Monday, 23 March 2020

MAKSUD SAJAK SEJADAH RINDU


SAJAK SEJADAH RINDU
Oleh Mohd Haikal Aminuddin


SAJAK
MAKSUD
Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.


Penyajak terkedu
di atas sejadah kerana rindu kepada Ilahi
sambil mengungkapkan kata-kata yang penuh syahdu
bual bicara penyajak begitu tersenuth hati
hingga timbul penyesalan dalam hati
apabila mengenangkan dosa-dosa lalu
Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.


Dengan pancaindera yang dikurniakan tuhan
penyajak memohon supaya diberikan kehidupan kembali dalam keadaan yang serba kekurangan
semoga pintu keampunan dibuka
sebelum penyajak meninggal dunia
pada masa yang telah ditentukan
Air mata menjadi saksi
keihklasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.



Air mata penyajak menjadi saksi
keikhlasan penyajak menjadi bukti
akhirnya penyajak sujud menghadap Ilahi
dalam suasana yang sepi
penyajak melafazkan taubat
dengan diiringi nafas yang sebak
Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.


Hati penyajak luluh
jiwa penyajak tersentuh
kata-kata kepada tuhan disusun dengan baik
di atas sejadah untuk menunjukkan kerinduan penyajak kepada Ilahi
penyajak memohon keampunan bersungguh-sungguh
daripada pencipta dalam keadaan gemuruh
Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.



Penyajak mengungkapkan doa kepada Ilahi
penyajak memohon agar menjadi manusia
yang sentiasa diberi ketaatan
untuk melaksanakan perintah Allah
penyajak memohon agar diberi ingatan supaya tidak lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara

Kalam Pertama, 2013
Dewan Bahasa dan Pustaka

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN A SPM


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



Pada era globalisasi ini, trend murid-murid membawa bekal ke sekolah semakin kurang diamalkan.  Hal ini kerana mereka menganggap bahawa membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang tidak penting dan susah untuk menyediakannya. Tambahan pula, ada segelintir murid yang berpendapat bahawa membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang memalukan kerana mereka akan dianggap sebagai murid prasekolah. Pada masa yang sama, ibu bapa tidak mempunyai waktu untuk menyediakan bekal kepada anak-anak kerana sibuk akan pekerjaan masing-masing. Menteri Pendidikan YB Dr. Maslee Malik melahirkan kebimbangan beliau kerana ibu bapa tidak mengambil berat dalam hal memastikan anak-anak mereka mengambil sarapan di sekolah kerana perkara ini akan mengganggu anak-anak memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas.  Persoalannya, apakah kebaikan membawa bekal ke sekolah? Saya akan menghuraikan pendapat mengenai kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah dalam perenggan-perenggan seterusnya.


Kebaikan primer membawa bekal ke sekolah adalah dapat menjaga kesihatan murid-murid. Hal ini dapat dilihat apabila murid-murid berupaya menjalani kehidupan yang sihat jika mereka menikmati makanan yang disediakan oleh keluarga. Hal ini berlaku kerana bekal yang dibawa ke sekolah telah disediakan oleh ibu sendiri. Setiap ibu ingin melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah kesihatan. Jadi ibu akan memastikan bekal yang dibawa oleh anak-anak ke sekolah mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh badan supaya anak-anak dapat membesar dengan seimbang. Oleh itu, ibu akan menyediakan makanan yang digariskan mengikut piramid makanan.  Ibu juga akan memastikan penyediaan makanan ini dalam kondisi yang bersih dan bahan-bahan yang segar sahaja dimasak. Jadi anak-anak mereka akan menikmati makanan yang bersih, berkhasiat dan berkualiti sekali gus keracunan makanan dapat dielakkan. Sebagai contoh, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zukifli Ahmad berkata,kebanyakan insiden keracunan makanan berlaku kerana  pengusaha kantin tidak mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan dan kurang memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan kesihatan dalam penyediaan makanan. Beliau bekata lagi bahawa sebanyak 5,265 kes keracunan makanan daripada 12,122 kes keracunan makanan yang berlaku di seluruh negara  tahun lalu adalah berlaku di sekolah. Oleh itu, membawa bekal ke sekolah mampu mengelakkan murid-murid mengalami keracunan makanan kerana membawa bekal ke sekolah menjadi preventif kepada perkara yang lebih teruk lagi ibarat kata peribahasa mencegah lebih baik daripada merawat. Di samping itu, makanan yang disediakan oleh ibu juga menepati keperluan diet seharian. Kajian mendapati nutrisi baik dan pengambilan gizi yang seimbang bukan saja mampu membantu perkembangan fizikal, malah dapat meningkatkan kalsium dan vitamin khususnya dalam menjadikan anak-anak lebih kuat dan merangsang keupayaan minda yang lebih cerdas. Oleh itu,membawa bekal ke sekolah mempunyai banyak faedah yang boleh diperoleh murid terutamanya dalam menjaga kesihatan diri.

Lain daripada itu,  membawa bekal ke sekolah juga mampu menjimatkan kos murid dan keluarga. Setiap keluarga merancang perbelanjaan harian supaya kehidupan mereka dapat diatur dengan tersusun tanpa sebarang masalah. Perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak merupakan salah satu aspek yang diambil kira dalam perbelanjaan keluarga. Dengan kos hidup yang agak tinggi padas masa ini, ibu bapa perlu merancang perbelanjaan harian dengan lebih teliti lagi. Salah satu cara adalah dengan menyediakan bekal kepada anak-anak untuk di bawa ke sekolah. Usaha ini dapat mengurangkan perbelanjaan ibu bapa kerana mereka tidak perlu menyediakan wang yang banyak kepada anak-anak untuk berbelanja di sekolah. Secara tidak langsung ibu bapa dapat mengurangkan kos perbelanjaan apabila anak-anak membawa bekal ke sekolah. Murid-murid pula tidak perlu lagi berbelanja di kantin atau koperasi sekolah kerana mereka sudah ada bekal yang disediakan oleh ibu mereka. Dengan ini, murid-murid boleh menyimpan duit saku tersebut di dalam tabung sebagai persediaan masa depan. Secara tidak langsung amalan menabung dalam kalangan anak-anak dapat direalisasikan. Walaupun wang saku yang ditabung adalah sedikit tetapi jika dilakukan setiap hari tabungan anak-anak akan menjadi banyak ibarat kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Aspek menabung ini perlu dilihat dengan serius kerana pada zaman milineum ini, kos hidup dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya.Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk melanjutkan pengajian dan sebagainya. Oleh itu, dengan membawa bekal anak-anak juga dapat melatih diri supaya lebih matang dan proaktif dalam mengharungi tingkap globalisasi yang  kian mencabar kini dan sentiasa ingat akan peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Sikap ini haruslah dibentuk dari usia setahun jagung lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka jelaslah bahawa membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.

               Di samping itu, kebaikan membawa bekal ke sekolah yang lain adalah dapat menjimatkan masa anak-anak di sekolah. Masa sangat penting kepada anak-anak kerana masa itu emas. Masa rehat anak-anak di sekolah adalah terhad kerana sebahagian besar mereka berada di dalam kelas untuk proses pembelajaran. Sebagai contoh, masa rehat yang diperuntukkan kepada anak-anak di sekolah adalah sangat singkat iaitu antara 20 hingga 30 minit sahaja. Murid-murid perlu mematuhi masa rehat tersebut jika tidak mahu ketinggalan di dalam kelas. Bagi murid yang faham dan dapat menguruskan masa dengan baik, mereka dapat mengatasi masalah tersebut namun apa pula yang terjadi kepada pelajar yang kurang memahaminya dan tidak menghayati akan masa yang sudah diberi? Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa  membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan masa murid-murid. Hal ini dikatakan demikian  kerana apabila murid-murid membawa bekal ke sekolah, mereka tidak perlu lagi berbaris panjang untuk membeli makanan di kantin atau koperasi sekolah. Murid biasanya mengambil masa 5 hingga 10 minit dengan beratur untuk mendapatkan makanan sedangkan masa rehat adalah singkat. Mereka akan makan dengan cepat kerana masa rehat yang berbaki adalah singkat. Jadi jika mereka membawa bekal ke sekolah, mereka boleh terus makan di kantin tanpa beratur untuk mendapatkan makanan.  Murid hanya menghabiskan masa rehat sekitar 10 minit sahaja jika mereka membawa bekal ke sekolah. Masa yang ada selebihnya boleh digunakan oleh murid untuk pergi ke pusat sumber, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, bertanya guru mengenai topik yang tidak difahami, solat sunat dhuha dan sebagainya.  Amalan ini wajar dipraktikkan oleh murid kerana pengurusan masa adalah sangat penting. Murid perlu menggunakan masa yang ada untuk meningkatkan kecemerlangan diri kerana masa ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, nescaya masa akan memotong kita. Oleh itu,membawa bekal dapat menjimatkan masa murid-murid di sekolah.

Kesimpulannyanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai faedah yang dapat diimplementasikan untuk memupuk amalan membawa bekal ke sekolah dalam sanubari murid-murid. Oleh itu, pihak lain seperti pihak kerajaan dan ibu bapa haruslah memainkan peranan yang jitu supaya peribahasa seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tidak diamalkan dan melakukannya dengan istiqamah bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga. Murid haruslah merebut peluang tersebut dan berganding bahu kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi bagi menghayati tujuan membawa bekal ke sekolah dalam kehidupan kita. Harapan saya agar ibu bapa khususnya menyahut saranan ini agar anak-anak mereka terhindar daripada sebarang penyakit dan mampu menjalani kehidupan yang sempurna.

Karangan ini adalah idea penulis secara total

MAKSUD SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU


BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
Oleh Za`ba


SELOKA
MAKSUD

Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang Raja,
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.


Baginda memerintahkan orang besar empat
supaya membuat istana dengan dikelilingi parit
lalu Pawang Raja dipanggil
dan Pawang mengerah  orang supaya bekerja
seramai empat puluh empat tukang yang mahir
supaya bekerja siang dan malam tanpa henti

Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.


Selama tujuh bulan
istana yang dibina telah siap dengan segala kelengkapan
istana tersebut sangat besar dengan Sembilan ruang
mempunyai sepuluh rembat guntung
mempunyai sebelas pancung serong
dan dua belas anjung tinggi

Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil/puteri menyembah,
Kasau lentik/helang berbega.


Istana tersebut mempunyai tiga sudut untuk lapan menteri
mempunyai tiang panjang untuk maharaja lela
mempunyai tiang tengah syukur menanti
galang-galangnya seperti ular berang
kasau kecil seperti puteri menyembah
Kasau lentik seperti helang terbang

Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk berselinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.


Istana tersebut diukir dengan ular sawa berbunga berbaring dengan lemah longlai
Mempunyai takuk berselinggam
Tiang tempat dipasang pintu berukir batu kawi
Mempunyai anyaman berukiran jawa
Mempunyai lilitan seperti akar Cina
Mempunyai ukiran garam sebuku sisa jeragan
Ukiran seperti bunga kenanga dimakan ular
Mempunyai layang-layang dipintu Raja


Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru;
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri


Apabila istana siap semua tukang telah mati
tiada orang lain yang dapat meniru
istana dipersembahkan kepada baginda dan permaisuri

Kalung Bunga Za`ba, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka


MAKSUD GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP


BEBERAPA PETUA HIDUP
Oleh Za`ba


GURINDAM
MAKSUD
Fikir dan Kata

Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.

Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.

Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.



Jika seseorang itu kurang berfikir dan menyelidik nescaya diri akan tersesat

Hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap
supaya dapat mengelakkan diri daripada perbalahan

Apabila bercakap menggunakan perkataan yang menyakitkan seolah-olah terkena racun

Jika bercakap menggunakan bahasa yang kasar perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya
Silang Sengketa

Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.

Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.



Seseorang yang suka berbalah pasti hidupnya kelak tidak akan bergembira

Jangan mencetuskan perbalahan dan jika  berlaku juga janganlah mengelakkan diri
Ilmu

Jakalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.



Jika tidak selesai menuntut ilmu nescaya seseorang itu tidak berguna

Ilmu dan kemahiran boleh dicari jika seseorang itu rajin belajar
Dunia Pergaulan

Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.

Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.

Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir dan ke hulu.



Dunia ini adalah tempat untuk bergaul maka carilah sahabat dengan teliti

Hati budi manusia boleh dikenali dengan melihat kawan yang didekatinya

Seseorang yang memiliki sifat yang sama akan selalu bersama-sama walau ke mana-mana sahaja
Sifat-Sifat yang Baik

Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman.

Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.

Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.



Jika seseorang itu memiliki sifat yang budiman maka dia akan dipandang seperti bunga di taman

Jika seseorang itu memiliki sifat dermawan maka semua orang akan dapat ditawannya

Jika seseorang itu bersifat pemurah maka seluruh manusia akan datang mendekatinya
Perbuatan yang Baik

Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.

Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.



Jika seseorang membuat jasa  maka namanya akan dimuliakan sepanjang masa

Tolong-menolong antara satu sama lain adalah sangat diperlukan tetapi hendaklah membantu diri dahulu
Sifat-sifat yang Jahat

Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.

Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat



Seseorang yang nampak baik tetapi ada tujuan lain yang disembunyikan akan memiliki hati yang pahit

Seseorang yang melakukan pengkhianatan akan dilaknat oleh Tuhan nanti

Kalung Bunga Za`ba, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka


CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B SPM


Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan ahli keluarga.
Jelaskan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga.

Pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa kurang menekankan penjagaan kesihatan ahli keluarga dalam kehidupan seharian mereka.  Tumpuan mereka terhadap kerjaya seperti doktor, jurutera, peguam, arkitek, akauntan dan sebagainya menjadi kekangan dan alasan penjagaan kesihatan kurang diimplimentasikan oleh setiap ibu bapa. Walaupun banyak kempen mengenai penjagaan kesihatan diuar-uarkan melalui media massa tetapi masyarakat seolah-olah tidak cakna akan kesihatan diri. Tidak hairanlah daripada kajian yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia telah menunjukkan bahawa semakin ramai pesakit kronik telah mendapat rawatan di hospital tersebut. Menurut Datuk Dr. Zaidun Kamari, Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, kebanyakan pesakit yang mendapat rawatan di situ ialah pesakit yang tidak menitikberatkan amalan gaya hidup sihat seperti tidak mengambil makanan seimbang dalam diet seharian, tidak melakukan senaman dan tidak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengelakkan penyakit-penyakit kronik ini menyerang ahli keluarga? Oleh itu, bagi merungkai persoalan ini, saya akan menghuraikan secara total tentang cara-cara untuk melakukan penjagaan kesihatan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga mereka.

Langkah dominan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga adalah dengan menyediakan menu harian yang seimbang kepada setiap ahli keluarga. Ibu bapa perlu memastikan menu harian anak-anak mereka mengandungi nutrisi yang mencukupi mengikut keperluan diet harian yang telah ditetapkan. Kajian mendapati bahawa nutrisi yang baik dan pengambilan gizi makanan yang seimbang bukan sahaja mampu membantu perkembangan fizikal malah dapat meningkatkan kalsium dan vitamin khususnya dalam menjadikan anak-anak lebih kuat di samping mampu merangsang minda yang lebih cerdas kerana peribahasa menyatakan badan sihat otak cerdas. Oleh itu, ibu bapa mestilah menyediakan makanan seperti yang dianjurkan mengikut piramid makanan. Sebagai contoh, ibu bapa mestilah melebihkan karbohidrat serta mengurangkan makanan berlemak dan bergula dalam masakan harian. Hal ini patut dilakukan supaya ahli keluarga mendapat tenaga yang mencukupi  untuk menjalankan aktiviti harian serta mengelakkan pengumpulan lemak yang berlebihan. Makanan yang mengandungi vitamin juga perlu dimasukkan oleh ibu bapa dalam diet harian untuk melancarkan sistem pencernaan dan mengekalkan kesihatan ahli keluarga. Ibu bapa juga mestilah memastikan penyediaan makanan ini dalam kondisi yang bersih dan bahan-bahan yang segar sahaja dimasak. Dengan ini, ahli keluarga dapat menikmati makanan yang bersih dan berkhasiat sekali gus mampu menyumbang kepada kesihatan keluarga. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan vital untuk menjamin kesihatan ahli keluarga dengan menyediakan menu harian yang seimbang sebelum ahli keluarga diserang penyakit yang berbahaya kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Lain daripada itu, amalan melakukan pemeriksaan kesihatan ahli keluarga secara berkala juga mampu menjamin kesihatan ahli keluarga. Ibu bapa hendaklah memastikan ahli keluarga mereka menjalani pemeriksaan kesihatan secara berterusan kerana amalan ini dapat mengesan atau mencegah sesuatu penyakit lebih awal sekali gus mampu mengawal daripada menjadi kronik ibarat kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Sebagai contoh, jika ibu bapa membawa anak-anak mereka menjalani pemeriksaan kesihatan, mereka akan mengetahui berat badan anak-anak mereka sama ada bacaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang normal ataupun sebaliknya. Jika BMI anak mereka melebihi bacaan 30, bacaan ini menunjukkan anak mereka dalam kategori obesiti. Jadi ibu bapa dapat mengawal pemakanan anak-anak mereka kerana obesiti akan menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik seperti diabetis, jantung dan buah pinggang.  Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membawa anak-anak kecil menjalani suntikan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan kerana hal ini dapat mencegah anak-anak mereka menghidap pelbagai penyakit nanti. Jika amalan ini tidak dapat dilakukan oleh ibu bapa anak-anak mereka akan menghidap penyakit-penyakit seperti folio, campak, talasemia dan sebagainya. Menurut mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zulkifly Ahmad, beliau sangat mengharapkan agar ibu bapa tidak gagal membawa anak-anak kecil mengambil suntikan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan kerana persekitaran pada masa ini mudah menyumbang kepada penyakit folio seperti yang berlaku di Filipina. Seterusnya, ibu bapa juga perlu mengambil prakarsa dengan membawa anak-anak mereka membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali apabila anak-anak meningkat remaja. Hal ini penting kerana anak-anak pada peringkat ini mengambil variasi makanan tanpa mengikut diet yang seimbang. Jika pemeriksaan kesihatan ini dilakukan, ibu bapa dapat mengesan lebih awal jika anak-anak mereka menunjukkan simpton menghidap sebarang penyakit sebelum nasi sudah menjadi bubur. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala mampu memastikan kesihatan ahli keluarga mereka terjamin.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa melakukan aktiviti senaman secara berterusan juga merupakan antara cara penjagaan kesihatan  yang mudah untuk dilakukan oleh individu. Bersenam merupakan pergerakan atau gerak kerja yang melibatkan anggota badan sehingga boleh mengeluarkan peluh. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan ahli keluarga mereka bersenam, daripada kanak-kanak, remaja, orang dewasa sehinggalah warga emas  juga boleh melakukan senaman. Apabila bersenam, badan kita akan mengeluarkan peluh sekali gus dapat menyahkan sisa-sisa toksik, melancarkan pengaliran darah serta membakar lemak supaya jantung dapat berfungsi dengan baik. Benar kata peribahasa, hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih, ibu bapa perlu memastikan ahli keluarga melakukan aktiviti senaman  pada bila-bila masa yang sesuai dan terluang. Sebagai contoh, pada waktu petang atau pagi jika tidak bekerja, ibu bapa dan anak-anak boleh melakukan senaman di halaman rumah, taman permainan, trek-trek joging, gelanggang badminton, padang bola sepak dan sebagainya. Menurut pakar kesihatan, amalan senaman wajar diamalkan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dalam masa seminimum 20 minit untuk satu sesi. Aktiviti senaman ini hendaklah diamalkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga mereka sehingga menjadi rutin harian dalam kehidupan sama ada secara bersendirian ataupun berkeluarga kerana aktiviti ini dapat mencergaskan tubuh dan pada masa yang sama mencerdaskan minda. Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa senaman merupakan aktiviti penjagaan kesihatan yang mudah untuk dilakukan oleh ibu bapa dan anak-anak kerana aktiviti ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Kesimpulannya, terdapat heterogen cara penjagaan kesihatan yang patut dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga.   Sehubungan dengan itu, semua lapisan masyarakat amnya dan institusi keluarga khususnya perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha melahirkan generasi yang sihat dan cerdas supaya mereka dapat memacu untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diinspirasikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed. Saya berharap agar pelbagai program dapat terus dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada semua lapisan masyarakat tentang penjagaan kesihatan bagi menjana kehidupan yang  mapan selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat madani sekali gus mampu mengangkat negara ke mercu kegemilangan.

Contoh karangan ini adalah hasil idea penulis secara total


c

Tuesday, 4 April 2017

SOALAN 2

PENJAGAAN TERHADAP WARGA TUA SEPATUTNYA DIBERIKAN KEUTAMAAN OLEH AHLI KELUARGA.
BERIKAN HUJAH-HUJAH ANDA UNTUK MENYOKONG PERNYATAAN DI ATAS.

DIMENSI -  KELUARGA
JENIS KARANGAN – TIDAK BERFORMAT
KUMPULAN SASARAN – WARGA TUA (DATUK, NENEK), AHLI KELUARGA (AYAH, IBU, ABANG, KAKAK, ADIK)
TEMA – PENJAGAAN WARGA TUA SEPATUTNYA DIBERI KEUTAMAAN OLEH AHLI KELUARGA
TUGASAN – CALON DIMINTA MEMBERIKAN HUJAH-HUJAH  SAYA UNTUK MENYOKONG PERNYATAAN BAHAWA PENJAGAAN WARGA TUA SEPATUTNYA DIBERI KEUTAMAAN OLEH AHLI KELUARGA
IDEA
1.       MEREKA TELAH MENGANDUNGKAN, MELAHIRKAN DAN MEMBESARKAN KITA
2.       SEBAGAI MEMBALAS JASA DAN PENGORBANAN MEREKA
3.       MERUPAKAN TANGGUNGJAWAB SAYA SEBAGAI SEORANG ANAK
4.       PENJAGAAN MEREKA DITUNTUT PLEH AGAMA
5.       MEREKA PERLU DIBERI PERHATIAN/ PENJAGAAN KHUSUS
6.       KEPERLUAN ASAS MEREKA PERLU DIPENUHI


Tuesday, 7 March 2017

KARANGAN BAHAGIAN B (SPM JUN 2014)

SOALAN 1

PENDUDUK DI TEMPAT ANDA TINGGAL TELAH MENGADAKAN MAJLIS SAMBUTAN HARI KELUARGA. CERITAKAN PENGLIBATAN ANDA DALAM MENJAYAKAN MAJLIS TERSEBUT.

ANALISIS SOALAN

DIMENSI – DIRI

JENIS KARANGAN – TIDAK BERFORMAT

SASARAN SOALAN -  PENDUDUK TEMPAT SAYA TINGGAL – KAMPUNG, TAMAN PERUMAHAN, KONDOMINIUMI, RUMAH PANGSA/TERES

TEMA – MAJLIS SAMBUTAN HARI KELUARGA DI TEMPAT SAYA TINGGAL

TUGASAN – CALON DIMINTA MENCERITAKAN PENGLIBATAN SAYA DALAM MENJAYAKAN MAJLIS TERSEBUT – MEMBANTU, BEKERJASAMA, MENJEMPUT DLL

IDEA

1.       MELIBATKAN DIRI DALAM SETIAP MESYUARAT/PERANCANGAN SEJAK AWAL

2.       MELIBATKAN DIRI DALAM MENYEDIAKAN SEGALA PERALATAN YANG DIPERLUKAN

3.       MELIBATKAN DIRI DALAM SETIAP JEMPUTAN YANG TERLIBAT

4.       MELIBATKAN DIRI DALAM MENJAYAKAN SETIAP ACARA YANG DIPERTANDINGKAN

5.       MELIBATKAN DIRI DALAM MENYEDIAKAN TEMPAT PERTANDINGAN

6.       MELIBATKAN DIRI DALAM MENYEDIAKAN MAKANAN DAN MINUMAN

7.   MELIBATKAN DIRI DALAM MEMASTIKAN KAWASAN BERSIH DAN KEMAS SELEPAS DIGUNAKAN


Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM