Thursday 10 September 2015

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B

KARANGAN BAHAGIAN B

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

Tema – harapan ibu bapa agar anak-anak mereka menjadi insan berguna pada masa hadapan

Tugasan – usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai

Idea -

i.                     mendidik anak-anak dengan ilmu agama – harapan agar anak-anak memiliki keimanan dan ketakwaan yang kukuh
ii.                    memberikan pendidikan yang sempurna di sekolah – harapan agar anak-anak cemerlang dalam pelajaran
iii.                  memberikan perhatian dan kasih sayang secukupnya – harapan agar anak-anak tidak terjebak dengan perkara yang boleh memalukan keluarga
iv.                  memberikan sokongan dan motivasi – harapan agar anak-anak yakin diri dan mampu berdikari


Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Rata-rata ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka cemerlang dalam akademik, memiliki sahsiah dan disiplin terpuji, kukuh pegangan agama, mendapat kerjaya yang baik dan memiliki keluarga yang bahagia. Tiada seorangpun ibu bapa yang mahu anak mereka hidup bergelumang dengan maksiat dan terlibat dengan perkara yang boleh merugikan diri dan keluarga mereka. Bertepatan dengan pernyataan tersebut, Mufti negeri Kelantan, Dato’ Muhamad Shukri b. Muhammad menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan arah tuju kehidupan anak-anak agar kehidupan mereka pada masa hadapan mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Jadi, peranan ibu bapa sangat dominan dalam hal ini kerana mereka merupakan agen dalam menentukan kehidupan anak-anak pada masa hadapan. Oleh itu, ibu bapa wajar memainkan peranan bagi memastikan harapan mereka agar anak-anak menjadi insan yang berguna pada masa hadapan tercapai.

Ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka beriman dan bertakwa supaya mereka dapat membimbing diri ke arah kebaikan. Bagi memastikan harapan tersebut tercapai, ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka dengan ilmu agama sejak kecil lagi kerana anak-anak mudah menerima didikan pada usia yang masih kecil seperti peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ilmu agama yang diajar oleh ibu bapa itu mampu menghalang anak-anak daripada terjebak dengan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri mereka. Ilmu agama yang kukuh dalam diri dapat membina akhlak terpuji dalam diri anak-anak, sekali gus mereka akan menjadi insan yang sempurna pada masa hadapan. Sebagai contoh, jika ilmu agama dalam diri anak-anak menjadi utuh, anak-anak tidak akan terjebak dengan gejala sosial seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, melepak di pusat-pusat membeli-belah, merempit, lari dari rumah dan sebagainya. Hal ini demikian kerana anak-anak sudah dapat mengawal diri mereka daripada terjebak dengan demoralisasi ini oleh sebab mereka takut untuk melakukan maksiat kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan dosa. Seterusnya, ibu bapa juga perlu menghantar anak-anak mereka mengaji al-Quran, menghadiri kelas fardhu ain, mendengar ceramah agama supaya anak-anak dapat mempersiapkan diri dengan sifat-sifat mahmudah yang boleh memandu mereka ke arah kesempurnaan hidup. Ibu bapa perlu menghantar anak-anak mengaji al-Quran selepas waktu persekolahan supaya mereka dapat belajar tajwid dengan guru agama dan dapat membaca al-Quran dengan bacaaan yang betul. Ibu bapa juga boleh menghantar anak-anak mereka belajar fardhu ain selepas waktu persekolahan supaya anak-anak dapat mengukuhkan diri mereka dengan asas-asas agama dalam diri. Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak menghadiri ceramah agama di masjid atau surau supaya masa anak-anak terisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini mampu memastikan anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Apabila anak-anak terdidik dengan ilmu agama dalam diri, maka mereka mampu untuk menjadi anak yang beriman dan hal ini menjadi impian setiap ibu bapa. Jadi jelas menunjukkan bahawa harapan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka memiliki keimanan dan ketakwaan agar menjadi anak yang berguna pada masa hadapan akan tercapai jika usaha-usaha ke arah tersebut dapat dilaksanakan oleh ibu bapa.

        Selain itu, ibu bapa juga mengharapkan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran agar mereka mampu menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang berkualiti di sekolah dan juga di rumah. Ibu bapa perlu menyediakan segala keperluan anak-anak dalam pelajaran seperti membelikan sebuah komputer riba kepada anak-anak agar mereka dapat meneroka maklumat semasa dengan mudah dan cepat selaras dengan arus globalisasi yang semakin pantas kini. Pengetahuan anak-anak yang luas mengenai isu-isu semasa sama ada dalam atau luar negara mampu mengelakkan anak-anak digelar seperti katak di bawah tempurung dalam mendepani cabaran semasa. Anak-anak yang berpengetahuan luas mampu menjadi insan yang berguna pada masa hadapan kerana mereka berupaya untuk bersaing mendapatkan peluang kerjaya yang lebih terjamin. Sebagai contoh, Nik Nur Madihah  menyatakan bahawa walaupun kehidupan keluarganya daif tetapi ibu bapanya memikirkan pelbagai cara supaya dirinya mendapat segala keperluan dalam pelajaran dan akhirnya Nik Nur Madihah berjaya memperoleh 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2010 sehingga dijulang sebagai pelajar terbaik negara pada tahun tersebut. Jelaslah menunjukkan bahawa usaha ibu bapa menyediakan segala keperluan anak-anak dalam pelajaran menyebabkan anak-anak berjaya dalam peperiksaan. Selain menyediakan keperluan anak-anak dalam pelajaran, ibu bapa juga boleh menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen pada hujung minggu bagi memantapkan persiapan anak-anak menghadapi peperiksaan kelak. Ibu bapa boleh memilih guru tuisyen yang terbaik untuk anak-anak mereka kerana perkara yang paling penting ialah anak-anak dapat mempersiapkan diri dengan teknik menjawab yang tepat. Persiapan ini menyebabkan anak-anak mereka berasa yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak. Usaha ibu bapa ini secara tidak langsung menjadikan anak mereka berada dalam keadaan bersedia sebelum menghadapi peperiksaan dan akhirnya berupaya meraih keputusan yang cemerlang. Apabila anak-anak cemerlang dalam peperiksaan, maka mereka mampu mengatur hidup dengan mudah terutama dapat memilih institusi pengajian yang terbaik dengan biasiswa yang ditaja oleh kerajaan. Jadi sudah terang lagi bersuluh, usaha ibu bapa agar anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran mampu menjadikan anak-anak mereka sebagai insan yang berguna pada masa hadapan sekali gus dapat merealisasikan hasrat ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup.



Tugasan anda – lengkapkan dua perenggan idea lagi dengan menggunakan ayat gramatis.

CONTOH KARANGAN BAHAGIAN B

KARANGAN BAHAGIAN B

Setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu sukan melalui pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.

Jelaskan faedah-faedah yang akan diperoleh dengan menyertai aktiviti sukan.


Tema – pelajar wajib menyertai aktiviti sukan

Tugasan – faedah-faedah yang akan diperoleh dengan menyertai aktiviti sukan

Idea

i.                     menjadikan tubuh badan sihat dan minda cerdas
ii.                    dapat membentuk disiplin dan sahsiah terpuji
iii.                  mampu mewujudkan semangat kerjasama
iv.                  dapat mengukuhkan perpaduan kaum
v.                    dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah



Setiap pelajar diwajibkan menyertai aktiviti sukan di sekolah. Kerajaan telah menetapkan 10 peratus markah kokurikulum sebagai syarat kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi awam atau swasta untuk menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum khususnya aktiviti sukan sangat penting untuk diceburi oleh pelajar sekolah. Sebagai membuktikan lagi keseriusan kerajaan, Kementerian Pendidikan telah melancarkan dasar 1Murid 1Sukan, iaitu setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu sukan di sekolah amat tepat kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada pelajar. Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap melancarkan dasar 1Murid 1Sukan melahirkan keyakinan bahawa dasar ini mampu membina generasi yang sihat  dan pada masa yang sama berupaya melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi, pelajar harus sedar bahawa terdapat faedah-faedah yang akan diperoleh apabila mereka menyertai aktiviti sukan.

Faedah utama yang akan diperoleh apabila pelajar menyertai aktiviti sukan adalah mampu melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan dan minda yang cergas.  Aktiviti sukan yang diceburi oleh pelajar sekolah mampu menjadikan badan mereka sihat, sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada menghidap sebarang penyakit berbahaya. Apabila mereka bersukan, badan mereka akan berpeluh sekali gus mengeluarkan toksin yang tidak diperlukan oleh badan melalui liang-liang roma. Perjalanan darah ke seluruh tubuh menjadi lancar menjadikan diri mereka sentiasa sihat   sekali gus minda mereka turut cerdas. Peribahasa badan sihat otak cerdas sangat bertepatan dalam hal ini kerana pelajar yang sihat dapat memberikan fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan baik.  Mereka berupaya menjadi pelajar yang cemerlang kerana tumpuan pelajar di dalam kelas adalah prasyarat utama untuk menjadi cemerlang. Dr. Ismail Zain, pakar kaunseling pendidikan menyatakan bahawa pelajar yang fokus ketika guru mengajar di dalam kelas sudah sebelah kaki menuju kecemerlangan. Kata-kata ini membuktikan bahawa pelajar mampu fokus di dalam kelas jika badan mereka sihat kerana badan yang tidak sihat akan menyebabkan mereka berasa letih dan mengantuk. Selain itu, pelajar yang sihat juga mampu mengelakkan diri mereka daripada sebarang penyakit berbahaya. Hal ini demikian kerana toksin yang dikeluarkan melalui peluh telah menyebabkan lemak dalam badan terbakar ekoran daripada aktiviti sukan yang dilakukan. Penyakit-penyakit berbahaya seperti obesiti, serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis dapat dihindari oleh pelajar yang sihat. Menurut kajian oleh Univesiti Sains Malaysia, 30 peratus kes obesiti atau kegemukan dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Malaysia telah direkodkan sepanjang tahun lalu. Perangkaan ini amat membimbangkan kerana obesiti menjadi faktor utama yang menyebabkan penyakit-penyakit berbahaya seperti serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis. Oleh hal yang demikian, penglibatan dalam aktiviti sukan dalam kalangan pelajar perlu dititikberatkan kerana kita tidak mahu pelajar yang menjadi aset negara ini nanti menderita akibat penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti sukan mampu melahirkan pelajar yang sihat sekali gus memiliki minda yang cerdas.

        Selain itu, aktiviti sukan juga dapat memupuk sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar. Sahsiah yang terpuji dalam kalangan pelajar merupakan aspek yang menjadi fokus kerajaan masa ini kerana mereka merupakan modal insan yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara kelak, sekali gus mampu merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi agenda utama negara kini. Dalam hal ini, aktiviti sukan mampu membina sahsiah terpuji seperti membentuk nilai kerjasama dalam diri pelajar di Malaysia. Melalui aktiviti sukan, setiap pelajar akan bekerjasama untuk memastikan sukan yang dipertandingkan akan meraih kemenangan. Tanpa nilai kerjasama semangat kesukanan dalam diri pelajar akan menjadi luntur kerana mereka mementingkan diri sendiri dan akhirnya akan merugikan pasukan. Sebagai contoh, aktiviti sukan yang melibatkan kumpulan seperti bola sepak dan hoki tidak akan menempa kejayaan jika tiada kerjasama antara pemain. Pemain penyerang yang bermain sendirian tidak akan dapat menjaringkan gol jika tidak melorongkan bola kepada penyerang lain yang memiliki ruang untuk menjaringkan gol. Sikap mementingkan diri ini akan menyebabkan pasukan tersebut akan kecundang kerana tanpa kerjasama dan semangat berpasukan kejayaan tidak akan dapat digapai. Di samping itu, semangat perpaduan juga akan wujud dalam diri jika pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang membabitkan pelajar pelbagai kaum. Perpaduan antara kaum akan menjadi subur jika pelajar bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain  dalam aktiviti sukan yang diwakili oleh pelajar berlainan bangsa. Mereka perlu menganggap bahawa setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam pasukan dan anggapan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan semangat perpaduan. Jadi, aktiviti sukan di sekolah mampu memupuk sahsiah yang terpuji kerana pelajar dapat berkomunikasi dan berhubung sesama mereka tanpa apa-apa sekatan. Hal ini akan menyebabkan semangat perpaduan dapat dikukuhkan apabila semua pelajar bersatu dalam pasukan sekali gus berupaya meraih kemenangan, bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa  sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar dapat diwujudkan apabila mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan.



Tugasan anda – lengkapkan dua perenggan idea lagi dengan menggunakan ayat gramatis..

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

ASPEK KOMSAS DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ASPEK KOMSAS PERNYATAAN HURAIAN PEMIKIRAN Semangat cinta...