Thursday, 11 October 2012

KARANGAN TARGET SPM 2012 (5)....


KARANGAN BAHAGIAN A

Tugasan soalan – cara-cara menyayangi sekolah

Idea

i.                     Tidak merosakkan harta benda sekolah
ii.                   Mematuhi peraturan-peraturan sekolah
iii.                  Menaikkan nama sekolah


Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika murid-murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing. Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh murid-murid untuk menyayangi sekolah.

Seseorang murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta benda yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Hal ini kerana harta benda sekolah merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama dengan murid-murid lain selain memerlukan bajet yang tinggi untuk menyediakannya. Jika murid-murid melakukan vandalisme, iaitu merosakkan harta benda sekolah, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lain untuk membaiki kerosakan tersebut. Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa diambil untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Sebagai buktinya,  YB Dr. Mohd Puad Zarkashi merangkap Timbalan Menteri Pelajaran telah memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM12.5 juta pada tahun lalu untuk membaiki kerosakan harta benda sekolah. Keadaan ini sangat mendukacitakan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk menyediakan kemudahan lain kepada murid agar mereka dapat belajar dengan sempurna. Jadi jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda menyayangi sekolah.

Selain itu, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara mematuhi peraturan sekolah. Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah untuk mendidik murid supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sempurna. Segelintir murid menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Mereka menganggap jiwa remaja tidak harus disekat dan mereka bebas untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi tuntutan remaja. Tanggapan sedemikian adalah salah kerana peraturan yang digubal mampu membina jati diri murid yang kukuh. Peraturan yang dirangka oleh pihak sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid serta mengelakkan murid terlibat dengan salah saku disiplin kerana boleh menjejaskan proses pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar  bergaduh di asrama dan kes tersebut tersebar di akhbar, sudah tentu murid tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah. Kes  tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan murid dan pada masa yang sama telah mencemarkan nama baik sekolah. Oleh itu, murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, menaikkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga merupakan cara yang boleh ditunjukkan untuk menyayangi sekolah. Selain bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, murid-murid juga perlu menaikkan nama sekolah dengan kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum. Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti.  Sekolah lain akan datang melawat untuk melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai. Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan anugerah oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih. Sebagai contoh, kejayaan Mohd Ammar Mokhtar mewakili negara ke Cape Town, Afrika Selatan dalam pertandingan berkaitan dengan neurologi telah menaikkan nama Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di pentas antarabangsa. Kejayaan Mohd Ammar itu  menyebabkan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah dipilih sekolah angkat Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai jaringan dengan institusi pengajian tinggi.  Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menaikkan nama sekolah.

Kesimpulannya, murid-murid bertanggungjawab terhadap sekolah mereka. Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka menimba ilmu dan membina masa depan. Sekolah juga menjadi tempat murid-murid mengaut pengalaman untuk menjadi insan yang seimbang. Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi keutamaan murid-murid. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit kerana kejayaan seseorang adalah bermula daripada seorang guru sekolah.


(Karangan penulis ini berdasarkan soalan Peperiksaan Percubaan SPM 2012 negeri Terengganu)

KARANGAN TARGET SPM 2012 (4)....


KARANGAN BAHAGIAN A

Tugasan soalan – langkah-langkah untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran sekolah

Idea

i.                     Pemantapan sahsiah murid
ii.                   Penguatkuasaan peraturan sekolah
iii.                  Kempen menjaga kebersihan


Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika persekitaran sekolah berada dalam keadaan kondusif kerana anak-anak akan berasa selesa apabila berada di sekolah. Persekitaran yang kondusif ada hubung kait dengan kebersihan kawasan sekolah. Pada pendapat saya, pelbagai langkah boleh dilakukan untuk memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih.

Sahsiah terpuji  atau keperibadian unggul memainkan peranan yang sangat dominan dalam membentuk jati diri yang mapan. Sahsiah murid yang mantap mampu memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih. Murid-murid yang sering membuang sampah merata-rata merupakan individu yang tidak memiliki sahsiah terpuji. Mereka tidak mempunyai perasaan sayang akan sekolah kerana sahsiah mereka pada tahap rendah. Oleh itu, pihak sekolah perlu memastikan murid-murid mempunyai sahsiah yang unggul agar mereka menunjukkan rasa sayang akan sekolah. Pelbagai program boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji. Sebagai contoh, program seperti Kem Jati Diri mampu memupuk rasa sayang kepada sekolah.  Aktiviti dalam Kem Jati Diri seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah misalnya, mampu memupuk rasa cinta murid kepada sekolah. Murid-murid juga dapat berinteraksi antara satu sama lain semasa melakukan kerja gotong-royong. Faedah daripada aktiviti ini ialah kawasan sekolah bukan sahaja menjadi bersih tetapi pada masa yang sama juga hubungan antara murid dapat dieratkan seperti peribahasa sambil menyelam minum air. Oleh itu, jelas bahawa sahsiah yang mantap mampu memastikan kebersihan kawasan persekitaran sekolah.

Selain sahsiah yang mantap, penguatkuasaan peraturan sekolah juga mampu memastikan kawasan persekitaran sekolah senrtiasa bersih. Peraturan sekolah digubal adalah untuk memastikan murid-murid dapat mendisiplinkan diri  agar mereka menjadi insan yang berguna. Peraturan supaya murid-murid menjaga kebersihan kawasan persekitaran sekolah seperti kantin, padang, kelas, asrama dan sebagainya telah ditulis dalam Buku Peraturan Sekolah. Peraturan ini dirangka supaya murid-murid  menjaga kebersihan kawasan persekitaran sekolah dan hukuman akan dikenakan jika mereka didapati melanggar peraturan yang ditetapkan. Sebagai contoh, peraturan seperti mengenakan denda kepada setiap murid yang membuang sampah merata-rata perlu dikuatkuasakan oleh pihak sekolah jika mendapati murid-murid telah membuang sampah merata-rata. Denda melakukan kerja amal seperti membersih tandas sekolah perlu dikuatkuasakan untuk menyedarkan murid-murid supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan sekali gus menjadikan setiap hukuman yang dikenakan sebagai pengajaran agar tidak mengulangi lagi pada masa depan. Mereka akan berhati-hati jika ingin membuang sampah merata-rata kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Oleh itu, penguatkuasaan peraturan juga mampu memastikan kawasan sekolah sentiasa bersih.

Di samping itu, kempen juga merupakan wadah yang amat berkesan dalam membina sekolah yang bersih. Kempen yang dilancarkan mampu memberi kesedaran kepada murid-murid agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekolah. Sebagai contoh, kempen Sekolah Rumah Keduaku seperti yang dilancarkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong, Kelantan telah menobatkan sekolah tersebut sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 2010. Menerusi kempen tersebut, warga sekolah telah diberi kawasan angkat dan mereka dikehendaki menjaga kawasan angkat tersebut dengan kreativiti masing-masing. Pada masa yang sama pihak sekolah telah menyediakan insentif berupa wang tunai dan piala pusingan untuk dianugerahkan kepada kawasan angkat yang meraih tempat pertama pada akhir tahun. Inisiatif ini telah menyebabkan murid-murid saling bekerjasama ibarat berat sama dipukul ringan sama dijinjing untuk mencantikkan  kawasan mereka kerana ingin menang. Mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang bagi memastikan kawasan masing-masing menjadi cantik. Jadi jelas menunjukkan bahawa kempen yang sering diuar-uarkan oleh pihak sekolah mampu memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih.

Kesimpulannya, pihak sekolah perlu merancang pelbagai program untuk memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih. Setiap kejayaan akan bermula dengan perancangan yang rapi. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa usaha kejayaan tidak akan mendampingi kita. Oleh itu, kerjasama yang padu antara warga sekolah mampu memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih. Kawasan sekolah yang bersih dapat menyediakan suasana yang kondusif kepada murid-murid. Mereka mampu belajar dengan tenang dan akhirnya kejayaan akan menanti mereka pada masa depan.



(Karangan ini adalah tulisan penulis secara total)

JEJAK CEMERLANG SPM 2012...

MAJLIS MALAM JEJAK CEMERLANG PELAJAR SPM 2012
10 OKTOBER 2012
HOTEL GRANG RIVERVIEW, KOTA BHARU


 VIP - Tn. Hj. Hussin Awang, Dato' Dr Muhd Kaisan, Tn. Hj. Shafie, En. Ahmad, En. Hasnan, En. Halim Yazid dan Pn. Nik Halijah
 Halim Yazid membuat persembahan
 Tn. Hj. Mohd Ghazi Ismail
 Cikgu. Aris Pazilah
 Cikgu Azaman dan Cikgu Feen
 Halim Yazid membuat persembahan
 Halim Yazid bersama Haizam
 Barisan ALUMNI Faris Petra
Barisan ALUMNI Faris Petra

Saturday, 6 October 2012

PERTANDINGAN BOLING TERTUTUP GURU & BEKAS PELAJAR FARIS .....




PERTANDINGAN BOLING TERTUTUP GURU & BEKAS PELAJAR FARIS PETRA
TARIKH : 6 OKTOBER 2012 (SABTU)
TEMPAT : MUTIARA BOWL, KOTA SRI MUTIARA, KOTA BHARU










Thursday, 4 October 2012

KARANGAN TARGET SPM 2012 (3)


KARANGAN BAHAGIAN A

Tugasan – Usaha Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah

Pusat sumber sekolah memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang murid. Pusat sumber sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada murid untuk mengakses pelbagai bahan bacaan bagi menyokong  proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Dengan kata lain, pusat sumber sekolah menjadi tempat untuk mengumpul, menyusun dan menyebarkan bahan pembelajaran dan pengajaran sama ada secara bercetak atau bukan bercetak bagi memenuhi keperluan murid dan guru. Oleh itu, pelbagai usaha boleh diambil untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid dan guru.

Suasana yang kondusif perlu diwujudkan bagi meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Susunan rak buku yang memudahkan pergerakan murid untuk mencari bahan bacaan yang dikehendaki, kedudukan meja komputer yang teratur, ruang membaca yang selesa dan suasana yang tenang serta ceria mampu menarik murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini demikian kerana suasana yang kondusif dapat menenangkan fikiran, sekali gus mendorong murid-murid untuk membuat rujukan dengan lebih fokus. Mereka akan berasa selesa kerana dapat membuat rujukan secara kendiri serta mampu merancang keperluan mengikut kehendak masing-masing. Sebagai contoh, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengingatkan pengurusan sekolah supaya memperkasakan pusat sumber sekolah kerana  langkah tersebut dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan untuk memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat yang berpengetahuan luas. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa suasana yang kondusif mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan murid dan guru.

Selain itu, memperbanyak bahan bacaan dan rujukan juga mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan seperti buku, majalah, akhbar dan komputer dengan kemudahan internet dapat memudahkan murid-murid membuat rujukan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak pelanggannya dapat membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan. Sebagai contoh, jika guru mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan meminta murid-murid melakukan kajian tentang tokoh-tokoh negara seperti sumbangan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad, mereka dapat mengakses maklumat yang diperlukan  dengan cepat melalui kemudahan komputer dan internet yang disediakan di pusat sumber sekolah. Murid-murid dapat menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu ke kedai buku untuk mencari maklumat yang diperlukan oleh guru. Langkah ini ibarat sambil menyelam minum air kerana murid-murid juga dapat menjimatkan wang kerana bahan rujukan yang diperlukan terdapat di pusat sumber sekolah. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pusat sumber sekolah yang lengkap dengan bahan bacaan dapat menarik minat murid dan guru untuk mengunjunginya.

Seterusnya, mengadakan pertandingan banyak membaca juga mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Pertandingan membaca seperti bahan-bahan bacaan berunsur fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta bahan bacaan bukan fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berupaya mendorong murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini kerana mereka akan mengunjungi pusat sumber untuk meminjam bahan bacaan bagi menyahut program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Mereka akan membaca seberapa banyak bahan bacaan untuk dipenuhkan dalam Buku Rekod Membaca yang disediakan oleh pihak penganjur. Sebagai contoh, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) mampu mendorong murid-murid membaca seberapa banyak bahan bacaan kerana pada akhir tahun pelbagai anugerah akan diberikan kepada murid-murid yang menunjukkan rekod bacaan yang paling banyak. Anugerah seperti emas, perak dan gangsa beserta sijil dan wang tunai mampu menggalakkan murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah untuk meminjam bahan bacaan. Oleh itu, pertandingan banyak membaca dapat meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan murid.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah yang merupakan gedung ilmu perlu diperkasakan kerana  ilmu dalam pelbagai bidang yang terdapat di situ mampu melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan. Modal insan inilah yang akan memacu negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Kita mahu negara Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain pada tahun tersebut. Oleh itu, usaha untuk menjana modal insan berminda kelas pertama perlu digembleng oleh semua pihak agar aspirasi ini dapat direalisasikan.




(Karangan ini adalah hasil idea penulis secara total)

KARANGAN TARGET SPM 2012 (2)


KARANGAN BAHAGIAN A

Tugasan – langkah-langkah untuk merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat


Kini hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat sama ada di bandar atau di kampung semakin renggang. Jika disingkap kembali, masih ada sebilangan masyarakat kita yang tidak mengenali jiran di sebelah rumah mereka. Sikap individualistik seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini akan menghalang usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Perpaduan yang kejap adalah bermula daripada hubungan kejiranan yang kukuh. Oleh itu, pelbagai minhaj perlu dilakukan untuk merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat hari ini.

Amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat mampu merapatkan hubungan antara jiran. Gotong-royong yang melibatkan semua lapisan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat mengeratkan  hubungan sesama jiran. Kerja-kerja gotong-royong seperti membersihkan longkang yang tersumbat, kawasan perkuburan dan padang permainan kanak-kanak pada hujung minggu misalnya mampu mengukuhkan hubungan antara jiran. Hal ini demikian kerana masyarakat dalam kawasan kejiranan sama-sama keluar untuk melaksanakan tugas yang telah diagihkan. Mereka dapat bertemu, bertegur sapa dan bercerita tentang kerjaya, keluarga dan isu-isu terkini ketika  bergotong-royong. Peribahasa sambil menyelam minum air sangat relevan dalam hal ini kerana selain dapat menyiapkan tugasan dengan cepat, aktiviti seperti ini juga mampu merapatkan hubungan antara jiran kerana mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Oleh itu, amalan gotong-royong dapat mengeratkan ikatan kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, rukun tetangga yang ditubuhkan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung juga dapat mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat. Rukun Tetangga diwujudkan untuk menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat sesuatu tempat. Penghuni taman-taman perumahan dan kampung akan bertugas mengikut giliran yang telah ditetapkan. Mereka akan meronda pada waktu malam dalam kumpulan yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang untuk memastikan kawasan kejiranan mereka selamat daripada sebarang kejadian jenayah. Mereka bukan sahaja meronda untuk memastikan keselamatan rumah sendiri tetapi juga rumah-rumah jiran yang lain. Dengan kata lain, mereka akan menjaga rumah jiran seperti menjaga rumah sendiri. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abd Rahman semasa berucap dalam majlis bersama komuniti di Kota Bharu baru-baru ini mengingatkan masyarakat supaya memantapkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) kerana program ini mampu mencegah jenayah sekali gus hubungan kejiranan dapat ditautkan. Jadi, rukun tetangga juga mampu merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, amalan ziarah-menziarahi jiran juga dapat mengeratkan ikatan kejiranan dalam kalangan masyarakat. Amalan ziarah-menziarahi jiran yang sakit atau kematian misalnya dapat menjalin hubungan antara jiran. Apabila kita menziarahi jiran yang ditimpa musibah, kita bukan sahaja dapat mengetahui perkara yang berlaku kepada jiran kita, tetapi pada masa yang sama juga dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka. Sebagai contohnya, jika kita melawat jiran yang menderita sakit berpanjangan,  maka kita dapat mencadangkan beberapa alternatif yang boleh diambil bagi mengubat penyakit yang ditanggung. Jika selama ini mereka buntu untuk menyelesaikan masalah, tetapi oleh sebab kita menziarahi mereka maka penderitaan mereka dapat dikurangkan. Oleh itu, amalan ziarah-menziarahi dapat mengeratkan hubungan sesama jiran.

Akhir sekali, hubungan kejiranan dapat dirapatkan jika aktiviti seperti sukan komuniti dianjurkan di kawasan kejiranan. Sukan komuniti seperti pertandingan bola sepak, sepak takraw, sukan rakyat dan sebagainya mampu merapatkan hubungan antara jiran. Semua lapisan masyarakat sama ada lelaki, perempuan, tua, muda atau kanak-kanak akan bersama-sama melibatkan diri dalam sukan komuniti yang dianjurkan. Hubungan antara mereka menjadi rapat kerana mereka dapat mengenali antara satu sama lain dan bekerjasama merancang strategi bagi memenangi setiap pertandingan yang disertai. Sebagai contoh, sukan komuniti seperti tarik tali yang dianjurkan sempena program hari keluarga di kawasan kejiranan mampu mengukuhkan hubungan kejiranan kerana disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.  Jadi, jelas menunjukkan bahawa sukan komuniti bukan sahaja dapat mengeratkan ikatan kejiranan dalam kalangan masyarakat tetapi pada masa yang sama mampu mengekalkan warisan kebudayaan negara agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Kesimpulannya, hubungan kejiranan perlu dirapatkan oleh masyarakat Malaysia. Hal ini penting bagi mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak melalui Gagasan 1Malaysia beliau sebaik sahaja meneraju tampuk pemerintahan negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hubungan kejiranan yang erat bukan sahaja dapat memastikan kawasan kejiranan selamat tetapi pada masa yang sama mampu melahirkan masyarakat yang madani walaupun negara kita terdiri daripada rakyat berbilang kaum.


(Karangan ini adalah hasil idea penulis secara total)

PENULIS DIJEMPUT BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM....!

MESYUARAT PEMURNIAN DOKUMEN STANDARD KURIKULUM
BAHASA MALAYSIA SEKOLAH MENENGAH TINGKATAN 1 BIL 2/2012
TARIKH : 1 - 4 OKTOBER 2012
TEMPAT : HOTEL CRYSTAL LODGE, KOTA BHARU, KELANTAN


Kumpulan perbincangan dokumen awalan
Kumpulan perbincangan tatabahasa
Pn. Noraziah Ahmad Ghazali (urus setia/ pegawai BPK)
Penulis bersama En. Fadli dan En. Gan
Kumpulan perbincangan modul standard kurikulum bahasa Melayu Sekolah Menengah
Pembentangan oleh Pn. Rohaida Abas
Pembentangan oleh En. Zaki
Penulis bersama En. Hashim
Penulis menerima sijil penghargaan daripada Pn. Noraziah
Kumpulan perbincangan penulis bersama Pn. Noraziah

Penulis telah dijemput oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meneliti kandungan Dokumen Standard Bahasa Malaysia Sekolah Menengah untuk Tingkatan 1 pada 1 - 4 Oktober 2012 bertempat di Hotel Crystal Lodge, Kota Bharu, Kelantan. Seramai 25 orang guru dari Kelantan dan Terengganu telah menghadiri mesyuarat tersebut kali ini. Penulis berbangga kerana dapat menyumbangkan idea bagi memurnikan standard tersebut bagi kegunaan anak-anak murid kita pada tahun 2017 nanti. Penulis bersedia untuk membantu BPK jika dipanggil lagi. 

Assalamualaikum. Saya akan kemas kini blog ini dengan bahan bahasa Melayu SPM format baharu KSSM