang telah saya kaji ialah Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Watak utama dalam novel ini ialah Nurul Hafsa. Terdapat banyak peristiwa yang membuktikan ketabahan Nurul Hafsa dalam membolehkannya beroleh kejayaan.

Ketabahan wanita dalam melestarikan alam sekitar terdapat dalam novel Bimasakti Menari. Ketabahan ini dapat dilihat melalui Nurul Hafsa yang menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap agar dapat mengembalikan semula kegelapan di Kuala Selangor untuk membolehkan bintang-bintang dapat dilihat pada waktu malam. Pelbagai tohmahan yang dilemparkan oleh Dato’ Johann Arlington-Majid semasa pembentangannya di hadapan Pegawai Daerah Kuala Selangor dihadapi oleh Nurul Hafsa dengan tabah dengan hujah-hujah yang benar sehingga Dato’ Johann terdiam.

Ketabahan seorang rakan dalam menghadapi cabaran dalam persahabatan juga terdapat dalam novel ini. Sebagai contoh, Nurul Hafsa tabah membantu rakannya Muhammad Taufik yang cedera dipukul. Nurul Hafsa bergegas ke tempat kejadian bersama-sama abangnya Budiman. Nurul Hafsa membawa Muhammad Taufik ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana Muhammad Taufik merupakan rakannya dalam usaha melestarikan alam sekitar di Kuala Selangor.





TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, jelaskan nilai keberanian yang terdapat dalam novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Terdapat nilai keberanian dalam novel tersebut.

Nilai keberanian menyatakan kebenaran terdapat dalam novel Pantai Kasih. Nilai ini dapat dilihat apabila Felicia Landosi berani menceritakan hal yang sebenar kepada Dr. Raiha bahawa dia telah bersekongkol dengan Dr. Sadiz membakar kereta Porshe Dr Sadiz sehingga meragut nyawa Rohayu anak kesayangan Dr. Raiha.

Selain itu, nilai keberanian bertindak dalam keadaan genting juga terdapat dalam novel Pantai kasih.
Nilai ini dapat dilihat melalui peristiwa ibu Unong Siron yang berani menghadapi saat genting di bilik bedah Pusat Rawatan Pantai Kasih apabila Felicia Landosi telah ditawan oleh seorang pemuda yang bertindak menyamar sebagai doktor menceroboh pusat rawatan tersebut. Ibu Unong Siron berjaya menyelamatkan Felicia Landosi daripada dicederakan oleh pemuda tersebut kerana keberaniannya.

######################################################################################### 

Novel yang saya kaji ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof. Terdapat nilai keberanian dalam novel tersebut.

Nilai keberanian menegakkan hujah terdapat dalam novel Bimasakti Menari. Nilai ini dapat dilihat apabila Nurul Hafsa berani menegakkan hujah ketika membentangkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan Dato’ Haji Mustafa Al Hamid, Pegawai Daerah di Kuala Selangor. Nurul Hafsa berani mempertahankan hujahnya demi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan sekali gus mampu memgembalikan semua kegelapan agar keindahan alam sekitar di Kuala Selangor dapat dikembalikan.

Selain itu, nilai keberanian menangkis tohmahan juga terdapat dalam novel Bimasakti Menari. Nilai ini dapat dilihat melalui peristiwa Nurul Hafsa berani mematah hujah-hujah Dato’ Johann Arlington-Majid yang melemparkan pelbagai tohmahan untuk menggagalkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor yang dibentangkan oleh Nurul Hafsa. Keberanian Nurul Hafsa itu telah menyebabkan Dato’ Johann terdiam dengan hujah-hujahnya.


TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM


Soalan : Jelaskan dua latar masa yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

Berdasarkan sebuah novel yang telah saya pelajari iaitu Pantai Kasih karya Azman Nordin, terdapat beberapa latar masa dalam novel tersebut.

Latar masa waktu petang terdapat dalam novel ini. Pada waktu ini, Dr. Raiha telah melakukan pembedahan ke atas Unong Siron buat kali keenam setelah Unong Siron mengalami infeksi akibat pembedahan sebelumnya yang telah dilakukan oleh Dr. Uwang yang menggunakan alat ganti murah dan tidak berkualiti. Pembedahan oleh Dr. Raiha itu berjaya walaupun telah mengambil masa yang lama dan menyiksa jiwa Dr. Raiha.

Latar masa seterusnya ialah waktu malam. Peristiwa yang berlaku pada waktu ini ialah anak Dr. Raiha telah meninggal dunia akibat kebakaran kereta Porshe Dr. Sadiz yang berang kerana Dr. Raiha melarikan anaknya. Dr. sadiz membakar kereta tersebut pada waktu malam sehingga meragut nyawa anaknya Rohayu yang disambar api kerana berada dekat dengan kereta itu.

########################################################################################

Berdasarkan sebuah novel yang telah saya pelajari iaitu Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusof, terdapat beberapa latar masa dalam novel tersebut.

Latar masa yang terdapat dalam novel tersebut ialah waktu malam. Peristiwa yang berlaku pada waktu ini ialah Nurul Hafsa menerima kunjungan sekumpulan 15 orang pelajar dan 3 orang guru dari Sekolah Kichihimahigasi, Jepun untuk melihat bintang-bintang di Kuala Selangor. Hasrat mereka tidak kesampaian kerana pada maktu malam itu langit dalam keadaan cerah. Nurul Hafsa berjanji untuk mengembalikan semula bintang-bintang di Kuala Selangor pada masa akan datang.

Latar masa seterusnya ialah waktu siang. Peristiwa yang berlaku pada waktu ini ialah Nurul Hafsa telah dicampak keluar dari kenderaan oleh penculik yang menculiknya di ladang getah. Nurul Hafsa ditinggalkan keseorangan dan dia berjaya melepaskan diri serta diselamatkan.



Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM